Nur Heliza Helmi |
Semangat patriotik Heliza!
MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Itulah ungkapan yang memberi sejuta makna buat Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Pengisytiharan itu sekali gus membawa Tanah Melayu keluar daripada belenggu penjajah serta membawa kepada kebebasan dan pembangunan pada hari ini.
Pejam celik, pejam celik, tarikh keramat 31 Ogos itu datang lagi. Bukan sahaja untuk diraikan, tanggal itu turut mengingatkan kita mengenai keperitan hidup zaman penjajahan.
Pun begitu, setiap individu mempunyai cara yang tersendiri dan berbeza dalam meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.
Mungkin pada dasarnya, cara sambutan kini tidak semeriah dulu, namun bagi penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 5 (AF5) ini, bahang sambutan 31 Ogos masih dekat di hati.
Menurut Heliza atau nama sebenarnya, Nur Heliza Helmi, 27, pada setiap tahun, dia sekeluarga akan meraikan tanggal keramat itu secara lebih bermakna.
"Keluarga saya memang bersemangat patriotik lebih-lebih lagi ayah saya. Kami memang dididik dari kecil untuk meraikan sambutan itu.
"Malah, setiap kali sambutan, kami akan memasang bendera di rumah, kereta dan mengagihkan kepada saudara mara serta rakan taulan.
"Setiap tahun, kami akan merasai suasana itu. Dengan cara inilah, semangat dan rasa cintakan negara akan terus kukuh di hati," katanya yang pernah menjayakan persembahan sempena sambutan kemerdekaan di Dataran Bandaraya Tawau.
Sentiasa bersyukur
Ditanya mengenai cara sambutan kemerdekaan masyarakat kini, Heliza tidak menafikan ianya berubah mengikut peredaran zaman.
Katanya, walaupun dengan cara yang berbeza dan lebih moden, ia tidak menjadi satu masalah asalkan semangat cintakan negara itu tetap utuh.
"Mungkin cara sambutan dah berubah kerana zaman dahulu, tidak semua orang memiliki televisyen untuk menonton di rumah.
"Kini seiring dengan peredaran zaman, ada yang lebih selesa menonton siaran istimewa di televisyen daripada menghadiri sambutan di luar.
"Namun, saya percaya, setiap orang memiliki cara tersendiri untuk menyambut tanggal bersejarah itu.
"Saya tertarik dengan cara sambutan yang bakal diadakan di Masjid KLCC pada malam ini. Walaupun tiada teriakan merdeka, namun majlis itu menyusun program Qiamullail.
"Walaupun kita sudah 56 tahun merdeka, namun kita tetap memerlukan bantuan dari ALLAH SWT untuk menjaga Malaysia daripada sebarang ancaman luar yang kita sendiri tidak tahu. Malah, kita harus sentiasa bersyukur dengan kurniaan-Nya," kata pelakon filem, Syurga Cinta ini.
Perlu sentiasa waspada
Menurut Heliza, walaupun negara kita tidak diuji dengan sebarang ancaman besar seperti yang dialami beberapa negara lain seperti Mesir, Rohingya dan Palestin, namun kita perlu berhati-hati serta berwaspada.
Katanya, perpaduan di kalangan masyarakat menjadi faktor penting dalam menghadapi sebarang ancaman yang mampu menggugat kestabilan negara.
"Apa yang saya nampak, kehidupan kita semakin kompleks dan teknologi berkembang dengan pesat.
"Kita sendiri tidak berupaya untuk menduga perkembangan teknologi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi. Namun yang pasti, cabarannya lebih hebat.
"Oleh itu, jati diri dan semangat kita perlu kuat bagi menghadapi semua itu. Peranan guru-guru di sekolah juga perlu diberi perhatian dalam mendidik pelajar untuk mengenal diri dan negara agar tidak mudah dijajah," katanya yang bakal terlibat dalam program Pray For Syria, Gaza & Rohingya di Kompleks Sukan Bangi pada 7 September ini.
Lancar album baru
Sepanjang penglibatannya dalam industri seni, Heliza masih tidak berpeluang untuk menghasilkan album atas kesibukan jadualnya.
Pun begitu, dia tetap berusaha untuk mengeluarkan albumnya sendiri. Walaupun masih mengumpul material untuk album pertamanya itu, Heliza telah pun memperkenalkan dua singlenya, La Tahzan dan Jom Berzikir.
Selain itu, Heliza juga turut berkolaborasi bersama penyanyi luar negara, Julien Drolon menerusi lagu, You Are The One.
"Alhamdulillah, kini saya dalam proses untuk mengumpul dua atau tiga lagu lagi untuk melengkapkan album. Mengenai single, La Tahzan, saya mendapat idea itu ketika mengunjungi bumi Gaza. Apa yang mereka lalui di sana, saya cuba terjemahkan menerusi lagu ini.
"Single Jom Berzikir pula adalah himpunan zikir yang diolah dalam susunan muzik yang lebih segar. Manakala, lagu duet itu adalah karya Julien Drolon. Saya dilamar untuk berduet dengannya selepas dia melihat video nyanyian saya di laman sosial, YouTube.
"Pun begitu, kami rakam video itu di dua lokasi berbeza. Ia adalah permintaan daripada Julien sendiri supaya penyampaian lagu itu lebih tepat kepada Sang Pencipta.
"Insya-ALLAH, jika tiada apa-apa halangan, album itu akan dilancarkan pada tahun ini. Doa-doakan ya!," katanya yang turut berhasrat untuk mengendalikan program bual bicara sendiri.
Butik pakaian Muslimah
Selain menguruskan syarikat, Heliza Helmi Production, duta syampu Sunsilk ini turut mengendalikan beberapa perniagaan termasuk Heliza Helmi Hijjab, Heliza Helmi Instant Telekung dan butik pakaian Muslimah, Falah Abiyana.
Baru sahaja dilancarkan pada Julai lalu, butik pakaian Muslimah itu turut dikongsi bersama tiga rakannya, Awin Seindah Wajah, Farah Adiba dan Shafinaz Yunus.
"Sejujurnya, jadual saya sangat ketat sejak akhir-akhir ini. Kadang kala, tak sempat nak makan bila sibuk menguruskan banyak perkara apatah lagi soal peribadi.
"Pada raya ketiga baru-baru ini, saya jatuh sakit selama seminggu. Mungkin ALLAH SWT 'tegur' kerana terlalu sibuk sehingga mengabaikan kesihatan.
"Namun, selepas sihat, saya kembali bekerja seperti biasa. Tapi, lebih berpada-pada. Kini, saya mula mengamalkan pengambilan vitamin dan supplemen untuk kekal sihat. Selain itu, saya juga mengamalkan makanan sunnah seperti badam, kismis, kurma dan air zam-zam setiap hari.
"Saya bukan sahaja sibuk dengan perniagaan, saya juga turut terlibat dengan program pengacaraan dan Usrah Fitrah. Itu yang membuatkan saya sangat sibuk," katanya yang mengakui masih belum menemui jodoh dan pasangan hidup.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.