AKMALIAH RAZAK
28 Jun 2013
SEBAGAI manusia, tiada dugaan dan cabaran yang paling besar selain kehilangan orang yang tersayang dalam sekelip mata.
Namun, yang pergi tetap akan pergi dan sebagai khalifah yang masih bernyawa, kita perlu meneruskan perjalanan hidup.
Diduga dengan kehilangan ibunda tercinta dalam nahas jalan raya pada Februari lalu, siapa yang mampu menduga gejolak di jiwa pelakon, Catriona Ross.
Reda dengan ketentuan Ilahi, Catriona atau nama sebenarnya, Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, mengakui ia bukanlah situasi yang mudah untuk dipulihkan.
Menurut Catriona yang lebih mesra disapa Cat, walaupun insiden itu empat bulan berlalu, namun rasa rindu terhadap ibunya masih menebal.
"Tuhan saja yang tahu apa yang ada dalam hati saya. Kehilangan ibu memberi tamparan hebat buat saya kerana dia bukan sahaja ibu, malah teman baik, sahabat dan juga tempat saya mencurahkan segalanya.
"Paling saya ralat, anak kedua saya, Jammal Raess Ross’iddin, 11 bulan, tidak dapat mengenali neneknya seperti anak sulung saya, Sephia Rania Ross’iddin, 3.
"Namun, saya berusaha agar anak-anak sentiasa mengingatinya dengan menunjukkan gambar arwah setiap hari. Namun, saya bersyukur kerana ketika tempoh berpantang anak kedua, saya dapat meluangkan masa secara eksklusif dengannya di Kota Bharu, Kelantan," katanya dalam keadaan sebak.
Pada 13 Februari lalu, ibu Cat, Siti Zawiyah Ab Rahman, 63, bersama tiga yang lain, terlibat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak, apabila kenderaan yang mereka naiki gagal memotong dan dirempuh bas ekspres yang berada di laluan bertentangan.
Dalam kejadian itu, Zawiyah dan dua yang lain, maut manakala pemandu pula cedera.
Rasa rindu masih menebal
Kurang sebulan lagi, seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Pun begitu, Ramadan pertama tanpa ibu semestinya meninggalkan kesan yang mendalam buat Cat sekeluarga.
Katanya, sehingga kini, dia enggan memikirkan perkara itu kerana tidak mahu dirinya dirundung rasa sedih yang masih menebal.
"Saya tak tahu nak cakap apa. Diri ini terasa sangat kosong dan ralat dengan apa yang berlaku. Setiap saat, setiap ketika, saya merindui arwah.
"Malah, ketika arwah masih ada, dia sering mengunjungi rumah saya. Setiap kali, dia akan berehat di sofa khas untuknya sambil menikmati kopi panas ketika menonton televisyen. Tiap kali saya menonton rancangan penyiasatan dan seram, saya akan teringat padanya kerana itulah rancangan kegemarannya.
"Mungkin sehari sebelum puasa, saya dan dua beradik yang lain akan berkumpul. Namun, sejujurnya, tiada persiapan seperti sebelum ini untuk menyambut puasa dan raya. Saya akan menyediakan pakaian untuk anak-anak sahaja.
"Tahun ini, saya akan beraya di rumah keluarga mertua. Saya bersyukur kerana masih mempunyai keluarga mertua dan ipar duai yang baik," katanya yang mengambil kesempatan yang ada untuk menghasilkan buku kedua mengenai kisah hidupnya.
Menurut Cat, ramai yang bertanya kepadanya, bagaimana dia boleh mengharungi cabaran dengan tenang dan sekuat ini.
"Semuanya akan terjawab dalam buku itu. Siapa kita untuk melawan takdir dari Allah SWT. Namun, kita kena kuat dan saya turut mengamalkan beberapa teori dan cara untuk menangani masalah yang hadir.
"Insya-Allah, saya akan berkongsi cara dan teori itu bersama pembaca. Setakat ini, buku itu baru 10 peratus siap. Azam saya untuk menyiapkan buku ini juga adalah dorongan arwah ibu sebelum ini," katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri slot Azalea, Hujan, tidak lama lagi.
Luang masa bersama keluarga
Bergelar isteri dan ibu kepada dua cahaya mata bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi dalam masa yang sama, dirinya perlu menguruskan jadual kariernya.
Menurut Cat, walaupun masa sering mencemburuinya untuk terus berada bersama keluarga, namun Cat seboleh-bolehnya cuba memberikan waktu yang berkualiti untuk anak-anak dan suami.
"Masa yang terluang tidak akan saya sia-siakan. Selalunya, saya dan suami akan membawa anak-anak keluar bersiar-siar dan menemani mereka untuk melakukan aktiviti lain seperti melukis dan mewarna.
"Saya pula memang suka memasak di rumah. Rania tidak suka makan nasi dan saya akan sediakan makanan mengikut kehendaknya seperti pasta dan mi.
"Kalau saya bekerja, saya akan hantar anak-anak ke rumah keluarga mertua. Jadi, jika saya perlu ke luar daerah, suami akan menjenguk anak dan tidur di sana," katanya yang baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang keempat bersama, Shaharuddin Mokhtaruddin, 34, beberapa hari lalu.
Tambah Cat, dia sememangnya berhasrat untuk memiliki tiga atau empat anak, Namun, buat masa terdekat ini, fikirannya masih membatasi perkara itu.
"Saya memang suka anak ramai, namun saya sangat terkilan kerana kehadiran anak saya yang akan datang mungkin tidak mengenali arwah ibu.
"Namun, saya menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Kuasa. Jika diberi rezeki, saya terima dengan hati yang terbuka," katanya mengakhiri perbualan.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.