Tak sokong Bersih, tapi sokong tindakan rakyat tolak Najib-Tun M

Tak sokong Bersih, tapi sokong tindakan rakyat tolak Najib-Tun M
Kehadirannya bagi memberikan sokongan kepada rakyat atas tindakan
mereka yang serius menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kehadirannya di sekitar Dataran Merdeka pada Sabtu bukan untuk memberikan sokongan kepada penganjur demonstrasi Bersih 4.0.

Sebaliknya, memberikan sokongan kepada rakyat atas tindakan mereka yang serius menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jelasnya lagi, rakyat yang datang berdemonstrasi ini juga tidak semuanya membencikan UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi kerana mereka tidak boleh menerima lagi pemimpin seperti Najib.

“Najib telah menyalahgunakan institusi kerajaan, dengan menyingkirkan Peguam Negara, mengugut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga menggunakan polis untuk menakutkan orang ramai bagi menghormati beliau.

“Dia (Najib) juga telah menyalahgunakan ahli jawatankuasa PAC dengan menawarkan mereka jawatan di dalam kabinet. Ini juga boleh dikatakan seperti rasuah,” katanya yang ditemui pemberita di Pasar Seni, petang Ahad.

Tambah Mahathir lagi, beliau juga langsung tidak mempercayai bahawa derma yang memasukkan wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib adalah penderma dari negara Arab.

“Tidak ada Arab yang akan memberikan amaun sebanyak itu kepada sesiapa. Ia tidak masuk akal,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga mengajak agar Ahli Parlimen membuat satu usul undi tidak percaya dan menolak Najib.

“Saya juga maklum, bahawa beliau telah merasuah semua ahli parlimen UMNO, Ketua Bahagian UMNO. Bahkan Najib juga pernah memberitahu bahawa duit adalah raja.

“Dalam erti kata lain, anda membeli orang. Anda berikan wang kepada orang, dengan harapan orang itu akan menyokong anda,” katanya lagi.

Kata Mahathir lagi, tindakan Najib yang merasuah setiap Ahli Parlimen juga tidak masuk akal kerana jika dilihat dari gaji beliau adalah tidak mencukupi.

“Sudah tentu dia akan dapat duit dari sumber lain,” katanya lagi.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers