Fasha Sandha 'jaga pantang'

Fasha Sandha 'jaga pantang'
Fasha Sandha 'jaga pantang'

Fasha Sandha 'jaga pantang'


PELAKON cantik, Fasha Sandha mendedahkan dia mengamalkan nasihat dan pantang larang yang diberikan ibunya, tatkala terlibat dengan penggambaran di kawasan hutan atau di rumah kosong.

Dek kerana menjaga pantang atau menjaga tatatertib, akui Fasha Sandha dia bersyukur kerana tidak pernah mengalami apa-apa gangguan pelik atau gangguan makhluk halus dari mula penggambaran hingga akhir.

“Penanggal adalah filem seram kedua saya selepas Gong. Alhamdulillah dari Gong sehingga ke Penanggal saya tidak pernah mengalami peristiwa misteri atau mistik.

“Ini kerana saya mengikut pesanan mak saya iaitu minta izin dan jaga tatatertib. Jadi bila sepanjang di dalam hutan, apa saja yang saya buat saya akan minta izin kerana kita pergi ke tempat orang.

“Dalam hutan, pokok-pokok semuanya hidup, tanah pun hidup. Biasanya saya akan cakap:  ‘Saya minta izin. Saya datang sini nak bekerja. Tolong jangan ganggu saya.’ Saya pastikan, tisu pun saya tak buang merata-rata,”  katanya ketika ditemui pada malam previu Penanggal, di e@Curve, baru-baru ini.

Penggambaran Penanggal dijalankan di sekitar Kuala Kangsar, Perak pada Disember 2011. Ketika itu hanya beberapa bulan saja lagi sebelum Fasha berkahwin dengan Rizal Ashram (Jejai).

Fasha Sandha Belajar bahasa Arab


 Berkongsi mengenai karakternya dalam filem sulung arahan Ellie Suriaty itu, Fasha yang memegang watak Sharifah Zahrah berkata, cabaran paling besarnya apabila dia perlu melakonkan karakter gadis berketurunan Arab.

“Kalau nak bercakap dalam bahasa Arab ikut skrip, semua orang boleh. Tapi disebabkan saya bukan datang dari keluarga berdarah Arab, jadi saya tak fasih dengan sebutan-sebutan perkataannya.

“Jadi saya kenalah usaha lebih sikit, saya ambil inisiatif ikuti kelas bahasa Arab selama lebih kurang dua bulan, " katanya.

Meskipun bukan seorang penggemar filem seram namun, Fasha sambil turut meluahkan rasa bangga dan teruja apabila diberi kepercayaan oleh Ellie menjadi sebahagian filem tersebut.

Malah, dia cukup mengagumi kesungguhan Ellie sepanjang penggambaran walaupun pengarahnya itu sedang hamil.

“Disebabkan dia juga seorang pelakon, jadi dia tahu naluri berlakon tu bagaimana. Dia seorang yang banyak idea, sangat teliti dan menjaga setiap inci lakonan saya,”  katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran telemovie Racun Ibu.

Selain Fasha, Penanggal dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Ummi Nazeera, Normah Damanhuri, Syed Yusof, Zul Ariffin, Nadia Mustafa, Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Kuswadinata dan ramai lagi.

 Filem seram klasik terbitan Tayangan Unggul dengan kerjasama Grand Brilliace ini akan mula ditayangkan dipawagam pada 28 November 2013.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers