Anugerah Blokbuster: Sofi Jikan penjahat terhebat!

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Anugerah Blockbuster 2, ,Sofi Jikan, Penjahat, Terhebat
Sofi Jikan - Foto Sinar Harian oleh ZULKIFLI AHMAD ZAKI

MARINA SAHABUDIN
17 Jun 2013

KEMERIAHAN dan kehangatan Anugerah Bintang Blokbuster ke-2 anjuran Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), malam kelmarin masih dirasai meskipun malam kemuncaknya sudah berakhir.

Pun begitu, kepada mereka yang menang pada malam itu pastinya memberi impak besar terhadap karier mereka dalam industri seni.

Tidak terkecuali aktor yang cukup terkenal dengan watak antagonis ini.

Meskipun kemenangan bagi kategori Watak Penjahat Terhebat menerusi filem Jalan Kembali: Bohsia 2 berpihak kepadanya, namun ia bukan bererti dia boleh mendabik dada atau berbangga dengan apa yang dimiliki, sebaliknya menganggap ia sebagai satu pengiktirafan dari peminat.

Akui pelakon yang terkenal dengan nama layarnya, Sofi Jikan ini, dia sedar peminat memandang tinggi terhadapnya setelah diangkat sebagai pemenang kategori berkenaan.

“Semua ini hasil undian peminat dan mereka mempunyai hak menentukannya. Walaupun ibu saya sering berpesan supaya tidak menerima sebarang anugerah kerana watak jahat yang saya lakonkan, tetapi saya kata kepadanya, ia adalah sekadar untuk kerjaya semata-mata,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Jelasnya, walaupun mungkin dianggap jahat, dimaki, dicaci oleh penonton, namun semua itu membuktikan dia berjaya memberi sesuatu kepada mereka.

“Setiap watak yang saya terima, saya bina dan bentuk dengan baik. Saya mahu peranan antagonis yang dilakonkan diingat dan bernilai kepada penonton.

“Bukan bermaksud saya gemar menjadi jahat, tetapi inilah karakter yang sinonim dengan saya, lagipun penonton sudah biasa melihat saya di dalam filem sebegitu,” katanya.

Dalam pada itu, bersyukur dengan kemenangannya, Sofi berkata, tidak sekadar bergantung kepada peranan antagonis sahaja, dia juga mempunyai matlamat sendiri dalam bidang lakonan.

“Apabila menang kali ini memang peminat akan meletakkan harapan lebih tinggi terhadap lakonan saya.

“Sebab itulah, saya tidak pernah puas dengan mutu lakonan yang ada setakat ini.

“Saya sudah berlakon lebih 40 buah filem, namun kuantiti bukanlah apa yang saya mahu sebaliknya kualiti, jadi saya akan terus berusaha dan mendalami pelbagai watak selepas ini,” katanya mahukan watak yang lebih matang.

Mengulas mengenai perkara tersebut, kata Sofi, rata-rata filem yang dijayakannya lebih bersifat remaja.

“Saya harap dengan kemunculan filem baru nanti, penonton akan membuka mata terhadap watak yang saya lakonkan. Pasti mereka tidak sabar mahu melihat saya menjadi Inspektor Polis.

“Yang pasti, watak tersebut punya identiti tersendiri,” katanya bakal muncul sebagai teraju utama bagi beberapa filem dalam masa terdekat ini.

Zizan Razak - Foto Sinar Harian oleh ZULKIFLI AHMAD ZAKI

Zizan masih jadi pilihan

Lakonannya sebagai teraju utama dalam filem Hantu Kapcai berjaya mengangkat populariti jejaka kelahiran Terengganu ini dalam bidang seni tempatan.

Bahkan filem tersebut turut mendapat perhatian peminat seni kerana pelawak popular, Zizan Razak diberi kepercayaan mendukung watak utama.

Dek kerana itu, kemenangannya menerusi filem ini bagi kategori Hero Terhebat bagai sudah dijangka.

Berbicara mengenai perkara tersebut, akui Zizan, peminat kini sudah bijak memilih bukan kerana populariti semata-mata.

“Bagi saya apa yang penting adalah bakat, jika popular itu penting, sudah ramai pelakon yang lebih popular akan menang.

“Lagipun, peminat kini sudah pandai membezakan yang mana baik atau tidak,” katanya.

Berkongsi kemenangan kali kedua di anugerah yang sama tahun lalu, katanya, dia tidak menjangkakan akan beroleh kemenangan yang sama tahun ini.

“Semua ini di tangan peminat dan saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan oleh mereka.

“Yang pasti, sokongan mereka membuatkan saya lebih berusaha untuk meningkatkan mutu lakonan,” katanya yang memasang impian melakonkan watak lebih serius, nakal dan jahat.

Persembahan Kaka dan Zizan mampu menghiburkan penonton. Foto Sinar Harian oleh ZULKIFLI AHMAD ZAKI

Tuah Izzue & Neelofa

Sementara itu, bagi pelakon sedang meningkat naik, Izzue Islam, lakonannya menerusi filem 29 Februari telah membawa  kenangan manis buatnya apabila dinobatkan sebagai Hero Baru Terhebat.

Berkongsi perasaan kemenangannya itu, pelakon berusia 23 tahun ini memberitahu, dia sangat teruja apabila diumumkan sebagai pemenang bagi kategori tersebut.

“Alhamdulillah, semua ini peminat yang beri kepada saya, tanpa mereka tidak mungkin saya memiliki semua ini.

“Apa pun, saya perlu memperbaiki prestasi lakonan selepas ini kerana yakin peminat mengharapkan yang terbaik dari saya.

“Penghargaan ini juga membuktikan saya semakin diterima dan saya tidak sesekali akan menghampakan mereka,” katanya yang akan muncul dengan drama berjudul Sahabat dalam masa terdekat ini.

Bagi pelakon cantik, Neelofa pula, dia sendiri tidak menduga terpilih sebagai Heroin Baru Terhebat menerusi filem Hantu Kapcai dalam Anugerah Bintang Blokbuster tahun ini.

Jelas Neelofa, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk menang.

“Ini adalah anugerah pertama saya dan saya cukup berterima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini.

“Kalau tiada mereka, semua ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ghaz Abu Bakar. - Foto Sinar Harian oleh ZULKIFLI AHMAD ZAKI

Hantu Kapcai menang besar

Sudah namanya Anugerah Bintang Blokbuster sudah tentulah mustahil jika tidak diumumkan filem mana yang menjadi pilihan penonton tahun ini.

Bagai sudah menepati ramalan, filem sentuhan Ghaz Abu Bakar, Hantu Kapchai telah diangkat sebagai filem terhebat dan menewaskan beberapa filem lain seperti Istanbul Aku Datang, Jiwa Taiko dan Adnan Sempit 2.

Ini sekali gus melayakkan Ghaz menerima wang tunai RM15,000 berserta trofi tajaan Astro.

Lebih menarik apabila Hantu Kapcai berjaya membolot empat lagi anugerah iaitu bagi kategori Anugerah Filem Aksi Terhebat, Filem Kelakar Terhebat, Hero Terhebat dan Heroin Baru Terhebat.

Berbicara mengenai perkara ini, kata Ghaz, sememangnya dia banyak mendengar ura-ura Hantu Kapcai akan menang.

“Bukanlah saya meletakkan harapan, saya juga 50-50 hendak mengatakan filem ini akan menang.

“Tetapi dengan kemenangan besar ini, saya sangat bersyukur dan rasanya, semua ini berlaku kerana Zizan,” katanya.

Ditanya apakah dia kesal kerana walaupun filemnya diangkat sebagai filem terhebat, tetapi dia tidak memenangi anugerah direktor terhebat, jelas Ghaz, ia tidak menjadi masalah baginya.

“Semua ini pilihan penonton dan peminat, lagipun saya puji serta bangga dengan abang Dharma Harun kerana memenangi kategori direktor baru terhebat,” katanya yang bakal mencipta kelainan bagi filem Hantu Kapcai 2 yang akan menjalankan penggambaran bermula tahun hadapan.


CORAT-CORET

- Anugerah Bintang Blokbuster tahun ini mengangkat tema vintage dan kotemporari, pun begitu rasanya tema kali ini kurang berjaya.

- Memilih gandingan pelakon dan pengacara popular, Scha Al Yahya serta Datuk AC Mizal sebagai hos, anugerah kali ini tampak hidup dengan keletah mereka.

- Artis undangan seperti Adam, Kristal, Spider, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor serta kolaborasi Zizan dan Kaka berjaya memanaskan pentas Anugerah Bintang Blokbuster 2013.

- Datuk Mejar David Teo menerima anugerah khas iaitu Anugerah Persatuan Penerbit Filem Malaysia kerana jasa dan baktinya dalam bidang seni tempatan.

- Persembahan kolaborasi penyanyi Indonesia, Shae bersama Bobo mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

- Stacy menerima anugerah khas We Chat menerusi persembahan pilihan penonton dan menerima wang tunai berjumlah RM10,000.

Comments

  1. Sofi Jikan kalau berlakon jahat..memang geram aje....yerlah watak jahat .... hehehe.

    pape terbaik pun senang nak berlakon watak jahat nie kan...

    mselim3

    ReplyDelete
    Replies
    1. uiihh mmselim3, bukan senang gak laa nak bawak watak jahat rasanya, sebab sebelum2 nie watak jahat dr pelakon2 lain semuanya keras, kaku, dialog je dahsyat, tapi badan kaku hehehehe, sofi jikan, bring the evil back to life.

      Delete

Post a Comment

Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my

Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers