Kerajaan Barisan Nasional memberikan rakyatnya satu lagi halwa sebagai hadiah tahun baharu, 2016 menerusi berita kenaikan harga tol |
Saya secara peribadi sangat tersentuh melihat setiap strategi kerajaan dalam memastikan rakyat semakin jauh daripada Barisan Nasional (BN). Kalau tradisinya kerajaan akan berusaha untuk memberikan khidmat pentadbiran yang terbaik dan memuaskan menjelang musim pra pilihanraya, kerajaan BN pula bertindak sebaliknya.
Pelik, tetapi kalau strategi ini tetap memenangkan BN, sudah pasti langkah luar biasa kerajaan ini berjaya, bukan setakat berjaya, tetapi, berjaya dengan gilang gemilangnya. Ya, kerana strategi paling tidak mesra rakyat ini kalau diterapkan di negara lain, tak perlulah tunggu sampai pilihan raya, kerajaan itu sudah lama terkubur dan mereput.
Tetapi di Malaysia, kerajaan amat beruntung mendapat rakyat yang bukan sahaja bertolak-ansur malah, kekal sabar dan mesra kerajaan, kerana kita hanya beremosi tetapi tidak bertindak.
We dont walk the talk!
Apapun pelaksanaan yang menderitakan sekalipun, kita akhirnya redha. Kita terima selepas bising seketika di laman sosial atau kedai kopi, itu sahaja kuasa rakyat. Eloklah, bersyukurlah, sekurang-kurangnya kita masih diberi kebebasan untuk bercakap sesama sendiri mengenainya, bukannya terus dihalang atau tidak diberi peluang langsung!
Musim debat tiba
Sedari pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga pemansuhan subsidi bahan api, kenaikan harga tol, kenaikan caj pengangkutan awam, diikuti pula skandal melibatkan wang rakyat seperti 1Malaysia Development Malaysia (1MDB) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) misalannya, semua itu sudah pasti menjarakkan rakyat daripada kerajaan setengah abad ini.
Terbaru, pengumuman kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus di semua lebuhraya PLUS bermula tahun hadapan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin membuka lagi ruang debat.
Pada Oktober lepas, debat dan ketidakpuasan terhadap berita 18 lebuh raya, hampir kesemuanya melibatkan laluan di Lembah Klang selain laluan KL-Karak dan Lingkaran Luar Butterworth di Pulau Pinang baru sahaja reda.
Kini muncul satu lagi kenaikan. Perjanjian terkini menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus setiap tiga tahun mulai 2016 hingga tamat tempoh konsensi pada 31 Disember 2038.
Tidak tahulah jika tempoh konsesi akan benar-benar tamat pada 2038 atau akan dipanjangkan lagi di masa akan datang. Persoalannya, mengapa kita perlu berdepan dengan begitu banyak kenaikan yang dilakukan begitu kerap selain ketiadaan jalan alternatif yang baik sebagai pilihan?
Jika dibandingkan dengan negara-negara dunia yang lain ataupun setakat sekadar negara yang pernah saya lawati, saya tidak pernah melihat tol yang banyak seperti di negara sendiri. Adakah ia sesuatu yang harus dibanggakan atau tidak, saya pun tak tahu!
Tol setiap 5 hingga 10 kilometer
Lazimnya, di luar negara, kita membayar tol sama ada di sempadan sesuatu negeri atau selepas keluar dari lapangan terbang. Jarang sekali saya berdepan dengan tol setiap lima hingga 10 kilometer sepanjang perjalanan seperti di bumi bertuah ini.
Malah, laluan bertol di Indonesia dan Thailand hanya digunakan jika jalan umum tersangat sibuk dan sesak. Tetapi di Malaysia atau Selangor, lebih tepatnya Lembah Klang, di mana ada tol, di situlah jalan penuh sesak.
Menurut kajian, sebanyak 31 buah lebuh raya dibina sehingga ke hari ini dengan hampir 90 peratus lebuh raya di Malaysia dimiliki oleh syarikat swasta dan GLC.
Menurut satu laporan, kerajaan menganugerahkan konsesi dengan hak eksklusif kepada mereka untuk membina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya bagi tempoh konsesi yang dipersetujui. Ia disifatkan sebagai salah satu bentuk Public-Private Partnership yang dipelopori kerajaan sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.
Terma ‘tempoh konsesi’ ini merujuk kepada tempoh yang diberi oleh kerajaan kepada syarikat untuk mengutip dan menyelenggara lebuhraya. Soalnya, mengapa pihak kerajaan tidak pernah mendedahkan tempoh konsesi yang diberikan kepada setiap lebuhraya secara telus? Persoalan ini bukan sahaja menyentuh isu tempoh tetapi keseluruhan intipati perjanjian dalam konsesi antara kerajaan dan syarikat terlibat.
Rakyat bukannya hamba yang tiada hak untuk mengetahui kandungan perjanjian, bukan? Jadi, salahkah sebagai rakyat, kita mahu tahu tempoh dan isi kandungan perjanjian yang semakin hari semakin menekan ekonomi rakyat?
Perjanjian berat sebelah?
Malah sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pernah menyatakan bahawa perjanjian konsesi tol terlalu memihak kepada syarikat-syarikat lebuh raya sedangkan kerajaan punya pilihan untuk menamatkan perjanjian pada bila-bila masa dan hanya membayar pampasan untuk kos lebuh raya sahaja tidak termasuk nilai geran yang diberikan kerajaan.
Langkah itu satu pendekatan yang mampu diambil oleh kerajaan sekaligus meringankan beban pengguna lebuhraya.
Bagaimanapun, dalam hal ini, kerajaan dilihat enggan berbuat demikian dan lebih berpihak kepada syarikat konsesi kerana tidak mahu kehilangan keuntungan masa hadapan. Malah, kerajaan juga dikatakan terpaksa membayar pampasan sekiranya unjuran jumlah kenderaan yang disasar oleh konsesi tidak tercapai.
Apalah agaknya rupa unjuran yang di’jangka’kan konsesi walaupun hakikatnya kenderaan di jalan raya dilihat semakin hari semakin bertambah berkali-kali ganda, dibuktikan pula dengan kesesakan lalu lintas yang bagai nak rak.
Kita nak tahu juga perkiraan syarikat-syarikat ini terhadap sasaran unjuran yang nampaknya sangat tidak masuk akal, sekurang-kurangnya bagi saya yang lemah kira-kira.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.