Lelaki Harapan Dunia Sertai Festival Filem Antarabangsa Locarno!

Lelaki Harapan Dunia Sertai Festival Filem Antarabangsa Locarno!


Lelaki Harapan Dunia sertai Festival Filem Antarabangsa Locarno, ke-67 di Switzerland.

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2014: Lelaki Harapan Dunia (atau tajuk Inggerisnya ‘Men Who Save The World’) telah terpilih untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Locarno ke-67 di Switzerland.

Filem yang merupakan tulisan dan sutradaraan Liew Seng Tat akan mengambil bahagian dalam kategori Concorso Cineasti del Presente (Sutradara Masa Kini) untuk Anugerah Nescens.

Lelaki Harapan Dunia Sertai Festival Filem Antarabangsa Locarno!


Senarai filem untuk Festival Filem Locarno ke 67 ini baru sahaja diumumkan hari ini. Tahun ini festival tersebut akan berlangsung dari 6 Ogos hingga 16 Ogos 2014.

Lelaki Harapan Dunia Sertai Festival Filem Antarabangsa Locarno!


Anugerah Concorso Cineasti del Presente ditujukan untuk sutradara serata dunia, khususnya yang baru mengarahkan filem sulung dan filem kedua. Dengan pemilihan yang sengit, hanya 15 buah filem sahaja yang terpilih dari seluruh dunia setiap tahun.

Bermula pada 1946, Festival Filem Locarno adalah antara yang tertua di dunia, selain festival di Venice dan Cannes. Locarno telah menempatkan ajangnya sebagai yang utama dalam sinema dunia serta menempa kerjaya pembikin-pembikin filem muda yang terpilih ke festivalnya.

Antara sutradara yang telah melonjak naik setelah dihidu dan dibawa ke Locarno adalah Stanley Kubrick, Paul Verhoeven, Mike Leigh, Chen Kaige, Edward Yang, Jim Jarmusch, Abbas Kiarostami, Gus Van Sant, dan Kim Ki-Duk.

Lelaki Harapan Dunia Sertai Festival Filem Antarabangsa Locarno!


Filem Liew Seng Tat yang dinanti-nantikan ini dahulunya dinamakan ‘In What City Does It Live?’. Filem ini telah menerima sokongan dana antarabangsa termasuklah dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Torino Film Lab (Itali), Hubert Bals Fund (Belanda), Netherlands Film Fund, World Cinema Fund (Jerman), Visions Sud Est (Switzerland), Fondation Groupama Gan pour le Cinéma - Cinefondation (Perancis), Prince Claus (Belanda), Mahindra Global Filmmaking Award di Sundance Institute, Sundance Institute Feature Film Program dan Doris Duke Foundation (Amerika Syarikat).

Liew telah mengembangkan filem Lelaki Harapan Dunia semasa di program Cannes Director’s Residence – Cinefondation lagi dan turut mengambil bahagian di Sundance Screenwriters Lab 2011. Filem sulungnya ‘Flower in the Pocket’ (2007) meraih beberapa anugerah dan hadiah di beberapa ajang filem festival antarabangsa termasuklah di Busan, Rotterdam, Fribourg, Deauville dan Pesaro.

Lelaki Harapan Dunia ialah sebuah filem komedi drama yang mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung.

Filem ini membariskan pelakon berpengalaman. Antaranya Wan Hanafi Su, Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, dan Azhan Rani. Ia diterbitkan oleh Sharon Gan dan diterbitkan bersama oleh Everything Films Sdn. Bhd. (Malaysia) dan Volya Films (Belanda), Flying Moon Filmproduktion (Jerman) dan Mandra Films (Perancis).

Lelaki Harapan Dunia akan menemui penonton Malaysia di layar perak pada 27 November 2014. Ikuti berita-berita terkini tentang filem ini dengan melanggani laman www.facebook.com/lelakiharapandunia

Sinopsis Filem

Filem berkisah tentang sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat kesalahfahaman penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang dihuni oleh “hantu” sedangkan terdapat seorang pendatang asing Afrika yang menghuni secara sembunyi-sembunyi. Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak percaya kepada tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengar. Benarkah "hantu" itu "Orang Minyak"?

Festival Filem Locarno

Bermula pada 1946, Festival Filem Locarno (atau dalam Bahasa Italinya, Festival del film Locarno) adalah antara yang tertua di dunia, selain festival di Venice dan Cannes. Sebagai festival yang khusus bertujuan mencungkil bakat dan kecenderungan baru, Locarno mapan sebagai acara utama sinema dunia dan kukuh sebagai landasan berharga bagi generasi baru dunia perfileman.

Locarno sering menemui bakat-bakat besar sutradara muda dari seluruh dunia, sebelum dihidu festival-festival lain. Adakalanya dikesan seawal filem pendek pertama mereka lagi yang kemudian meletakkan sutradara-sutradara ini sebagai pembikin filem utama generasi mereka sendiri: sebagai contoh termasuklah Claude Chabrol, Stanley Kubrick, Paul Verhoeven, Milos Forman, Marco Bellocchio, Glauber Rocha, Raul Ruiz, Alain Tanner, Mike Leigh, Bela Tarr, Chen Kaige, Edward Yang, Aleksander Sokurov, Atom Egoyan, Jim Jarmusch, Spike Lee, Gregg Araki, Catherine Breillat, Abbas Kiarostami, Gus Van Sant, Pedro Costa, Fatih Akin, Claire Denis, Kim Ki-Duk, dan ramai lagi.

Festival ini telah berjaya dan setia dengan pegangannya. Berlatarkan sejarah yang mengesankan dan teguh menghadapi masa mendatang, Festival Filem Locarno kini lebih sinonim dengan penemuan dan inovasi berbanding sebelumnya. Prihatin dengan perkembangan sinema moden demi mencari filem-filem yang paling inovatif saat ini, festival ini tersohor kerana program-programnya yang bersifat terbuka dan bertaraf tinggi dengan tayangan-tayangan perdana antarabangsanya.

Dari blockbuster ke filem bebas, filem bergenre ke eksperimentasi, dan dokumentari ke filem pendek terbaik, saban tahun pemilihan Locarno adalah penanda aras sutradara auteur sinema dunia untuk hari ini dan masa hadapan.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers