Darling Ngasri |
Cara Darling Ngasri kawal stres
NAMA Darling Ngasri barangkali tidak sepopular adiknya, Anne Ngasri. Bagaimanapun bagi mereka yang membesar pada era awal 90-an bakat Darling Ngasri dalam bidang lakonan sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.
Tidak hanya berbakat dalam bidang lakonan dan belakang tabir, kepekaan Darling menjaga penampilan menarik perhatian sesetengah wanita yang seusia dengannya.
Apatah lagi dalam usia yang sudah mencecah 30 tahun dan sudah mempunyai seorang anak lelaki, Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri masih 'maintan' seperti awal 20-an.
Menurut Darling, dia sangat risau kalau berat badannya bertambah kerana saiz ketinggiannya itu akan membuatkan dia lebih gemuk jika berlakunya penambahan berat badan.
Bukan saja luaran, Darling turut menitikberatkan penjagaan dalaman serta punya cara tersendiri bagi menangani stres yang boleh mengganggu kehidupan sehariannya sebagai wanita bekerjanya, isteri dan juga ibu.
Dalam bab menjaga kecantikan dan kesihatan, yang mana paling menjadi keutamaan anda?
Bagi saya, jika dalaman kita sihat dan cantik, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada tubuh dan wajah kita. Jika hati kita sentiasa bersih, tiada perasaan benci, secara tidak langsung wajah kita akan sentiasa nampak tenang, gembira dan muda.
Ramai wanita seusia anda amat fobia bila berat badan bertambah, anda bagaimana?
Saya juga begitu, kerana itu saya amat menitikberatkan soal penjagaan tubuh badan dan akan cuba meluangkan masa untuk bersenam setiap hari. Paling tidak saya akan luangkan masa untuk bersenam 15 minit setiap hari bagi memastikan badan sentiasa rasa segar dan ringan.
Pernahkah anda mengalami masalah berat badan?
Pernah ketika saya hamil, berat badan saya mencecah 72 kilogram (kg). Namun selepas bersalin, saya berjaya turunkan berat saya kepada 55kg.
Selain senaman, adakah anda amalkan pengambilan ubat-ubatan bagi mengawal berat badan?
Saya tidak mengambil apa-apa pil kurus, hanya suplemen iaitu Anggun Serina, produk keluaran pengacara dan juga pelakon Serina Redzuwan untuk kecergasan dan kecantikan kulit. Selain itu saya hanya amalkan yoga, holistic dan penjagaan dalaman bagi memastikan badan saya kekal langsing.
Bagaimana pula dengan rutin pemakanan anda?
Saya banyak mengambil air kosong setiap hari dan makan nasi seperti biasa, tetapi dalam jumlah yang sederhana, tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sikit. Asalkan perut kita terasa kenyang, itu sudah memadai. Paling penting kena ambil nasi sekali sehari.
Cantik dengan suntikan kini bagai menjadi pilihan ramai selebriti, anda pula bagaimana?
Bagi saya suntikan itu kesannya hanya untuk sementara dan apa sahaja yang terhasil dari buatan manusia atau sains hanyalah perkara sementara. Memang kita akan mendapat kesan yang cepat, kulit cantik tapi ia tidak kekal lama dan ada kesan sampingan. Sebenarnya untuk cantik apa yang penting adalah disiplin. Selain itu saya hanya ambil vitamin untuk memastikan kulit tidak kusam dan tidak bermaya.
Adakah anda mengamalkan solekan tebal setiap hari?
Tidak. Hanya memadai pemakaian bedak, pelembab bibir untuk keluar bekerja.
Adakah anda amat teliti dengan penjagaan wajah?
Saya menjaga wajah sama seperti orang lain, basuh muka, pakai krim, toner. Tetapi saya tidak suka pergi facial kerana saya lebih gemar buat sendiri di rumah. Beli mask dan buang bintik hitam di muka.
Dalam sebulan berapa yang anda peruntukan untuk penjagaan tubuh dan wajah?
Tidak banyak, hanya RM200-RM300 sahaja kerana saya tidak gemar ke spa, salun atau melakukan facial. Saya lebih gemar buat semuanya di rumah sahaja.
Jika ada masa lapang, apa yang gemar anda lakukan?
Saya suka meluangkan masa dengan anak dan setahun sekali saya akan pastikan pergi bercuti bersama seluruh ahli keluarga kerana dengan cara ini ia akan mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan.
Tekanan dan manusia sememangnya tidak boleh dipisahkan, jadi bagaimana cara anda mengatasinya?
Saya akan solat dan kemudian mendengar muzik serta membaca. Saya gemar membaca kerana ia akan membuatkan saya tenang.
Apa perkembangan terkini anda sekarang?
Setelah sekian lama tidak berlakon, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Selangkah Hajat yang akan ditayangkan di TVi. Saya memang watak utama dan bertudung di dalam drama tersebut. Selain itu saya sibuk dengan kerja belakang tabir dan beberapa drama dan program terbitan syarikat saya ada ditayangkan TVi seperti Xtvt, Aidil Kick. Selain itu drama terbitan saya, Cinta Kamikaze baru sahaja selesai ditayangkan di TV9 dan Nujum Kenit pula menanti tayangan di TV1.
5 PERKARA MENGENAI DARLING:
1. Suka berada di tempat yang sunyi.
2. Gemar bergaul dengan orang yang berwawasan tinggi.
3.Tak suka orang yang hipokrit.
4. Suka bantu orang lain.
5. Tegas!
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.