David Teo |
Eksklusif: David Teo dedah kontrak
"KENAPA saya terus dipersalahkan dan dijadikan mangsa dalam kes pernikahan Wawa dan Aeril?," soal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIG, Mejar K David Teo, berhubung kenyataan Presiden Seniman, Zed Zaidi, yang mempertikaikan isu kontrak artis di bawah naungannya.
Zed menerusi sebuah akhbar tempatan (bukan Sinar Harian), menyelar isi kandungan kontrak yang didakwa melanggar hak asasi manusia dalam membina perhubungan.
Kenyataan Zed itu, dilihat lebih memihak kepada Wawa Zainal dan pasangannya, Aeril Zafrel, yang sebelum ini pernah mendakwa hubungan mereka dihalang David sehingga terpaksa menyembunyikan pernikahan mereka.
Malah Wawa dalam sidang media sebelum ini, beria-ia mendakwa kontrak yang ditandatangani bersama MIG itu mengandungi perjanjian bahawa dia tidak dibenarkan bercinta dan berkahwin sepanjang berada di bawah syarikat tersebut.
Enggan terus dipersalahkan, David akhirnya bertindak mendedahkan kontrak yang ditandatangani Wawa sepanjang berada di bawah naungan MIG.
Menurut David, kontrak yang disediakan tidak mengandungi sebarang larangan untuk artis MIG daripada bercinta, bertunang mahupun berkahwin.
"Di sini, saya menunjukkan isi kandungan kontrak yang disediakan untuk ditandatangani. Tidak ada sebarang undang yang dibuat bagi menghalang mereka daripada bercinta.
"Namun, sebelum menandatangani kontrak, mereka perlu membuat pengesahan mengenai status adakah sudah mempunyai pasangan, bertunang ataupun berkahwin.
"Jika mereka bukan lagi 'single', kami akan menyediakan satu borang untuk diisi bagi mengesahkan status itu. Itu sahaja," katanya ketika ditemui di pejabat MIG, Petaling Jaya.
David menjelaskan, setiap individu yang bernaung di bawah MIG perlu menandatangani kontrak yang disediakan untuk mengelakkan daripada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
"Kami ada sembilan garis panduan berhubung kontrak itu termasuk mengelak daripada gejala maksiat, artis ditangkap khalwat dan anak luar nikah, menimbulkan kecemburuan di lokasi dan kontroversi serta syak wasangka.
"Selain itu, ia juga bertujuan mengelak daripada difitnah, diambil kesempatan oleh pihak lain, kehancuran rumah tangga, mengekalkan ikon kepada masyarakat dan mempertahankan maruah artis, keluarga serta syarikat.
"Sepanjang 13 tahun berada dalam industri, saya begitu faham dengan keadaan industri yang penuh dengan godaan dan cabaran. Jadi, jika artis itu faham, ianya tidak menjadi masalah besar.
"Lihat sahajalah Maya Karin, Farid Kamil, Nora Danish, Diana Amir dan Lisa Surihani. Saya tidak pernah melarang mereka untuk bercinta mahupun berkahwin. Malah, setiap kali jumpa Intan Ladyana ataupun Kamal Adli, soalan pertama saya ialah bila nak kahwin," katanya yang menganggap kesemua artis residen MIG sebagai anaknya sendiri.
Wawa Zainal dan pasangannya, Aeril Zafrel |
Sedia bersemuka dengan Zed Zaidi
Mengulas mengenai kenyataan Zed Zaidi berhubung kontrak syarikat produksinya itu, David menyifatkan Zed terlalu terburu-buru.
Menurut David, sebagai ketua untuk golongan artis, Zed Zaidi perlu lebih bijak dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Kata-kata Zed sangat tidak waras! Sepatunya, sebelum membuat kenyataan, Zed seharusnya menghubungi saya dan mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu.
"Dalam pada itu, dia perlu membaca kesemua isi kandungan dalam kontrak," katanya yang bersedia bersemuka dengan Zed untuk membincangkan mengenai perkara itu.
Wawa tak jawab panggilan
Dalam pada itu, David turut menyelar dakwaan Wawa yang pihaknya tidak menghubungi dan memanggilnya kembali bekerja.
"Semasa dia bercuti panjang, banyak tawaran yang ada namun dia menolak. Namun, selepas dia kembali ke ibu kota, kami menghubunginya banyak kali. Namun, dia tidak memberi respons.
"Pintu MIG masih terbuka luas untuk Wawa. Saya faham, dia masih muda dan tidak matang. Jadi, kami tidak akan mengambil sebarang tindakan kepadanya.
"Mengenai dakwaan dikuarantin, saya tidak pernah berbuat demikian. Ketika menjalani filem, Sumpahan Kum Kum, di Ijok, mutu lakonannya tidak bagus dan pengarah filem itu, Ismail Bob Hashim, bertindak 'memegang' Wawa untuk menghayati watak," katanya yang mengakui kontroversi ini tidak pernah mengganggu perjalanan MIG.
Kesal dengan apa yang berlaku, David berkata, ini bukan kali pertama artisnya berbuat demikian, malah akui David dia sudah lali dengan masalah artis yang tidak menjaga tingkah laku.
"Namun, kes ini dilihat lebih berat apabila artis itu memburukkan syarikat dan saya sendiri," katanya mengakhiri perbualan.
David juga menafikan dakwaan Aeril dan Wawa mengenai larangan bercinta kerana perkara ini telah ditanya beberapa kali kepada pelakon itu.
"Saya ada dengar mengenai gosip Wawa bercinta dan berkahwin. Saya memanggilnya untuk mendapatkan kepastian, tapi dia tidak mengaku. Pernah juga dia berkata dengan nada tinggi, 'Bos, saya sudah dewasa!'.
"Saya tidak marah, cuma ingin bertanya kerana saya akan tanya kepada semua anak-anak (artis residen) saya jika ada gosip.
"Kalau dia mengesahkan pernikahan itu, sudah pasti saya juga gembira. Malah, segala urusan majlis akan diuruskan oleh MIG tanpa sebarang caj. Seperti artis MIG lain, saya akan hadiahkan dia berlian ketika majlis perkahwinan," katanya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.