Syanie pertikai keputusan juri

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, MasterChef, MasterChef Slebriti Malaysia 2, Syanie, Pertikai, Keputusan, Juri


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Jun 2013

Setelah pengarah, Michael Ang disingkir pada minggu lalu, kini giliran pelakon Syanie pula meninggalkan empat rakannya di dapur Masterchef Selebriti Malaysia 2 (MSM 2). Keputusan ini mengejutkan ramai pihak termasuk rakan-rakan seperjuangannya kerana Syanie merupakan peserta digeruni dan kemahiran memasaknya juga tidak perlu disangkal lagi.

Namun, hanya seorang sahaja yang layak untuk dinobatkan sebagai juara dan Syanie, 39, akur dengan keputusan juri yang juga chef. Syanie dan dua rakannya, Kenchana Devi serta Syura terpaksa melalui cabaran pusingan penyingkiran dan mereka dikehendaki menggunakan isi ketam untuk dibuat hidangan.

Walaupun hidangan Syanie, Ketam Bakar tidak menghampakan dan memenuhi piawaian rasa, namun atas kesilapan teknikal, ia menyebabkan Syanie disingkir. Menurut Syanie, dia tidak terfikir tindakannya yang menggunakan dua daripada tiga ketam yang diberi akan menyebabkan dirinya tersingkir.

"Sebenarnya, saya menggunakan semua ketam itu. Rancangan asal, saya nak hidangkan dua hidangan, ketam bakar dan sambal. Dua daripada ketam itu digunakan untuk ketam dan satu lagi untuk sambal.

"Namun, untuk hidangan sambal itu, saya tidak mengeluarkan isi ketam dan saya tidak tahu yang isi ketam itu perlu dikeluarkan semua. Jadi, saya tidak hidangkan sambal itu.

"Selepas saya disingkir, saya berjumpa dengan Chef Adu kerana kecewa dengan keputusan itu. Saya bukan nak tunjuk yang saya hebat, cuma saya tak boleh terima kerana ia hanyalah kesilapan teknikal. Kalau masakan saya tak sedap, saya terima.

Namun, keputusan juri sememangnya muktamad," katanya yang berjaya menyumbangkan RM8,500 kepada Autism Society of Malaysia.

Celina juara?

Penyingkiran Syanie sekali gus menyaksikan empat peserta layak ke saringan seterusnya iaitu Che Ta, Celina, Syura dan Kenchana Devi. Mereka bakal berentap untuk Cabaran Sajian Luar secara berkumpulan, setelah Celina memilih Che Ta sebagai rakan kumpulannya. Manakala Syura pula berpasangan dengan Kenchana.

Ketika ditanya mengenai siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara, Syanie memilih Celina atas beberapa faktor. "Masakan Celina sangat sedap dan dia mahir dalam masakan barat dan Cina. Ketika saya berada di dapur MSM 2, peserta paling saya geruni ialah Celina dan Michael Ang.

"Namun, Che Ta dan Syura juga tidak boleh diketepikan. Mereka memang hebat dalam masakan Melayu," katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers