Motif Band Pernah Di Tolak 10 Syarikat Rakaman

KUALA LUMPUR, 22 MEI 2013: Mungkin ramai yang begitu menggemari lagu tangkap leleh berjudul Tuhan Jagakan Dia, sejak ianya diperdengarkan di corong radio tempatan beberapa bulan lalu. Namun, masih ramai yang belum tahu atau belum mengenali artis yang membawakan lagu berkenaan.

Mereka ialah Motif Band iaitu lima orang anak muda berasal dari Bogor, Indonesia yang dianggotai Kikin sebagai vokalis, Rezza (gitar), Ado (drum), Atok (bass) dan Iman (gitar).

Tidak mempertaruhkan paras rupa, sebaliknya muzik pop rock tangkap leleh mereka itu nampaknya telah berjaya membawa Motif Band singgah ke negara ini selepas nama mereka menjadi sebutan hangat di seluruh Indonesia.

Ditemui semalam ketika majlis memperkenalkan Motif Band dan muzik mereka kepada pihak media, kumpulan ini nampaknya memiliki cerita pahitnya sendiri sebelum mula meraih populariti bermula awal 2012.

band, band muzik, band muzik Indonesia, kumpulan, penyanyi berkumpulan, persembahan muzik, motif band, tuhan jagakan dia, splash_terbaru, artis malaysia, berita, gambar, berita terkini, hiburan, selebriti


Kikin selaku vokalis kumpulan berkenaan berkata, pelbagai ujian telah Motif Band lalui semata-mata untuk memastikan muzik mereka diterima baik oleh masyarakat di negaranya.

"Kalau nak tahu, kami telah bertemu dengan 10 syarikat rakaman untuk mereka menerima muzik kami seadanya, tetapi semuanya ditolak. Malah persembahan kami pernah dibayar dengan sepinggan makanan oleh pihak penganjur dalam sebuah acara persembahan, tetapi perkara itu tidak dibuat untuk artis lain pula.

"Tapi Alhamdulillah, semuanya itu adalah pengalaman berharga buat kami berlima dan kami percaya dengan rezeki serta usaha kami untuk memperkenalkan muzik Motif Band akan diperkenankan Tuhan suatu hari nanti," katanya.

Nama Motif Band diilhamkan daripada makna motif itu sendiri iaitu corak, warna atau rekaan yang mewakili kecenderungan muzik setiap ahli kumpulan berkenaan masing-masing.

Mula ditubuhkan pada tahun 2005, kumpulan berkenaan pernah merakamkan album pertama bersama Warner Music Indonesia bagaimanapun telah menyertai syarikat rakaman lain pada 2010 sehingga terhasilnya dua lagu popular mereka Tuhan Jagakan Dia dan Tanggal 1 Bulan 2.

Di Malaysia, pihak MVM Production bertanggungjawab memperkenalkan kumpulan Motif Band dengan lagu-lagu tangkap leleh yang menjadi kekuatan serta resipi kejayaan mereka sehingga hari ini.

Mereka akan berada di negara ini sehingga 24 Mei ini bagi menjalani rangka promosi di stesen radio, televisyen dan sesi fotografi

Kata Kikin, setiap seorang daripada anggota kumpulannya mempunyai kerjaya masing-masing seperti ahli perniagaan dan juga tukang masak kerana kerjaya sebagai penyanyi di negaranya tidak mampu menjamin kesenangan.

Namun begitu, setiap dua kali dalam seminggu, kumpulan berkenaan akan berhimpun untuk membuat latihan bersama-sama selain kerap mendapat undangan membuat persembahan termasuk undangan ke rancangan hiburan di stesen televisyen tempatan.

"Memang kebanyakan lagu-lagu kami tangkap leleh atau sedih. Semuanya dicipta kami sendiri iaitu daripada luahan perasaan kami berpandukan pengalaman putus cinta masing-masing.

"Tapi itu tidak bermakna kami tidak ada lagu lain, namun begitu muziknya masih tetap tangkap leleh. Kerana ianya sudah menjadi identiti Motif Band kerana kami percaya kepada keaslian muzik kami sendiri dan tidak terikut-ikut dengan band lain," katanya.

Motif Band berharap kehadiran mereka di persada muzik tempatan akan diterima baik oleh peminat di negara ini sebagaimana penerimaan positif yang diberikan kepada kumpulan muzik popular terdahulu.


Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my






Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers