Pemimpin DAP itu yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan parti untuk membuat kenyataan secara umum berkata, DAP sudah muak dengan pentadbiran kuku besi Khalid dan kedegilannya untuk meneruskan khidmat walaupun sedia maklum akan digantikan sejak Mac lalu.
"Tindakannya yang berkeras untuk terus kekal walaupun hilang kepercayaan daripada parti dan rakan Pakatan adalah sangat tidak bermaruah," katanya.
Khalid yang juga bekas tokoh korporat itu menjadi menteri besar sejak enam tahun lalu apabila PKR dan sekutunya menang mengejut dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008.
Katanya, kelemahan Khalid semakin terserlah selepas habis penggal pertama pentadbirannya.
Usaha untuk menegur Khalid mengenai isu tertunggak di negeri terkaya itu dilakukan sejak PRU tahun lalu, tetapi Khalid terus membuat haluannya sendiri.
"Benda sepatutnya menjadi lebih baik tetapi sebaliknya bertambah buruk.
"Beliau bukan seorang yang menepati janji," katanya.
Pemimpin DAP lain juga menganggap keengganan Khalid berundur walaupun banyak pihak meminta sebaliknya dilihat seperti tidak menghormati pandangan partinya sendiri.
Ia juga mencerminkan kepimpinan Khalid yang tidak mahu mendengar pendapat orang lain, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan, pemimpin PKR, DAP, dan PAS.
"Gaya pentadbiran kuku besi sebeginilah yang menyebabkan kami letih dengan sikap beliau," katanya.
Pakatan Rakyat di Selangor membentuk kerajaan secara kolektif apabila menguasai majoriti 44 daripada 56 kerusi, PAS (15), DAP (15), dan PKR (14).
Namun, pemimpin itu mengakui tidak ada peluang perkongsian kuasa antara ketiga-tiga parti memandangkan Khalid gemar melakukan sesuatu perkara secara sebelah pihak sahaja.
"Sudah banyak kali kami minta dia selesaikan beberapa isu tetapi beliau enggan mendengar kata-kata kami. Macam mana kerja hendak jalan?
"Semua terpulang kepada pilihan dan keutamaannya, sebab itu banyak perkara di Selangor tidak selesai.
"Bagaimana seorang hendak lakukan segalanya," katanya.
Kata pemimpin itu, cabaran Khalid supaya rakan Pakatan mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya sehingga mampu membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) mendedahkan topengnya yang sebenar apabila kekal berkuasa.
"Dia buat jawatan menteri besar itu macam hak milik sendiri. Beliau lupa konsensus ketiga-tiga parti inilah yang bersetuju beliau dicalonkan sebagai menteri besar," katanya.
Pemimpin itu berkata mereka cuba menutup kelemahan Khalid dan tidak mahu mengkritik secara terbuka, bagaimanapun, isu pembangunan di negeri itu membuktikan kedudukan Khalid tidak boleh dipertahankan lagi.
Ia termasuk isu pengurusan air serta catuan air, rampasan kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban, serta projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) yang mengundang kekecewaan pemimpin Pakatan apabila ia bercanggah dengan manifesto mereka supaya tol dihapuskan.
PKR mencadangkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail calon menteri besar dan melengkapkan sebahagian agenda 'Langkah Kajang'.
Namun, situasi semakin terbelit apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka menyokong Khalid dikekalkan sehingga hujung penggal.
Kenyataan Hadi itu bagaimanapun disifatkan timbalannya, Mohamad Sabu sebagai pandangan peribadi.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut senada dengan Hadi yang enggan Khalid disingkirkan.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya berkata, parti itu tidak akan berganjak dengan keputusan Pakatan pada 23 Julai lalu yang mahu Khalid digantikan dengan Dr Wan Azizah. – 29 Julai, 2014.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.