Pasangan baru Jaclyn Victor

Malaysia, Berita, Gossip, Selebriti, Artis Malaysia, Pasangan, Baru, Jaclyn Victor


NINA FARZUIN MD SHAROM 
FOTO: ADAM SULAIMAN
28 Jun 2013

KEHEBATAN suaranya bukanlah calang-calang, malah bakat yang dimiliki bekas juara program realiti Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor ini sememangnya tiada tandingan.

Bukan sahaja berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam industri muzik tempatan, malah penyanyi berusia 35 tahun ini turut mengharumkan namanya di persada antarabangsa.

Sepanjang sembilan tahun pembabitan dalam industri muzik, Jaclyn telah melahirkan empat album seperti Gemilang, Inilah Jac, Jaclyn Victor 3 dan 3 Suara.

Bagi meneruskan perjuangannya, Jac kini sekali lagi tampil dengan album terbarunya, Ikut Rentakku di mana ia juga album pertamanya di bawah naungan syarikat rakaman KRU Muzik.

Apa yang membanggakan mengenai album ini, ia turut menyelitkan sebuah lagu kolaborasi bersama sebuah kumpulan antarabangsa popular pada 90-an, Az Yet berjudul Magical Moment yang diilhamkan oleh Edry Abdul Halim dan Shawn Rivera.

"Sejak awal diumumkan pihak KRU mengenai kolaborasi ini, saya seakan tidak percaya dengan apa yang mereka rancang untuk album ini.

"Sehinggalah proses rakaman dijalankan, saya rasa sangat tidak percaya dan boleh kata speechless dengan apa yang berlaku.

"Maklumlah, Az Yet terkenal di seluruh dunia, memang saya terasa sangat kerdil ketika itu. Ini adalah antara pengalaman yang paling berharga buat saya untuk melangkah lebih jauh," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai album tersebut, Jac memberitahu, album terbarunya itu memiliki keistimewaannya yang tersendiri begitu juga dengan album-album sebelumnya.

"Setiap album yang saya keluarkan memang dekat dengan hati saya kerana ia dihasilkan dengan usaha keras saya sendiri.

"Untuk album ini, saya dan Edry selalu membuat perbincangan dan saya gembira kerana dia amat memahami kehendak dan cita rasa saya. Apa yang boleh dilihat menerusi album kali ini adalah kematangan saya daripada pelbagai aspek," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Ikut Rentakku di Zouk, Kuala Lumpur, kelmarin.

Ikut Rentakku memuatkan lapan lagu iaitu Sebelah Jiwaku, Jagalah Diri (runut bunyi filem 29 Februari), Ikut Rentakku, Magical Moment, senafas Baru, Bersama Kamu, Hilang dan rakaman istimewa Sedetik Lebih.


Kerjasama berbaloi

Menyentuh mengenai perjalanan kariernya di bawah naungan KRU Muzik, Jac akui dia bersyukur kerana kerjasama itu membuahkan hasil yang baik.

"Setelah hampir dua tahun bekerja dengan pihak KRU Muzik, saya sangat gembira kerana setiap produk yang dikeluarkan semuanya berjaya menambat hati pendengar.

"Itu sudah cukup buat saya gembira dan berpuas hati. Saya amat harap kerjasama ini dapat diteruskan memandangkan ia memberi kesan positif terhadap kerjaya saya," katanya.

Pada perkembangan lain, Jac memberitahu, pihak KRU Muzik telah merancang untuk menghasilkan muzik video Ikut Rentakku dan mengatakan proses penggambaran dijadualkan dalam masa terdekat.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers