Cina dan India akan hormat jika Melayu berjaya

Cina dan India akan hormat jika Melayu berjaya
Bangsa Melayu kini dipandang rendah oleh bangsa lain kerana hidup dalam kegagalan.

Bangsa Melayu akan terus dipandang mulia dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain sekiranya berjaya dalam pelbagai bidang walaupun terpaksa berkongsi kepentingan dengan Cina dan India.

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata, orang Melayu kini hidup dalam kegagalan dan disebabkan itu Cina dan India tidak lagi menyanjungi bahkan memandang rendah kepada Melayu.

“Kalau nak orang Cina hormat, kita mesti berjaya dan sukses kerana selama ini orang kita dalam keadaan kegagalan,” katanya di majlis Bicara minda dan sesi dialog Tan Sri Sanusi Junid bertajuk “Perpaduan: Mengapa kita masih keliru?” pada Selasa.

Mengulas lanjut, Sanusi turut menjelaskan sewaktu zaman kesultanan Melayu dahulu, bangsa Cina menghormati bangsa Melayu kerana kemegahan yang dimiliki oleh bangsa Melayu.

“Orang Cina dulu hormat sebab ada Sultan dan penghulu mempunyai kuasa. Hinggakan, pada zaman itu, yang bawa najis pun orang dia (Cina). Tetapi kini, kita tidak mempunyai apa-apa.

“Dan bila orang Cina tak peduli, kita marah. Hal ini kerana bagi mereka (Cina) ,tidak ada sebab lagi nak hormat kita,” jelasnya.

Mengulas lanjut, veteran UMNO itu turut menjelaskan bangsa India juga akan menyanjungi sekiranya bangsa Melayu berjaya.

“Orang India memang sudah terbukti, akan berkawan rapat dengan Melayu jika orang itu besar-besar (berjaya).

“Cuba lihat, Deepak Jaikishan, Datuk Seri Solaimalai Nallakarupan, dan Arul Kanda bila tengok orang besar dia akan datang,” katanya lagi.

Justeru, Sanusi menjelaskan semua bangsa akan menghormati bangsa Melayu, sekiranya orang Melayu mampu mengubah sikap dan dikenali sebagai satu bangsa yang berjaya.

“Kalau Melayu sukses, bukan sahaja Cina, semua orang akan datang ke kita,” jelasnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers