SoftBank labur AS$250j dalam pengendali aplikasi GrabTaxi

SoftBank labur AS$250j dalam pengendali aplikasi GrabTaxi

SINGAPURA: SoftBank Corp, firma telekomunikasi Jepun melabur AS$250 juta (RM856 juta) dalam pengendali aplikasi tempahan teksi, GrabTaxi Holdings Pte Ltd.

Pelaburan itu hingga kini adalah yang terbesar daripada gergasi telekomunikasi Jepun itu dalam sebuah syarikat internet di Asia Tenggara.

GrabTaxi yang membolehkan pengguna membuat tempahan teksi yang paling hampir dengan lokasi mereka menerusi telefon mudah alih, beroperasi di Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedua-dua syarikat menjelaskan dana pelaburan itu akan digunakan untuk mempercepatkan rancangan pengembangan aplikasi itu di rantau ini.

Pelaburan dalam GrabTaxi dibuat dalam tempoh sebulan selepas billionaire pengasas merangkap ketua pegawai eksekutif SoftBank, Masayoshi Son mengunumkan pelaburan AS$627 juta (RM2.15 bilion) dalam gedung online Snapdeal sebagai sebahagian rancangan syarikat itu untuk melabur AS$10 bilion (RM34.3 bilion) dalam pasaran dagangan runcit online India yang sedang pesat berkembang.

Oktober lalu, SoftBank juga mengumumkan akan melabur AS$210 juta (RM719) untuk menyertai kumpulan pelabur sedia ada ANI Technologies India, yang turut mengendalikan aplikasi tempahan teksi menerusi peranti mudah alih.

Firma Jepun itu juga adalah pelabur terbesar dalam firma e-dagang Jepun yang baru disenaraikan, Alibaba Group Holding Ltd.

Dalam pada itu, setelah ditokok pelaburan SoftBank, GrabTaxi hingga kini sudah meraih dana AS$340 juta (RM1.16 bilion). Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut jumlah pegangan saham SoftBank menerusi pelaburan itu.

Pelabur lain GrabTaxi, yang dibangunkan dua graduan Harvard Business School dan dilancarkan di Malaysia pada 2012 sebagai MyTeksi, termasuk cabang pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings dan pelabur Amerika Syarikat, Tiger Global Management. Aplikasi itu bersaing dengan Easy Taxi milik Rocket Internet dan Uber.

Aplikasi tempahan teksi memang popular di Asia Tenggara terutama Singapura, antara negara yang mana kos pemilikan kenderaan persendirian sangat tinggi.

Mendapatkan teksi ketika waktu puncak dan ketika hujan umpamanya memang agak sukar di Singapura manakala di bandar raya yang selalu sesak seperti Jakarta dan Manila, pengguna juga susah mendapatkan teksi.

Lantaran masalah berkenaan menyebabkan aplikasi seperti GrabTaxi sangat popular. Sejak pelancaran, pengguna aplikasi itu sudah meningkat enam kali ganda kepada kira-kira setengah juta orang manakala teksi dalam rangkaian itu meningkat empat kali ganda kepada 60,000. - Reuters

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers