Maybank perkenal kaedah pembayaran guna pelekat Micro Tag

Maybank perkenal kaedah pembayaran guna pelekat Micro Tag Oleh Abdul Halim Yusoff

halem@bh.com.my

Kong Boon (kiri) dan Ravintharan menunjukkan Micro Tag yang dilekatkan pada telefon mudah alih untuk membolehkan penggunaan kaedah pembayaran Maybank Visa payWave Micro Tag.

KUALA LUMPUR: Maybank memperkenalkan Maybank Visa payWave Micro Tag, kaedah inovasi baharu menggunakan pelekat Micro Tag untuk membuat pembayaran dengan menggunakan teknologi Visa payWave.

Micro Tag adalah pelekat elektronik yang boleh dilekatkan di mana-mana barangan peribadi milik pelanggan seperti telefon mudah alih, dompet, kunci kereta atau apa juga barangan yang sering di bawa ke mana-mana.

Pelekat Micro Tag yang dihubungkan dengan kad kredit Visa payWave membolehkan pembayaran 'tanpa sentuhan' dibuat hanya dalam beberapa saat. Pengguna kemudahan ini hanya perlu melayangkan barangan peribadi yang dilekatkan dengan pelekat Micro Tag di hadapan terminal Visa payWave.

Dengan perkhidmatan baru ini, pemegang kad tidak perlu lagi membawa wang atau bersusah payah memasukkan nombor pengenalan peribadi (PIN) untuk membuat pembayaran bagi setiap pembelian atau transaksi yang bernilai kurang daripada RM250. Kemudahan baru ini disasarkan akan menarik kira-kira 5,000 pengguna dalam tahun pertama pelancarannya.

Ketua Bahagian Kad, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, B Ravintharan, berkata Maybank Visa payWave Micro Tag adalah kaedah pembayaran berinovasi yang dilengkapkan dengan ciri-ciri tanpa sentuhan bagi membolehkan pelanggan menikmati kemudahan yang lebih baik dan pantas untuk membuat transaksi setiap kali membuat pembayaran.

"Produk baru ini disasarkan untuk pelanggan kad kredit Visa payWave yang kerap membuat transaksi kad yang dilayangkan di hadapan terminal, dan juga mereka yang sentiasa mencari teknologi baharu serta golongan muda yang sentiasa mahukan semuanya serba mudah.

"Mereka hanya perlu melayangkan Micro Tag di terminal Visa payWave yang disediakan di pusat beli belah terpilih untuk transaksi bernilai sekurang-kurangnya RM250," ujar Ravintharan.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Maybank Visa payWave Micro Tag di sini. Pengurus Visa Malaysia Ng Kong Boon, turut hadir pada majlis itu.

Ravintharan berkata, kemudahan pembayaran baru ini adalah sebahagian usaha berterusan Maybank untuk meningkatkan manfaat produk untuk pelanggannya dan bagi menyokong inisiatif kerajaan bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai di negara ini.

Antara pusat perniagaan yang menyediakan kemudahan terminal Visa payWave ketika ini termasuk Krispy Kreme, Radio Shack, Aeon, Aeon Big, TGV Cinema, KLIA express, Sogo dan Coffee Bean.

Ketika ini ada 3,000 terminal Visa payWave di pasaran dan akan ditambah sekali ganda lagi pada 2015.

Sempena pelancaran kemudahan baru berinovasi itu, Maybank melancarkan kempen dengan menawarkan empat unit iPhone 6 setiap bulan selama empat bulan bermula 1 Februari hingga 31 Mei.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers