MH17 ditembak peluru berpandu BUK Russia

MH17 ditembak peluru berpandu BUK Russia
Laporan akhir nahas itu bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang melancarkan peluru berpandu berkenaan.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 disahkan ditembak jatuh di timur Ukraine dengan peluru berpandu BUK buatan Russia.

Pengesahan itu terkandung dalam laporan akhir mengenai nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal itu yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV).

Hasil siasatan yang ditunggu-tunggu itu, bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang melancarkan peluru berpandu itu.

AFP melaporkan, Pengerusi OVV, Tjibbe Joustra, berkata peluru berpandu itu dilancarkan dari lokasi dalam kawasan seluas 320 kilometer (km) persegi.

“Pesawat itu berkecai dengan serpihan berselerak seluas 50 kilometer persegi,” katanya.

Dalam laporan itu juga, Joustra mengesahkan tiga anak kapal mati di dalam kokpit terkena serpihan peluru berpandu itu.

Beliau berkata, siasatan menolak andaian bahawa terdapat bom di dalam pesawat, serangan udara ke udara atau perlanggaran meteor.

“Serpihan berimpak tinggi daripada peluru berpandu ditemui dalam badan anak kapal yang terbunuh dalam kokpit.

“Serpihan juga ditemui di dalam kokpit yang dikesan menerusi cat yang dikaitkan dengan bahagian depan BUK,” katanya.

Sementara itu, Joustra mengesahkan bahawa kerajaan Russia mencabar hasil siasatan akhir berkenaan.

Bagaimanapun, OVV menolak bantahan itu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers