Dato` Siti Nurhaliza Rasa Lengkap Setelah Berhijrah


Dato` Siti Nurhaliza, Rasa, Lengkap, Setelah, Berhijrah, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Zamri Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 15 FEB 2013: Kemunculan Dato' Siti Nurhaliza di majlis sidang media "Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza" sempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan semalam memang amat dinantikan ramai pihak. Penyanyi hebat tersebut telah tampil di sidang media sempena Minggu Setiausaha setelah berhijrah yakni bertudung litup pada tanggal kelahirannya pada 11 Januari 2013 yang lalu.

Dato' Siti Nurhaliza, 34, menjelaskan bahawa dia kini merasa lega apabila hajatnya untuk berhijab penuh telah berjaya direalisasikan. Niat sucinya itu tercetus sesudah dia dan suami, Dato` Khalid mohd Jiwa atau Dato` K pulang daripada mengerjakan ibadah Haji beberapa tahun yang lalu.

"Dah lama Siti memasang niat untuk bertudung penuh tetapi disebabkan komitmen kerja, Siti cuba sempurnakan ia secara perlahan-lahan. Siti juga terpaksa ambil sedikit masa untuk tunaikan niat tersebut.

"Semua umum pun tahu yang Siti bukan sahaja perlu menyanyi malah menari dan pelbagai lagi. Jadi untuk bertukar atau berhijrah, ia memerlukan masa dan waktu yang sesuai untuk melakukannya. Alhamdulilah, pada harijadi Siti yang ke-34 bulan lepas, atas doa daripada semua, akhirnya telah sampai masanya untuk Siti berhijrah.

"Secara kebetulan, hari tersebut pula jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari dan berdekatan dengan Maulidur Rasul,"ceritanya mengenai titik tolak permulaan untuk bertudung litup.

Setelah berhijrah, Dato' Siti Nurhaliza mengakui merasakan lebih lengkap dengan imej terbaru itu. Walaupun begitu, penyanyi tersebut tetap berharap masyarakat umum akan dapat melihat dirinya sebagai seorang penyanyi yang mempunyai komitmennya tersendiri.

"Kalau cakap pasal perasaan, Siti merasakan ianya sudah lengkap dan tercapailah niat Siti selama ini untuk bertudung penuh. Siti menghargai setiap saat serta pengalaman yang dilalui ketika sebelum pakai tudung, berselendang dan kini bertudung penuh.

"Tetapi Siti tahu Siti masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki walaupun sudah bertudung penuh. Siti masih akan menyanyi dan membuat persembahan kerana ianya berkaitan dengan komitmen kerja. Sebab itu Siti katakan, walaupun Siti sudah bertudung. namun masih ada lagi kekurangannya dan berharap Siti akan dapat memperbaikinya sedikit demi sedikit.

"Selebihnya Siti hanya mengucapkan syukur Alhamdulillah apabila hajat yang diimpikan selama ini telah tercapai,"tambahnya lagi.

Dia turut diminta mengulas tentang stail tudung yang digayakannya kini akan menjadi ikutan serta trend buat mereka yang berhijab, namun dia tidak mempunyai perancangan untuk mengeluarkan sebarang tudung dibawah jenama namanya.

"Ada yang minta Siti buat tutorial mengenai cara pemakaian tudung Siti yang sekarang ini. Tiada cara khusus sebenarnya, jika ada yang berminat boleh menghubungi pereka fesyen Siti untuk mendapatkannya.

"Siti pun belum terfikir untuk mengeluarkan sebarang koleksi tudung seperti tudung Siti Nurhaliza buat masa ini,"ulasnya mengenai trend pemakaian tudungnya yang dijangkakan bakal menjadi ikutan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers