Izreen Azminda semakin berani

Malaysia, Hiburan, Artis Malsysia, Selebriti, Izreen Azminda, Semakin, Berani
Izreen Azminda


NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA
16 Jun 2013

FIGURA bernama Izreen Azminda bukan lagi asing dalam bidang lakonan di Malaysia. Dia mula menyinar tatkala menjayakan wataknya sebagai Cikgu Zakiah dalam drama Juvana dan lebih diingati ketika membawa watak antagonis dalam drama Tentang Dhia.

Sejak itu, namanya mula menjadi sebutan lantaran lakonan yang berkesan ketika membawa watak antagonis hingga mengundang rasa benci penonton.

Namun kali ini, bukan lakonan antagonisnya yang menarik perhatian, sebaliknya keberaniannya menjayakan babak berkemban dalam filem terbaru, Pecah.

Apatah lagi dia kini sudah bergelar isteri dan bakal bergelar ibu tidak lama lagi. Apa penjelasan Izreen berhubung perkara itu?

“Bagi saya ia bukan masalah besar kerana bukannya saya berbogel pun. Saya kata begitu sebab tahu apa yang saya buat ketika itu.

“Saya harap tiada pihak yang menjadikan isu atau cuba untuk memperbesar-besarkan perkara ini. Saya tahu orang akan mengata dan saya anggap ini lumrah,” jelasnya yang ditemui, baru-baru ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai babak berkenaan, Izreen berkata, dia hanya diberitahu mengenai perkara itu pada hari penggambaran berlangsung.

“Memang kekok pada mulanya apatah lagi bekerja dengan majoritinya kaum lelaki.

“Tapi saya bertuah kerana mereka semua sangat membantu,” ujarnya yang menjayakan sebagai Lydia, seorang jururawat di rumah orang tua dan memerlukan Izreen bermain dengan emosi, lebih-lebih lagi pada penghujung jalan cerita.

Ditanya mengenai penerimaan suaminya berhubung penampilan beraninya itu, Izreen berkata, suaminya masih belum menonton filem berkenaan.

“Saya pun tak tahu dia akan komen apa nanti. Saya harap dia bersikap positif kerana perkara ini berlaku sebelum kami berkahwin,” jelasnya.

Utamakan karier

Ditanya adakah dia bersedia menerima tawaran sebegini lagi selepas kembali aktif nanti, Izreen berkata: “Jika ditawarkan lagi aksi-aksi seperti ini selepas ini, saya tidak akan buat lagi kerana saya perlu lebih sensitif sebagai seorang isteri dan juga ibu.”

Bagaimanapun ujar bekas peserta Dewi Remaja ini, dia tetap akan menerima tawaran watak antagonis selepas bersalin nanti.

“Mungkin ada di antara pelakon yang lebih selesa menerima watak protagonis selepas berkeluarga tetapi tidak bagi saya.

“Cuma ada hadnya. Saya juga tidak merancang untuk memperlahankan karier selepas bersalin nanti. Bidang lakonan adalah cinta pertama saya.

“Saya sudah merancang untuk membawa anak dan pembantu ke lokasi nanti kerana lebih mudah untuk saya pantau dan jaga. Lagipun sekarang banyak kes berkaitan anak dan penjaga. Jadi saya agak risau,” katanya yang sudah bercuti semenjak kandungan berusia empat bulan.

Suami teruja

Berkongsi pengalaman hamil anak sulung, Izreen berkata, suaminya, Muhammad Riza Baharudin, 30, lebih teruja dalam membuat persiapan.

“Suami lebih teruja dan membeli banyak barang bayi. Izreen cuma beli apa yang patut saja. Buat apa membazir? Bayi cepat membesar,” katanya yang merahsiakan jantina anaknya itu.

Izreen berkata, dia mungkin akan berpantang di Kuala Lumpur dan bersedia berkongsi mengenai anaknya beberapa hari selepas bersalin.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers