Maduku Kalut gamatkan IB
MELIHAT persembahan yang berlangsung selama hampir sejam lebih ini sememangnya membawa penonton ke alam dunia tersendiri.
Pementasan teater Maduku...Kalut merupakan karya istimewa pihak produksi iaitu Mask Team yang menggabungkan pelakon komersial dan indie dalam satu pentas bermula 27 hingga 30 September lalu, di Lambang Sari, Istana Budaya (IB).
Penggunaan konsep cerita melalui video pada mulanya agak hambar bertukar semakin riuh dan kecoh dengan pelbagai konflik rumah tangga.
Walaupun banyak konflik timbul, namun perjalanan teater disuntik dengan penuh unsur humor dan santai, membuatkan penonton tidak kering gusi hingga di akhir cerita.
Lakonan tiga tunggak utama iaitu Izzue Islam, Jihan Raja Lawak dan Nad Zainal, juga wajar diberi pujian.
Izzue misalnya, biarpun agak kaku di awal persembahan, namun dia berjaya membawa watak Selamat dengan berkesan. Malah siapa sangka, percubaan pertamanya di pentas teater itu membuahkan hasil.
Lakonan Jihan Raja Lawak, tidak kurang hebatnya. Membawa watak sebagai Bibi, isteri pertama Selamat yang cukup garang, Jihan benar-benar menghayati wataknya. Malah, kehadiran Jihan menguatkan lagi babak-babaknya yang melibatkan Izzue.
Seperti mana Jihan, lakonan Nad Zainal sebagai isteri kedua, Mimi, juga sangat berkesan.
Menepati karakternya, Nad berjaya membuatkan penonton menyampah dengan sikapnya yang gedik, manja dan mengada-ada itu. Mempunyai latar belakang dalam pementasan teater, maka tidak hairanlah Nad mampu menggalas tugasnya dengan baik.
Kisah rumah tangga
Berbalik kepada jalan cerita teater ini, Maduku...Kalut merupakan kisah klise kehidupan rumah tangga apabila sang suami mempunyai dua isteri.
Sedikit mengenai sinopsis, seorang pemandu teksi iaitu Selamat berhadapan dengan saat getir apabila rahsianya berkahwin dua terbongkar.
Demi menutup rahsianya, penipuan demi penipuan diciptanya supaya kedua isterinya tidak mengetahui bahawa mereka telah dimadukan.
Mendapat kerjasama daripada jirannya, Amy Amirul (Karl Shafek) untuk membantu Selamat supaya Bibi tidak mengetahui kebenarannya.
Namun, segalanya semakin kalut dengan kemunculan dua polis iaitu Sofian Bujang dan Fazleena Hishamuddin yang menyiasat kes berkaitan kemalangan melibatkan Selamat.
Pun begitu, di akhir pementasan, ia sengaja dibiarkan 'tergantung' dan membuatkan penonton tertanya-tanya kesudahan naskhah tersebut.
Bagi pengarah teater ini, Muhd Azhar Zainal, itulah yang membezakan teater ini dengan pementasan sedia ada.
"Biasanya kita lihat setiap pementasan ada penamat sama ada sedih atau gembira. Sebaliknya, teater ini seolah tergantung pada akhir cerita.
"Saya mahu bermain dengan imaginasi penonton supaya mereka memikirkan sendiri nasib Selamat selepas rahsia diketahui kedua isterinya," katanya.
Mengulas mengenai kisah bermadu yang sudah biasa menjadi pilihan pengarah atau penerbit untuk diangkat ke layar perak mahupun drama, Azhar berkata, ia tetap digarap berbeza menerusi teater yang dihidangkan secara 'live' di hadapan penonton. Selain kekuatan jalan cerita dan pelakon itu sendiri, Maduku... Kalut turut, disokong dengan penggunaan prop, set serta muzik yang dipilih.
Izzue cabaran terbesar
Dalam masa sama, Azhar turut memuji lakonan Izzue. Sebagai pendatang baru dalam dunia teater, aktor itu memberikan komitmen yang sangat baik sepanjang pementasan.
"Saya pernah bekerja dengan Izzue sebelum ini, jadi saya tahu kebolehannya dan dia mampu melangkah lebih jauh dalam dunia seni.
"Lagipun kami hanya mengambil masa selama dua bulan untuk berlatih. Izzue sendiri menunjukkan potensi yang sangat baik sepanjang latihan," katanya.
Tidak mengetepikan barisan pelakon lain, kata Azhar, dia turut berpuas hati dengan lakonan Jihan, Nad Zainal dan juga penggiat teater yang berbakat besar seperti Karl Shafek dan Fazleena.
"Saya tidak ada masalah dengan mereka kerana semuanya mampu menggalas tanggungjawab yang baik.
"Namun, cabaran terbesar adalah ketika melatih Izzue kerana dia mempunyai masalah dari segi sebutan.
"Dia berjaya mengatasinya walaupun ada kalanya tersasul ketika di pentas," ujarnya yang turut meluahkan rasa gembira kerana teater tersebut mendapat sambutan yang baik dari peminat.
Nad Zainal gementar
Namanya usah diperkenalkan lagi kerana bakat semula jadi dalam lakonan sentiasa menjadi tumpuan.
Walaupun Nad Zainal masih lagi baru dalam dunia lakonan komersial namun sebenarnya dia terlebih dahulu memulakan kerjaya menerusi teater.
Pelakon Bukan Bidadari dan Kampung Girl itu sering menjadi buruan ramai penerbit dan pengarah tempatan kerana kredibilitinya dalam lakonan.
Berkongsi pengalamannya dalam teater tersebut, Nad akui gementar dan kekok berlakon memandangkan dia sudah lama meninggalkan pentas teater.
"Sudah setahun lebih saya tidak berlakon teater, terasa kekok juga mulanya. Bayangkan saya rasa macam alami 'culture shock'.
"Tapi saya agak bertuah kerana dapat bekerjasama dengan rakan-rakan sendiri. Jadi tidak susah sangat," katanya.
Tambahnya, dia kini melepaskan beberapa tawaran berlakon drama buat seketika untuk mengubat kerinduan pada pementasan teater.
"Sekian lama tinggalkan teater, saya kini gian nak berlakon di atas pentas teater semula.
"Selain itu, saya mahu asah balik bakat. Lagipun saya lebih puas bila dapat berlakon teater," katanya.
Dalam perkembangan lain, dia bakal menyahut cabaran dalam Liga Lawak Superstar yang akan bermula pada Oktober ini. Selain itu, Nad juga bakal terlibat dalam pementasan Teater Makyung pada 29 November hingga 1 Disember depan.
Karl belajar jadi pondan
Nama Karl Shafek mungkin kurang dikenali sama ada di pentas teater atau kaca TV berbanding dengan pelakon-pelakon komersial yang lain.
Namun, penglibatannya dalam bidang teater sangat dikagumi sesiapa saja yang pernah melihat lakonannya. Malah lakonannya sebagai pondan dalam teater itu, benar-benar memberikan kesan kepada penonton.
Lagaknya bersahaja dan lawak spontan membuatkannya lebih diberi perhatian ketika pementasan itu berlangsung.
Jelas Karl, demi watak itu dia terpaksa belajar untuk menghayati karakternya agar lebih menjadi.
"Saya banyak memerhati juru mekap lelaki lembut dari segi percakapan dan perbuatan mereka.
"Malah banyak latihan dilakukan di hadapan cermin agar lebih real.
"Namun ada kalanya saya tersasul dan terikut-ikut dengan watak tersebut," katanya sambil ketawa.
Tambahan pula, ia merupakan lakonan pertamanya sebagai lelaki lembut dan tidak menyangka penonton menerima dengan baik wataknya itu.
"Memang saya tidak sangka. Melihatkan sambutan yang diberikan, saya berasa sangat bersyukur.
"Selepas ini, saya ingin mencuba watak-watak yang berlainan untuk kembangkan bakat ke tahap lebih tinggi," ujar Karl.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.