Anugerah Tribute P. Ramlee Bakal Jadi Acara Tahunan


Anugerah Tribute P. Ramlee, Bakal, Jadi, Acara, Tahunan, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


KUALA LUMPUR, 26 FEB 2013: Buat julung kalinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kumpulan Utusan dengan kerjasama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd (Suhan Movies) telah menganjurkan anugerah sempena memperingati perjuangan Seniman Agung P. Ramlee iaitu Anugerah Tribute P. Ramlee.

Pengarah Program TV, Suhaimi Jamalim berkata anugerah yang dianjurkan itu diharap akan menjadi acara tahunan untuk memperingati hasil karya seniman tersebut yang tidak lapuk dek zaman.

"Meskipun kami baru pertama kali ingin menganjurkan sebuah program hiburan berbentuk anugrah atau pertandingan ini, namun kami akan pastikan ianya menjadi acara terunggul setiap tahun.

"Malah, kami akan pastikan setiap tahun akan lebih luas penglibatan artis dan pengarah terhadap anugerah ini. Ini kerana, kami ingin menunjukkan bahawa kami bangga dengan karya seniman tanah air kita iaitu P. Ramlee," katanya di dalam sidang media yang berlangsung di Holiday Villa Subang Jaya, baru-baru ini.

Sebanyak sembilan anugerah akan dipertandingkan iaitu Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik, Telefilem Terbaik dan Videografi Terbaik.

Kesemua anugerah itu akan dinilai berdasarkan 10 telefilem yang diterbitkan oleh Suhan Movies. Telefilem itu sedang ditayangkan melalui slot Tribute P. Ramlee di TV1 setiap Ahad pukul 9 malam.

Bukan tidak mahu membuka peluang kepada produksi lain, tetapi Suhaimi memberitahu idea asal anugerah itu telah datang daripada pihak Suhan Movies sendiri.

"Suhan Movies yang terlebih dahulu mengusulkan kepada kami mengenai acara ini, jadi sudah tentu acara ini hanya untuk memberi anugerah kepada pelakon dan pengarah saja. Atas sebab itu, ianya tidak terbuka kepada syarikat produksi lain kerana tiada anugerah yang diwujudkan kepada penerbit.

"Apa yang penting, telefilem yang dihasilkan itu mestilah berkisahkan mengenai lagu-lagu P. Ramlee yang popular suatu ketika dulu," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Suhan Movies, Rosyam Nor, berkata, meskipun semua tetelfilem itu dihasilkan oleh syarikatnya tetapi dia telah terbuka kepada pengarah luar yang lebih berpengalaman dan hebat dalam bidang pengarahan.

"Pengarah dalam telefilem ini kami pilih hanya daripada mereka yang berkredibiliti dan berpengalaman dalam bidangnya. Pengarah yang saya pilih juga bukan calang-calang kerana mereka diantara yang hebat dalam bidang pengarahan," katanya.

Antara sepuluh telefilem yang dicalonkan menerusi slot Tribute P. Ramlee adalah Tunggu Sekejap arahan Along Kamaluddin, Getaran Jiwa (Michael Ang), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi), Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman) .

Selain itu telefilem bertajuk Jodoh Kita (Ismail Yaakob), Titisan Kasih (Rashid Sibir), Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah), Hanya Dikau (Amie Maziah) dan Selagi Cinta Berzikir (Eirma Fatima) yang mana kesemuanya diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd juga dicalonkan.

Sebuah panel khas juri seramai tujuh turut dilantik bagi menilai kualiti setiap telefilem mengikut kategori-kategori yang ditetapkan.

Anugerah yang dijangka bakal diadakan pada Mei ini turut memberi peluang buat para penonton setia saluran RTM membuat undian melalui borang pencalonan yang disiarkan dalam akhbar-akhbar Kumpulan Utusan dan Majalah URTV.

Melalui undian yang paling tepat dan terbanyak juga, para penonton turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers