SETELAH empat tahun menanti, hasrat kumpulan teater Suara Alam Selangor akhirnya tercapai apabila teater sulung mereka berjudul 'Putera Salang Ur' dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Teater bangsawan itu dipentaskan di bawah program Semarak Seni Bangsawan anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta DBKL selama tiga hari mulai semalam, pada pukul 8.30 malam.
Pengarahnya, Mohd Rosli Abd Wahab berkata beliau tidak menyangka percubaannya selama empat kali menghantar karyanya kepada JKKN akhirnya diterima pada tahun ini untuk dipentaskan.
"Tahun ini sangat bertuah kepada kami kerana akhirnya naskah bangsawan saya dapat dipersembahkan buat julung kalinya kepada orang ramai setelah empat tahun atau empat kali percubaan untuk menghantarnya dan ia merupakan satu penghargaan daripada pihak JKKN kepada kami.
"Kami telah mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan bagi pementasan ini dengan krew seramai 70 orang, termasuk pelakon dan petugas di sebalik tabir," katanya kepada Bernama.
Katanya, karya ini ditulis hasil olahan daripada cerita lisan rakyat yang berkaitan dengan asal-usul negeri Selangor.
"Saya yakin tidak ramai yang tahu siapa putera yang pertama di negeri Selangor, jadi saya petik kisah ini untuk dipersembahkan dalam bentuk teater kepada orang ramai.
"Jadi dengan cara persembahan teater itu dapat memberi pemahaman secara jelas kepada penonton tentang cerita lisan rakyat yang diolah secara unik itu," katanya.
Katanya, teater berbentuk bangsawan sudah jarang dipersembahkan kepada orang ramai kerana kebanyakan teater dipersembahkan dalam bentuk moden.
"Kebanyakan teater sekarang berbentuk moden, disebabkan teater bangsawan banyak menggunakan prop dan peralatan, jadi tidak ramai yang nak dimainkan.
"Teater bangsawan ini secara tidak langsung dapat mendedahkan kepada generasi muda tentang budaya bangsa Melayu," katanya.
Pementasan selama tiga hari itu antara lain mengisahkan perjalanan hidup putera Negeri Langkapura Tengku Daik yang membina negeri Salang Ur setelah dihalau oleh kekanda kembarnya, Tengku Muda akibat salah faham.
Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan teater bangsawan 'Putera Salang Ur' itu boleh mendapatkan tiket dengan harga RM5. - Bernama
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.