Misha Omar bersama tunangnya Firos Ezzwan. |
NOR ATIEYAH YUSOFF
27 Jun 2013
AKHIRNYA penyanyi popular Misha Omar menamatkan spekulasi mengenai perkahwinannya apabila dia mengesahkan bakal bernikah dengan tunangnya, Firos Ezzwan Rossly, 31, pada Februari tahun depan di Kota Bharu, Kelantan.
Walau bagaimanapun, Misha berkata, tarikh pernikahannya belum ditetapkan lagi kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya.
Pun begitu, tarikh sebenar akan diputuskan selepas keluarga kedua-dua belah pihak berbincang dan ia akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Alhamdulillah setelah ditangguhkan sekali lagi September lalu, akhirnya kami sepakat untuk memilih Februari 2014 ini. Kami memilih bulan tersebut sempena genap dua tahun mengikat tali pertunangan dan berharap semuanya berjalan lancar," katanya, semalam.
Ujar Misha, secara kebetulan mereka berdua lapang pada bulan itu dan tidak terikat dengan komitmen kerja.
Sebelum ini, Misha dan Firos, yang merupakan juruterbang syarikat penerbangan MAS telah bertunang dalam satu majlis tertutup di kediaman Misha di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, 20 Februari 2012.
Malah dia turut merancang untuk bernikah di rumah keluarganya manakala majlis resepsinya akan diadakan di Kuala Lumpur.
Bakal keluar album baru
Beralih mengenai perkembangan terkininya, Misha berkata, dia kini berasa lebih tenang dan seronok menjalani kehidupannya yang dilihat semakin produktif setelah 11 tahun bergelar anak seni.
"Kehidupan saya juga lebih produktif berbanding tahun lepas kerana jadual waktu yang padat dengan lakonan, nyanyian dan juga teater," kata Misha.
Pada masa yang sama, Misha berkata, dia bakal keluar dengan single terbaru dan album keempatnya tidak lama lagi.
Penyanyi yang popular dengan lagu Angin Syurga ini baru sahaja selesai menjayakan teater Nyonya and The Gang yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.
Dilantik duta cat
Sesuai dengan perwatakan Misha yang ceria, dia telah terpilih menjadi duta produk cat tempatan, Colourland yang pertama sejak cat tersebut dipasarkan.
Misha berkata, faktor dia menerima tawaran itu adalah kerana perjalanan hidupnya mempunyai persamaan dengan produk tersebut dan kolaborasi itu tepat menggambarkan warna-warna kehidupannya setelah bergelar penyanyi.
"Pada mulanya terdapat salah faham kerana sebutan yang hampir sama 'contact lens' dengan Colourland.
"Namun saya terima tawaran ini bagi menyokong produk tempatan," katanya yang mengikat kontrak selama setahun dengan syarikat pengeluar cat tersebut.
elok leerrr
ReplyDeletea'aa is pun memang rasa elok gak la Misha kahwin kan? kesian dier dah lama tunggu kowt?
Delete