Cyberport, pusat data bersepadu rangkaian bebas

Cyberport, pusat data bersepadu rangkaian bebas Oleh Nurhayati Abllah

nurhayatiabllah@bh.com.my


PENGERUSI TSGN, Datuk Hod Parman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kent Hober berdiri di hadapan bangunan TGSI Cyberport, di Cyberjaya. - Foto ihsan www.theborneopost.com

KUALA LUMPUR: TSG International (TSGI), anak syarikat milik penuh TS Global Network Sdn Bhd (TSGN) melancarkan Cyberport iaitu pusat telekomunikasi penyiaran dan pusat data bersepadu rangkaian bebas pertama di Malaysia.

Pusat itu yang dibina khas untuk kemudahan rangkaian dan data dengan kos RM100 juta, kini mula beroperasi di Cyberjaya dan menawarkan Teleport Satelit, Gerbang IP (Internet Protocol) dan Pusat Data Tahap 3.

Pengerusi TSGN, Datuk Hod Parman, berkata pusat berkenaan mampu menyediakan pelbagai pilihan dan kesesuaian telekomunikasi termasuk komunikasi satelit, teleport, khidmat penyiaran lengkap, pelbagai akses ke satelit di jaluran orbit geopegun, perkhidmatan VSAT (Terminal Bukaan Sangat Kecil) serantau dan aplikasi pelayan kawasan sesama untuk hos di tapak berkenaan.

"Pusat berkenaan kini dikendalikan TSGI. Ia menawarkan perkhidmatan pusat pemantauan rangkaian 24 jam yang disokong dan dilengkapi 17 antena besar serta sebuah pusat data seluas 40,000 kaki persegi yang berkait dengan semua pengendali utama perkhidmatan telekomunikasi.

"Kemampuan penempatan pusat data itu dijangka meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2017," katanya dalam kenyataan di sini.

Cyberport juga menyediakan kemudahan untuk transmisi dan penerimaan data menerusi rangkaian satelit dan gentian.

Perkhidmatan yang ditawarkan turut membabitkan teleporting satelit, pusat data, dan lain-lain perkhidmatan terurus. Antaranya menyediakan perkhidmatan ruang pusat data, infrastruktur, jaringan rangkaian, sokongan teknikal dan perkhidmatan terurus lain hingga kepada pemulihan bencana.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSGN, Kent Ho, berkata menerusi perkhidmatan satelit bermutu tinggi, Cyberport mampu menyediakan khidmat fleksibel dan peralatan berkesan kepada pelanggan untuk membuat pilihan.

Projek Permulaan 3 (EPP-3) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) mengenal pasti perniagaan pusat data antara penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan jangkaan sektor berkenaan memberi sumbangan pertumbuhan RM2.4 bilion (AS$761 juta) kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) serta menyediakan hampir 13,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

"Matlamat kami adalah sejajar dengan objektif kebangsaan untuk menjadi pengemudi bagi industri ini dan memberi sumbangan kepada kemajuan perkhidmatan ruang pusat data dan teknologi maklumat (ICT), selain menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelabur serantau," katanya.

TSGI adalah syarikat teknologi satcom terulung Malaysia yang turut terbabit dalam perkhidmatan pembekal penyelesaian di Indonesia, Brunei dan sekitar wilayah ASEAN.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers