iskandarX Society Rencana - Hutan Jati Mata Ayer Perlis Tarikan Semulajadi

Oleh Hazlinda Hamzah

PADANG BESAR, 3 Julai (Bernama) -- Stesen penyelidikan pokok jati di Mata Ayer, di sini, milik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menempatkan pelbagai spesis jati dari dalam dan luar negara.






Terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan tidak jauh dari pusat membeli-belah sempadan Wang Kelian, stesen penyelidikan ini turut menempatkan spesis asli yang dibawa dari Pulau Langkawi pada 1953.

Spesis jati lain yang terdapat di sini diperoleh dari beberapa lokasi lain di Semenanjung, selain Thailand, Indonesia, India, Papua New Guinea, Trinidad dan Sabah.

Jati adalah spesis kayu keras yang digunakan dalam sektor binaan dan perabot.

Ladang penyelidikan 300 hektar ini, yang dibarisi pokok-pokok jati gergasi, yang tegak dan besar dengan ada antaranya mencapai ketinggian 30 meter, terletak di Hutan Simpan Mata Ayer.

STESEN PENYELIDIKAN


Di sini, pertumbuhan kayu keras tropika ini sentiasa dipantau dan diukur untuk dijadikan rujukan masa depan.

Kajian yang dijalankan secara terus menerus membolehkan jati diklon daripada jenis-jenis yang lebih baik termasuk spesis dengan jangkamasa matang lebih singkat.

Selain itu, tapak yang dirizabkan untuk pohon jati bernilai tinggi ini menawarkan pemandangan yang menarik serta persekitaran nyaman yang menjadikan tempat ini tumpuan kepada mereka yang cintakan alam semulajadi serta mengimpikan kelestariannya dipelihara.

Oleh kerana itu, infrastruktur eko-pelancongan juga mula diperkembangkan dengan lebih rancak di ladang penyelidikan Mata Ayer untuk membolehkan mereka yang datang ke sini boleh bersantai.

Kawasan ini berdekatan tepi jalan utama di kawasan Mata Ayer, jadi ia mudah dikenalpasti pengunjung.

KHAZANAH SEMULAJADI


SPF Mata Ayer ini yang ditubuhkan pada 1974 memainkan peranan penting dalam memulihara spesis jati selain menjadi pusat sumber untuk kayu-kayan bernilai tinggi ini.

Menurut Dr Mohd Zaki Abdullah, penyelaras ladang penyelidikan Mata Ayer, kira-kira 625 hektar kawasan negeri Perlis ditanam dengan pokok jati oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

"Pohon Jati yang terdapat di Mata Ayer ini bukan sahaja antara yang tertua dan pertama sekali ditanam semula daripada baka klon asal yang boleh didapati di Langkawi.

"Tetapi yang menarik lagi, ada sebatang pohon yang perempangnya 75 sentimeter. Ia sudah sangat besar," tambah Mohd Zaki sambil berjalan ke arah pohon itu bersama ketua pengarah FRIM Datuk Dr Abdul Latif Mohmod.

AKTIVITI PENANAMAN


Baka jati untuk spesis terpilih boleh didapati di sini dan ia baik untuk kajian mahupun untuk dijual kepada mereka yang mahu menanam pohon jati.

"Pemerhatian turut dijalankan semasa pokok berbunga dan berbuah. Benih jati yang masih berada di atas pokok dikutip untuk semaian, dan diabaikan benih yang luruh kerana kesesuaiannya untuk disemai mungkin kurang," jelas Mohd Zaki sambil menuding ke arah dahan-dahan di atas untuk menunjukkan benih yang dimaksudkannya itu.

Jarak di antara pokok dalam satu baris adalah tiga meter. Dan antara barisan pula, jaraknya empat meter. Ini akan menggalakkan pohon-pohon jati ini tumbuh dengan lurus dan inilah antara faktor yang akan menaikkan nilai pohon Jati itu," katanya.

Juga pelbagai aktiviti untuk mengenalpasti potensi pohon jati dan kayu keras lain - Mahogany, Acacia, Khaya, Sungkai dan buluh - dijalankan di Mata Ayer.

HASIL LUMAYAN


Selain itu, hasil daripada jati menjadi lebih lumayan sekiranya ia ditebang ketika berusia 20 tahun atau lebih kerana kayunya sesuai digunakan bagi industri pembuatan perabot dan binaan, contohnya membuat tangga kayu.

Sekiranya pohon jati ditebang kurang daripada usia 10 tahun, corak ira atau 'grain' yang terbentuk di batang kayunya tidak nyata dan ini menyebabkan hasil jati muda dijual pada harga yang lebih rendah.

Baka jati yang baik dengan daya pertumbuhan yang tinggi juga boleh dimanfaatkan untuk hasil aromaterapi. "Bagi 15,000 tan metrik jati mampu jana pulangan lebih kurang RM15 juta," jelas Abdul Latif lagi.

Sesiapa yang berminat untuk mengusahakan penanaman pohon jati ini akan menyaksikan pulangan ekonomi dalam tempoh 20 tahun atau lebih.

KESEJAHTERAAN ALAM


Pohon-pohon hijau yang ditanam menjanjikan satu penambahbaikan terhadap kesejahteraan hidup di muka bumi ini khasnya kerana ia dapat mengurangkan karbon dioksida (CO2) di udara.

Abdul Latif, menunjukkan hampir 50 peratus daripada kawasan hutan di Malaysia dipelihara dan terpulihara.

Pohon Jati, tambah Abdul Latif, bila ditanam semula juga menyamankan alam sekitar dan hasilnya dapat menjana pendapatan serta meningkatkan status ekonomi.

Dalam gambaran yang lebih luas, SPF Mata Ayer mempunyai satu hasrat yang murni untuk menjayakan taman pohon jati ini sehingga ia muncul sebagai ikon negeri Perlis.

Selain itu, SPF Mata Ayer komited untuk menjadi Pusat Penyelidikan dan Maklumat Jati yang terkenal di rantau ini di samping mempromosi bidang perhutanan dan eko pelancongan kepada awam.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers