Empat peserta layak ke final!

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, BMB, Bintang Mencari Bintang, Empat, Peserta, Layak, Ke, Final


NOR ATIEYAH YUSOFF
18 Jun 2013

SETELAH tiga bulan berentap di pentas Bintang Mencari Bintang (BMB), akhirnya hanya empat peserta saja berjaya melangkah ke Konsert Akhir BMB, yang akan berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 23 Jun ini.

Tapaw, Achey, Titan dan Bocik diberi kepercayaan untuk berentap di gelanggang akhir. Bagaimanapun Kumpulan Bowl terpaksa akur dengan penyingkiran mereka di saat-saat akhir apabila memperoleh markah terendah iaitu 107.7. Siapakah yang bakal bergelar juara BMB musim pertama? Saksikanlah konsert terakhir BMB secara langsung di TV3 pada 23 Jun ini!  

Tapaw dapat pujian

Kejayaan Tapaw ternyata memberi kejutan kepada peminat dengan persembahan yang mantap dengan penuh kemeriahan sehingga mereka dinobatkan sebagai juara minggu ini dengan markah tertinggi 135.3 diikuti dengan Achey (133.7), Titan (126.4) dan Bocik (125.9).

Kejayaan julung kali bagi anak didik Faizal Ismail dengan mengetengahkan sketsa polis begitu mencuit hati dan kemeriahan persembahan mereka lebih terasa dengan tarian poco-poco bersama semua sifu BMB.

Malah persembahan mereka turut dipuji juri profesional Ogy Ahmad Daud dan AR Badul.

"Bukan senang untuk melihat saya menari dan mereka berjaya lakukannya," kata Ogy. Kumpulan yang dianggotai dua anak muda ini iaitu Mohd Shah Rizal Sulaiman, 23, dan Khairul Faiz Sulaiman, 22, turut menerima pujian daripada juru jemputan Jacyln Victor.

"Saya terkejut dengan persembahan mereka yang sangat serasi. Mereka memang layak ke final," katanya.

Bagi Faizal pula, dia sangat teruja dan gembira dengan persembahan yang dilakukan oleh anak didiknya itu.

"Bagi kami setiap konsert merupakan persembahan terakhir begitu juga malam ini. Insya-ALLAH, kami akan gandakan usaha sehingga 300 peratus untuk konsert akhir BMB," ujar Faizal.

Persaingan sengit

Menurut Penerbit Eksekutif BMB, Muhamad Sufian Isa, cabaran pada malam itu sangat getir kerana semua peserta menunjukkan kesungguhan yang tinggi bagi merebut tiket ke final.

Katanya, peserta perlu mempersembahkan dua bahan dalam konsert akhir secara solo dan sifu mereka dengan masa enam minit bagi setiap persembahan mereka.

"Jika sebelum ini, hanya satu sahaja persembahan mereka namun kami mahukan kelainan tetapi masih mengekalkan sistem pemarkahan.

"Juri tetap pula akan dikekalkan kerana saya sangat berpuas hati dengan cara pemarkahan mereka dan juri jemputan akan dipilih dari kalangan penyanyi untuk menilai markah nyanyian mereka," katanya.

Sistem pemarkahan peserta akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus, 30 peratus melalui undian dan selebihnya daripada juri awam.

Juara BMB akan menerima hadiah utama berupa wang tunai RM200,000 manakala naib juara RM100,000 dan tempat ketiga menerima RM50,000.

Bagi tempat keempat, hadiah masih belum diputuskan kerana keputusan untuk empat peserta ke final dilakukan pada malam pentas separuh akhir.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers