#COVID19 Ketua jabatan kerajaan wajib patuh perintah Akta 342

#COVID19 Ketua jabatan kerajaan wajib patuh perintah Akta 342

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, bahawa pematuhan terhadap segala perintah sah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu diberi perhatian serius.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata ketidakpatuhan terhadap apa-apa perintah sah yang dikeluarkan mana-mana pegawai yang diberi kuasa mengikut Akta 342 adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mengikut akta sama.

“Dalam hal ini, ketua jabatan atau penyelia tidak boleh mengarahkan pegawai yang menerima apa-apa perintah yang sah yang dikeluarkan pegawai diberi kuasa mengikut Akta 342 untuk hadir bekerja kerana dikhuatiri boleh membahayakan tahap kesihatan dan menularkan wabak COVID-19 kepada orang lain.

“Tindakan tegas termasuk tatatertib boleh dikenakan terhadap mana-mana pegawai termasuk ketua jabatan atau penyelia yang mengarahkan pegawai yang terbabit untuk hadir bekerja boleh diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya dalam satu surat yang diedarkan hari ini.

Beliau berkata, tujuan kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) sebelum ini adalah untuk memastikan penjarakkan sosial dapat dipatuhi sepenuhnya.

Selain itu, ketua jabatan hendaklah meminimumkan bilangan kehadiran pegawai di pejabat dan menggunakan sepenuhnya teknologi untuk bermesyuarat atau berkomunikasi bagi membincangkan sesuatu perkara.

Menurutnya lagi, bagi membendung penularan COVID-19 dari terus merebak, kehadiran pegawai di pejabat hanyalah dibenarkan sekiranya terdapat keperluan yang kritikal dan perlu dilaksanakan secara penggiliran bekerja. – BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers