NOR ATIEYAH YUSOFF
Foto: AZMI ARYANTO
26 Jun 2013
TEATER Nyanyian Maut yang diangkat daripada karya Taufiq Al Hakim berlangsung dengan jayanya di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini.
Pementasan yang penuh dengan emosi ini diarahkan oleh Shariful Akma Abdullah sempena Penilaian Tahun Akhir (PeTA) bagi pelajar tahun akhir Diploma Teater.
Dibarisi Taufiq Izmir Tawaff, Afiq Azhar Ali, Sharifah Nordiana Maihan Syed Shaikh dan Puteri Noor Faten Farah Aroha Ibrahim, teater ini mengetengahkan kisah suka duka sebuah keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat perbalahan antara suku kaum Azizi dan Suweilam Tahawi di pinggir kota Kaherah, Mesir.
Sepanjang dua jam pementasan, teater ini sarat dengan emosi, terutamanya menerusi babak kedua- di mana pertemuan si ibu (Asakir) dan anak (Alwan) setelah 17 berpisah lamanya. Lakonan berkesan mereka benar-benar meruntun jiwa penonton sehingga ada yang menitiskan air mata.
Bagaimanapun, pertemuan mereka akhirnya mengundang beberapa tragedi. Alwan yang enggan mengikut adat suku kaumnya dihalau dari rumah dan dibunuh atas arahan ibunya sendiri.
Babak ini jelas menunjukkan betapa sesetengah kaum sanggup mempertahankan adat seperti mana pepatah 'biar mati anak, jangan mati adat'.
Secara ironinya, teater ini memberi sindiran terhadap sesetengah kaum yang masih mengekalkan adat sehingga sanggup berbunuhan antara satu sama lain.
Beralih terhadap latar dan prop, meskipun tanpa penggunaan peralatan yang canggih, usaha mereka tetap harus dipuji. Memilih latar padang pasir berserta beberapa peralatan seperti batu, rumah kecil, cerek dan parang, ia sudah mampu menimbulkan penceritaan dan suasana masyarakat Arab.
Dengan peralatan secara minima, mereka juga mampu melakukan persembahan yang menarik ditambah pula dengan alunan muzik tradisional ala-ala padang pasir.
Lakonan pelajar boleh dikatakan setanding dengan persembahan teater yang dilakonkan golongan profesional.
Secara keseluruhannya, persembahan ini sangat menarik ditonton kerana sarat dengan pelbagai elemen sehinggakan penonton tidak berganjak dari tempat duduk sehingga ke akhir.
Lahir pelajar berkebolehan
Penilaian Tahun Akhir (PeTA) merupakan Festival Seni Aswara dan merupakan acara kemuncak pengajian bagi pelajar-pelajar yang mengikuti pembelajaran di akademi tersebut.
PeTA melambangkan kemampuan dah keistimewaan pelajar-pelajar Aswara sebagai penuntut seni profesional dan melahirkan karya-karya seni.
Bagi Rektor Aswara, Profesor Dr Mohamad Hatta Azad Khan berkata, ia merupakan acara tahunan dan wajib dilaksanakan oleh pelajar akhir bagi Diploma dan Ijazah.
Katanya, ia adalah satu bentuk penilaian hasil pembelajaran Aswara sepanjang pengajian mereka dalam bidang seni, budaya dan warisan.
"Penilaian pula dilakukan oleh pemeriksa dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Indonesia bagi memastikan pelajar dinilai secara adil.
"Tujuan ia dibuat supaya dapat mencungkil bakat pelajar dan meluaskan prospek kerjaya mereka nanti," katanya.
Selain itu, ia juga sebagai platform pelajar untuk masa depan mereka kerana ramai penggiat seni akan menilai dan melihat sendiri persembahan pelajar.
Dalam masa yang sama, Aswara turut menandatangani MoU bersama pusat pengajian Indonesia iaitu Institut Kesenian Jakarta yang diwakili Rektornya, Dr Wagiono Sunarto.
Kerjasama dua hala itu, kata Dr Mohamad Hatta bagi program pertukaran pelajar, pensyarah dan maklumat antara dua negara serumpun.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.