Zon Selesa Buat Daphne Iking Tinggalkan NTV7

Zon Selesa Buat Daphne Iking Tinggalkan NTV7


Zon selesa buat Daphne Iking tinggalkan NTV7 selepas 12 tahun berkhidmat termasuk empat tahun bersama rancangan bual bicara khusus untuk wanita, Bella.

Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Instagram:mrstailista
Twitter:@mrstailista

KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2014: Selepas 12 tahun berkhidmat bersama stesen TV NTV7 termasuk empat tahun bersama rancangan bual bicara khusus untuk wanita, Bella, kini sudah tiba masanya untuk hos popular Daphne Iking mengucapkan selamat tinggal.

Zon Selesa Buat Daphne Iking Tinggalkan NTV7
Daphne Iking


Penghujung Jun lalu merupakan saat terakhir Daphne Iking bersama-sama stesen TV itu, meskipun telah dipujuk supaya kontraknya bersama program kegemaran ramai itu disambung semula untuk musim yang seterusnya.

Namun keputusan Daphne Iking untuk meninggalkan program yang telah memperkenalkan namanya sebagai pengacara TV berkaliber nampaknya adalah muktamad dan dia sama sekali tidak mahu bertoleh ke belakang lagi.

Bercakap kepada portal murai.com.my ketika dihubungi, Daphne Iking berkata sudah lama dia menanam niat untuk mengucapkan selamat tinggal.

Bagaimanapun, hanya bulan lalu dia nekad untuk berbuat demikian selepas berbincang dengan suami yang juga merangkap sebagai pengurusnya.

“Rasanya kerana saya sudah berada di dalam zon selesa dalam tempoh terlalu lama. Saya amat merindukan peranan saya sebagai penerbit dan juga wartawan penyiaran yang benar-benar mampu mencabar kewibawaan saya.

“Memang buat masa ini saya langsung tidak ada sebarang perancangan atau tawaran yang ada di dalam tangan, tapi rasanya lebih baik saya melakukannya sekarang kerana jika saya menunggu terlalu lama kesannya mungkin akan jadi lebih mendalam.

“Tambahan pula dalam usia saya yang sudah mencecah 36 tahun, saya ingin mencabar diri saya melakukan sesuatu yang lebih mencabar.

“Apa yang pasti saya gembira bertugas bersama NTV7 dan Bella. Cuma kepuasannya tidak dirasai lagi,” katanya berterus terang.

Daphne Iking memulakan kerjayanya bersama Media Prima secara sambilan dan kemudian dilantik  sebagai penerbit, wartawan penyiaran dan hos bagi program Breakfast Show dan kemudian semakin popular sebagai hos untuk rancangan bual bicara Bella yang telah memenangi anugerah berprestij.

Kata Daphne Iking, dia teringin sekali untuk terjun ke bidang penyiaran radio dan penulisan buku kerana bidang lain seperti lakonan, nyanyian, tarian dan pengacaraan sudahpun dilaksanakannya sejak sekian lama.

Namun jauh disudut hatinya untuk melahirkan sebuah program berbentuk laporan penyiasatan yang terperinci kerana kecintaannya terhadap dunia kewartawanan sejak di bangku sekolah ternyata begitu amat mendalam sekali.

“Saya harap cita-cita saya untuk tampil dengan sebuah program berbentuk penyiasatan atau laporan khas yang telus dan adil akan mendapat sokongan ramai.

“Buat masa ini saya dan suami telahpun menubuhkan syarikat produksi kami sendiri yang menawarkan perkhidmatan videografi, pengacaraan dan kalau nak tahu saya masih menajamkan kemahiran untuk mengendalikan kamera atau apa juga pendekatan teknikal untuk tujuan itu.

“Saya mahu menawarkan kepada orang di luar sana sesuatu yang luar biasa atau berkualiti tinggi atau sesuatu yang sama sekali berbeza seperti kemahiran mengendalikan kamera dan dalam masa yang sama bertindak sebagai hos. Itu impian saya,” katanya yang kini menguruskan Daphne Iking Productions.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers