Tiada lagi konfrontasi!

Tiada lagi konfrontasi!

Tiada lagi konfrontasi!


SEBELUM  ini, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dilihat sebagai persatuan gabungan yang lantang  bersuara dalam urusan industri yang berkaitan dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Bukan sekali dua Gafim bersuara, sehinggakan tercetus kontroversi demi kontroversi apabila Finas hanya diam seribu bahasa.

Usaha tanpa henti Gafim dalam memastikan Finas lebih agresif dan bertindak sesuatu untuk industri akhirnya tercapai apabila Finas sudi mengadakan pertemuan.

Bertempat di pejabat cawangan Finas, di Petaling Jaya, selain Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, mesyuarat tertutup itu turut dihadiri wakil dari persatuan lain di bawah naungan Gafim.

Antaranya termasuk Presiden Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima), Kapten Khir Mohd Noor, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham, Presiden Seniman, Zed Zaidi, Presiden Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam), Ismail Ahmad dan Produser Skop Production, Datuk Yusof Haslam.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri Ketua Pengarah (KP) Finas, Raja Rozaime Raja Dalnish Shah, itu akhirnya menemui titik noktah apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan masalah dengan lebih berhemah.

Menurut Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), pertemuan yang ditunggu-tunggu itu akhirnya dapat menghapuskan segala kekeruhan dan kontroversi sebelum ini.

Berkongsi intipati daripada mesyuarat itu, Jurey memberitahu beberapa perkara telah dibangkitkan termasuk penganjuran Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM26), hala tuju industri, peruntukan dana, cetak rompak, sabotaj filem dan Skim Wajib Tayang.

“Menurut KP, Gafim akan terlibat secara langsung dalam penganjuran FFM26. Buat masa ini, Finas sedang membincangkan mengenai penganjuran FFM26 dan tidak lama lagi pengumuman akan dibuat.

“Selain itu, kami juga dimaklumkan mengenai peruntukan dana untuk Gafim dan persatuan dalam menjalankan aktiviti masing-masing.

“Mengenai masalah cetak rompak pula, Finas akan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk membendung gejala ini, termasuklah isu sabotaj filem,” katanya yang turut dimaklumkan mengenai beberapa akta telah dipinda setelah Finas bergabung dengan Filem Negara Malaysia (FNM).

Hasil daripada pertemuan itu, rata-rata wakil yang hadir berpuas hati dengan keterbukaan Finas dalam berganding bahu menyelesaikan masalah industri tempatan.

Kapten Khir Mohd Noor: Wujudkan semula wakil industri


Selain itu, Presiden Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima), Kapten Khir Mohd Noor, turut melontarkan cadangan agar kerjasama antara industri dan Finas terjalin dengan lebih erat lagi.

Menurutnya, dia mencadangkan agar diwujudkan semula wakil dari industri di pentadbiran Finas.

“Sebelum ini, pernah ada jawatan Timbalan Pengerusi yang diisi wakil industri. Namun, tidak lama kemudian, jawatan itu diisi wakil Finas sendiri.

“Bukan apa, kami bukan mengejar apa-apa gaji atau bayaran, namun jika ada wakil industri dalam Finas, kita boleh tahu apa yang Finas lakukan untuk industri.

“Jawatan ini sepatutnya diberikan kepada Presiden Gafim dan ia juga adalah usaha untuk mendekatkan hubungan industri dan Finas. Lagipun, orang industri lebih faham masalah industri,” katanya.

 Datuk Yusof Haslam: Pilih produk berkualiti

Mendesak agar Finas lebih bertegas mengenai Skim Wajib Tayang, pemilik syarikat produksi, Skop Production Sdn Bhd, ini memohon agar Finas lebih berkeras untuk meluluskan produk yang berkualiti.

Tegas Datuk Yusof Haslam, karya yang tidak berkualiti tidak perlu diluluskan sebagai filem dan ditayangkan di pawagam.

“Saya mohon agar Finas lebih tegas dalam perkara itu. Ia adalah penyebab terjadinya kemerosotan filem dan boleh menjejaskan industri.

“Sekiranya karya itu kurang berkualiti dan tidak mempunyai jalan cerita yang kuat, ianya boleh ditayangkan sebagai drama ataupun telemovie sahaja.

“Kami memerlukan Finas untuk bertindak. Begitu juga dengan masalah cetak rompak yang turut berlaku kepada filem saya. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Tujuan kami bukan untuk berkonfrontasi, kami tetap menghormati Finas dan memerlukan badan ini untuk membantu memajukan industri perfileman tempatan,” katanya.

Othman Hafsham: Masa untuk bertindak!

Menjadi pemerhati sejak sekian lama, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham, merasakan inilah masanya untuk Finas bertindak.

Katanya, melihat kepada permasalahan industri kini, Finas tidak boleh berpeluk tubuh atau sekadar berkata-kata sahaja.

“Ini bukan masanya untuk berkata-kata, ini masanya untuk bertindak! Kita tidak boleh menunggu untuk berdepan dengan masalah yang akan datang.

“Namun, bertindak dalam menyelesaikan masalah yang bertimbun dengan lebih agresif. Pun begitu, saya berterima kasih dengan Finas kerana memberi jaminan untuk berjumpa lagi.

“Selama ini, saya sendiri merasakan Finas semakin menjauhi dan meminggirkan persatuan. Sudah tentu, kami perlukan kerjasama Finas dan kita akan bekerjasama demi industri,” katanya.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers