Salammusik Kekal Positif Dalam Perjuangan Seni Mereka
Memakai kemeja-T terpampang dengan kata-kata “kekal positif,” bersempena dengan single terbaru kumpulan Salammusik, Salam hadir ditemani oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus Salam, Iris.
Saya kemudian mendapat tahu bahawa Iris adalah seorang keturunan Belanda, dan merupakan antara orang yang paling dekat dengan Salam dan kumpulan Salammusik sendiri, selaku pengurus sejak detik awal perjalanan seni beliau.
Sewaktu permulaannya dahulu, Salammusik hanya sekumpulan rakan-rakan dan kenalan masing-masing yang kerap berkumpul untuk sama-sama menghasilkan muzik. Sesi jamming yang sering diadakan di sebuah rumah sewa millik Salam sendiri menjadi titik permulaan pelbagai kenalan baru, pengalaman baru, dan lantas mencetuskan suatu nafas muzik yang baru.
Menurut Salam, beliau mengambil langkah mendirikan studio sendiri ekoran kekurangan peralatan di pusat pengajiannya. Sesuai dengan jurusan yang diambil dalam bidang penataan bunyi dan rekaan muzik, studio ini menjadi tempat beliau berkarya dan berlatih dalam bidang yang difikirnya akan bakal diceburinya nanti.
Salammusik Kekal Positif Dalam Perjuangan Seni Mereka |
Hasil daripada studio itu, wujudlah sekumpulan rakan-rakan yang kini dikenali sebagai Salammusik.
“Kadang-kala pelajar lain akan datang ke rumah untuk menyiapkan tugasan pembelajaran. Ada kenalan yang kemudian turut membawa kenalan mereka yang lain ke mari, ada antaranya juga pemuzik, dan disitulah tercetusnya bibit-bibit awal Salammusik. Ia berlaku secara semulajadi,” kata Salam, menceritakan detik awal berkenalan dengan beberapa pemuzik yang kini menjadi sebahagian daripada kumpulan itu.
Tahun 2010 menampakkan permulaan yang serius bagi Salammusik dengan kemunculan lagu Cerita Kedai Kopi, single pertama mereka bersama DJ Fuzz dan juga Malique.
“Minat muzik itu memang sentiasa wujud dalam diri saya,” tegas Salam, yang berkata kiranya haluannya sebagai penyanyi tidak pernah menjadi kenyataan beliau akan tetap melibatkan diri dalam muzik tidak kisahlah sebagai penerbit, pencipta, atau lain-lain. Tetapi kejayaan Cerita Kedai Kopi benar-benar menjadi pencetus bagi Salammuzik untuk terus membawa muzik yang dijuangkan oleh kumpulan itu ke peringkat yang lebih tinggi.
Biarpun untuk melayan minatnya sendiri ataupun sebagai sumber inspirasi, Salam ternyata lebih condong ke arah mendengar lagu-lagu daripada artis lama. Ramli Sarip, M. Nasir, Ella, kumpulan Alleycats, serta P. Ramlee merupakan antara nama yang disebut sepanjang temubual ringkas kami. Kebetulan, Salam baru sahaja membeli koleksi lagu-lagu terbaik P. Ramlee yang mempunyai enam CD kesemuanya sehari sebelum pertemuan kami yang katanya tidak sabar untuk diamati sepenuhnya.
Selain itu, Salam menyebut lagu Jasai Nights daripada artis Prem Joshua sebagai lagu yang sedang ligat diputarkan dalam playlist peribadinya di saat ini. Artis antarabangsa lain yang menjadi pilihannya termasuk Wyclef Jean, Lauryn Hill, serta Erykah Badu.
Salam mengakui memang banyak merujuk sumber lagu-lagu lain sebagai ilham dalam menghasilkan lagu Salammuzik sendiri, tetapi berkata pengaruh yang paling besar dalam setiap lagu yang dihasilkan adalah rakan-rakannya sendiri.
“Setiap lagu akan ada liriknya, dan mungkin ada garis panduan yang sangat asas, tetapi apabila kami masuk ke studio dan mula berkarya, setiap pemuzik yang terlibat boleh menyumbangkan kreativiti masing-masing, dan hasilnya mungkin terlalu berbeza dengan perancangan asal. Sebab itulah kami tidak terlalu suka merancang. Kami tidak suka menyekat haluan kreatif kumpulan kami,” tegasnya lagi.
Tidak dinafikan, Salammusik sudah mendapat pengikutnya yang tersendiri dan ramai di antara mereka meminati kumpulan ini kerana keunikan lagu-lagu yang dibawa. Ada yang pernah mengklasifikasikan muzik mereka sebagai reggae, hip hop, atau muzik Melayu moden, tetapi Salam sendiri lebih suka menggambarkan muzik yang mereka bawa sebagai muzik rakyat yang katanya dihasilkan berdasarkan senario sosial negara Malaysia sendiri.
“Bila menghasilkan lagu, apa yang kami mahukan adalah pendengar fahami lirik dan maksud lagu itu, itu sahaja,” tambahnya lagi.
Jelaslah bahawa Salammusik bukan bertujuan menyaingi ataupun menyamai kebanyakan artis masa kini. Pada zaman di mana muzik bergenre pop dan romantis banyak menjadi pilihan penggemar muzik tempatan, Salammusik terus berkarya untuk sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru tanpa mahu disekat oleh kekangan yang diberikan melalui label atau genre.
Konsep ‘bebas’ ini turut diaplikasikan dari segi bilangan ahli Salammusik, yang jumlahnya sering berubah-ubah. Pada masa ini, ahli-ahlinya terdiri daripada sepuluh orang pemuzik kesemuanya, tetapi Salam menegaskan kumpulan itu sendiri sentiasa mengalami evolusi.
Kerana kumpulan ini menemui asal-usulnya dalam sebuah studio yang kecil suatu masa dahulu, ahli Salammusik sebenarnya pernah lebih ramai daripada yang ada sekarang ini, dan pernah juga kurang.
“Pokoknya, siapa yang masuk ke studio, sertai sesi jamming, dan menyumbang pada sesuatu lagu itu, dialah Salammusik pada waktu itu,” terangnya ringkas.
Salammusik banyak mendapat perhatian apabila berjaya merangkul Anugerah Album Terbaik AIM 19 pada tahun 2012, kejayaan yang ternyata mengejutkan orang ramai apabila mereka mengalahkan artis-artis hebat seperti Stacy, Nora, Pesawat, dan juga Hujan. Apabila saya bertanya kepada Salam jika beliau pernah menyangka akan kejayaan yang dicapai pada waktu itu, Salam tidak menjawab serta merta. Beliau menjeling ke arah pengurusnya, seolah-olah mencadangkan bahawa Iris orang yang lebih sesuai bagi saya untuk mengajukan soalan ini.
“Sama sekali tidak,” ujar Iris, yang turut merasakan kejayaan itu sebagai suatu kejutan yang menggembirakan.
“Bagaimana anda boleh memenangi Anugerah Album Terbaik jika tidak mendapat Anugerah Artis Baru Terbaik?”
“Kami mendapat dua pencalonan pada tahun itu dan ada meletakkan harapan kecil untuk memenangi Anugerah Artis Baru Terbaik,” ujar Salam, menyambut pertanyaan Iris tadi.
“Apabila anugerah itu diumumkan sebagai milik artis lain, kami sudah tidak berharap langsung untuk memenangi Anugerah Album Baru Terbaik pula.”
Meskipun Salam sendiri tidak pernah menyangka akan memiliki anugerah tersebut pada tahun itu, peminat setia Salammusik pasti beranggapan ia merupakan pengiktirafan yang sewajarnya bagi kumpulan pemuzik yang membawa arus baru dalam industri muzik tempatan.
Apa yang pasti, kejayaan itu tidak sedikitpun mengubah sikap ahli-ahli kumpulan itu kecuali menjadikan mereka lebih serius untuk terus menghasilkan muzik berkualiti bagi menghiburkan peminat, selain menjadikan genre muzik rakyat yang mereka juangkan terus diterima ramai.
“Bila bercerita tentang festival muzik, memang banyak perbezaannya. Dari segi suasananya, mereka yang bekerja di belakang tabir, layanan yang diterima, dari segi bunyi juga, semua perkara pasti ada perbezaannya,” jawab Salam.
“Tetapi semasa acara Rock The World misalnya, penonton kelihatan benar-benar menyelami persembahan yang dibawakan Salammusik, dan itu antara ketikanya Salammusik menerima maklumbalas paling positif daripada penonton,” sambung Iris lagi, yang membuat kesimpulan bahawa tanpa mengira negara, penonton di festival dan acara muzik akan sentiasa menunjukkan sokongan dan penerimaan mereka, cuma ia ditonjolkan dalam cara yang berbeza.
Salam bersetuju dengan Iris sambil menawarkan pendapatnya sendiri. “Saya merasakan perbezaan paling besar sebenarnya dari segi produksi. Di Eropah misalnya, produksi festival muzik diatur dengan begitu rapi, artis dijaga dengan betul, dan jurutera bunyi juga melakukan tugas dengan sangat baik. Dan apabila membuat persembahan pentas itu benar-benar milik anda sepenuhnya. Anda boleh melakukan apa sahaja semasa persembahan dengan syarat bahawa ia adalah dalam tempoh masa yang diperuntukkan bagi persembahan itu.”
Bagi Salam, segala yang dilaluinya ini sebagai pemuzik adalah semata-mata demi cintanya pada cabang seni itu sendiri. Jelasnya,
“Membuat persembahan di Malaysia atau di tempat lain, apa yang penting keseronokan yang saya terima sebagai seorang penghibur sama sahaja tidak kira di mana saya berada.”
Bercerita tentang perancangan masa hadapan, dua daripada ahli Salammusik iaitu Tip dan Eyza Bahra bakal menghasilkan single di bawah label Salammusik masing-masing pada bulan April dan May 2014. Bagi Salammusik sendiri, kumpulan itu akan melancarkan album seterusnya menjelang akhir tahun 2014, sebuah album bersifat live. Apa yang menarik, album ini bakal mengumpulkan lagu-lagu yang dirakam secara terus di dalam studio, serta diambil daripada persembahan mereka semasa jelajah Muzikal Express di Eropah. Sebuah dokumentari terbitan Motiofixio berkenaan jelajah tersebut akan turut dilancarkan pada masa yang sama.
Salam juga sedang menumpukan tenaga untuk mendirikan Salammusik Studio C, sebuah studio di Shah Alam yang pada hematnya bakal menjadi sebuah pusat bagi segala macam aktiviti muzik dari merakam lagu, membuat persembahan, hinggalah menganjurkan acara. Jelaslah, masih jauh perjalanan Salam dan rakan-rakannya dalam berbakti pada industri seni muzik tanah air.
Bagi seorang seperti Salam yang seolah telah menenggelamkan segala aspek dirinya untuk disaluti sepenuhnya dengan muzik, apa pula “hobi” beliau? Apakah aktiviti sampingan yang memberikan keseronokan kepadanya?
“Muzik,” jawabnya penuh yakin.
Salam menawarkan pendapatnya sebagai renungan kami. “Semasa duduk di kafe ini kita ditemani muzik. Semasa duduk di dalam kereta kita ditemani muzik. Di mana-mana pun ada muzik. Muzik adalah segalanya, dan segalanya adalah muzik. Bagi saya, mencipta muzik adalah sesuatu yang paling mengujakan,” katanya, sekaligus mengakhiri cerita kedai kopi kami petang ini.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.