Isu 1MDB: Pas sokong gesaan Raja-Raja Melayu

Isu 1MDB: Pas sokong gesaan Raja-Raja Melayu
Pas menyarankan agar pasukan siasatan khas 1MDB dihidupkan
semula untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih

Pas menyokong penuh saranan Raja-Raja Melayu yang mendesak supaya siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan dengan cepat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dengan desakan yang dibuat itu, kerajaan seharusnya tidak melengah-lengahkan usaha untuk menghidupkan semula pasukan siasatan khas 1MDB.

Katanya, pasukan itu perlu terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membenarkan mereka menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Pas mengharapkan pasukan siasatan ini akan melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail meskipun beliau telah bersara dan juga Ketua Audit Negara yang telah menyerahkan laporan audit 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak seharusnya menyokong penuh untuk 1MDB disiasat, susulan dakwaan Najib sendiri yang mengatakan tidak berlaku penyelewengan di dalam urusan yang dikendalikan oleh anak syarikat milik kerajaan itu.

“Apakah kerajaan yang menyahut saranan Raja-Raja Melayu atau akan membiarkan 1MDB menjawabnya sekali lagi? Sikap Najib selepas teguran Raja-Raja Melayu akan menentukan nasib politik beliau dan 1MDB,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers