#JENAYAH KENA SCAM SAMPAI RM44,400

#JENAYAH KENA SCAM SAMPAI RM44,400

KUANTAN: Seorang pekerja pelantar minyak mendakwa kerugian RM44,400 selepas mengisi borang permohonan pinjaman secara dalam talian di laman sesawang sebuah bank yang disyaki palsu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa yang berusia 20 tahun mendakwa melayari laman web itu sekitar bulan Mac lalu dan mengisi maklumat peribadi kerana mahu meminjam wang sebanyak RM10,000.

“Mangsa mendakwa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang suspek wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan bank itu pada 1 April lalu yang mahu membuat semakan sebelum permohonan pinjaman dapat diteruskan.

“Suspek dikatakan meminta mangsa membuat bayaran RM2,200 ke sebuah akaun bank yang didaftarkan atas nama syarikat kononnya sebagai bayaran pendahuluan dan kos membuka akaun pinjaman,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa terus diminta membuat pelbagai bayaran lain yang perlu dilakukan menerusi transaksi pemindahan wang ke dalam sebuah lagi akaun syarikat yang diberikan suspek, dengan transaksi terakhir dibuat pada Isnin lalu.

Mangsa bagaimanapun mendakwa mula berasa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan ‘bank’ itu apabila suspek pada Selasa lalu, memaklumkan pinjamannya dinaikkan kepada RM100,000 tanpa faedah di luar persetujuannya.

Selepas membuat kiraan transaksi pemindahan wang yang dilakukannya, mangsa juga mendapati jumlah yang sudah dibayar bagi mendapatkan pinjaman itu juga berlebihan daripada jumlah asal yang hendak dipinjam.

“Mangsa menghubungi suspek bagi meminta wangnya dikembalikan semula kerana tidak mahu meneruskan pinjaman, namun suspek dikatakan enggan berbuat demikian menyebabkan dia membuat laporan polis,” katanya.

Mohd Wazir berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers