Keputusan kalimah ‘Allah’ boleh pengaruh undi rakyat Sabah Sarawak?

Di sebalik pelbagai ketegangan sekitar perkataan 'Allah' dan sama ada bukan Islam boleh menggunakannya atau tidak, konflik tersebut langsung tidak menjejaskan mereka yang selalu menggunakannya.

Hampir dua pertiga daripada 2.9 juta penganut Kristian di Malaysia berada di Malaysia Timur. Hari ini, mereka masih menggunakan kalimah Allah di gereja mereka.

Penduduk Malaysia Timur bercakap tentang kontroversi itu seolah-olah ia satu kisah terpencil yang berlaku di sebuah tempat yang pelik di kalangan penghuni yang berbeza daripada mereka.

Walaupun sebenarnya Borneo dan Semenanjung Malaysia membentuk satu negara.

Malah, orang Islam di Sabah dan Sarawak juga menggaru kepala bila ditanya pandangan mereka tentang kalimah itu yang menjadi isu besar di Semenanjung.

Persoalannya sekarang, adakah perasaan mereka terhadap kontroversi itu akan diterjemahkan ke dalam bentuk undian?

Yang berbeza kali ini berbanding tahun lepas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ialah, beberapa pihak berkuasa agama di Semenanjung serius hendak menguatkuasakan larangan penggunaan kalimah ini di negeri mereka.

Pada masa yang sama, mahkamah tertinggi negara membuat keputusan mingguan Katolik, Herald, tidak boleh menggunakan kalimah itu dalam edisi Bahasa Malaysianya.

Jadi, adakah perkembangan terbaru ini akan menjadi puncak kemarahan rakyat biasa di Sabah dan Sarawak untuk menyokong Barisan Nasional dan Umno?

Kemarahan menebal tetapi tiada kesan

Pada PRU13 dan pilihan raya Sarawak pada 2011, isu kalimah Allah hampir tiada kesan atas pengundi di pedalaman, majoritinya penganut Kristian yang berbahasa Melayu, walaupun isu itu menarik perhatian ramai di peringkat negara.

Contohnya, sebulan sebelum pilihan raya Sarawak, dua konsaimen Bible Bahasa Malaysia untuk dihantar ke Kuching ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching.

Pemimpin Kristian berang. Putrajaya segera merangka solusi 10 perkara supaya Bible yang ditahan dapat dilepaskan dan penganut Kristian boleh menggunakannya.

Isu itu menjadi hangat semasa pilihan raya Sarawak tetapi nampak kecil disebabkan isu lain.

Yang mendominasi kempen pilihan raya waktu itu ialah dakwaan skandal korupsi ketua menteri waktu itu, Tun Abdul Taib Mahmud dan kehilangan tanah pribumi.

Pengundi bandar seperti di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Kuching menolak BN. Tetapi ia tidak pasti sama ada ia disebabkan isu kalimah Allah atau bukan.

Contohnya, kebanyakan undi yang BN hilang pada 2011 dan 2013 adalah dari masyarakat China.

Pensyarah ekonomi politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Andrew Aeria berkata ramai masyarakat China menunjukkan protes dengan tidak mengundi BN di Sarawak.

“Mereka hendakkan bahagian mereka dari segi pembangunan dan projek. Kalau ketua menteri baru boleh memenuhi permintaan mereka ini, dia boleh memenangi mereka kembali."

Senario pasca 2013

Namun selepas 2013, pihak berkuasa Islam mula menunjukkan taring. Lebih kurang 300 Bible dirampas di Selangor dan pihak yang bertanggungjawab enggan memulangkannya kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Hingga hari ini, mereka tidak mempedulikan keputusan Peguam Negara yang mengatakan mereka tiada kes terhadap BSM, sebaliknya mereka mahu membawa BSM ke mahkamah.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan pada Oktober tahun lepas mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh Herald.

Tetapi, dalam temuramah pada minggu lepas dengan rakyat Kristian biasa di Sabah dan Sarawak, larangan itu nampaknya tidak menjejaskan mereka.

Gereja di Malaysia Timur masih bebas meggunakan kalimah Allah seperti selama lebih 100 tahun yang lepas, sementara orang Islam dalam pertubuhan sivil dan kepimpinan Barisan Nasional terus menerus menegaskan kontroversi kalimah Allah hanyalah "isu Semenanjung."

“Kami tidak berpegang pada pendirian yang sama seperti umat Islam di Semenanjung," kata setiausaha Yayasan Warisan Borneo Jalumin Bayogoh.

“Bagi kami orang Islam di sini, ia tidak menjadi satu masalah," katanya sebagai seorang Islam yang tinggal di Kota Kinabalu.

Penganut Kristian sementara itu bertegas mengatakan mereka akan terus menggunakan kalimah Allah walau apa pun keputusan dibuat Putrajaya atau negeri di Semenanjung.

“Apa pun undang-undang yang diluluskan atau mahkamah putuskan, orang di sini akan terus sembahyang menggunakan perkataan Allah. Siapa hendak halang?" kata James Guang, seorang eksekutif perniagaan di Miri.

"Polis? Boleh polis tangkap semua orang Kristian yang bersembahyang kepada Allah, lebih-lebih lagi mereka di kawasan pedalaman?”

Kalimah 'Allah' akan pengaruhi undian?

Walaupun kesannya kecil terhadap mereka, ramai di antara mereka kecewa dengan Putrajaya kerana membenarkan ia terjadi.

"Bagaimana satu negara boleh ada dua set undang-undang?" tanya Henry Mogindol dari Penampang, Sabah.

“Semua ini tidak masuk akal. Di Sabah boleh guna kalimah Allah, tetapi apabila kita ke Semenanjung, tidak boleh?"

Ramai juga percaya kali ini, pengundi Kristian mungkin terdorong untuk menolak BN disebabkan isu ini.

PRU berikutnya ialah empat tahun lagi, tetapi pilihan raya negeri Sarawak dijadualkan pada 2016.

“Umno sedang menjatuhkan BN (Sarawak). Inilah hakikatnya walaupun pendirian kerajaan negeri bertentangan dengan kerajaan Persekutuan,” kata Victor Keling, dari Kuching.

Guang berkata isu kalimah Allah akan meninggalkan kesan sekiranya paderi mula bercakap tentangnya kerana ia akan mempengaruhi jemaah mereka.

"Yang saya pasti, paderi di kawasan pedalaman memang tidak begitu gembira dengan kerajaan. Ini kerana, mereka tidak dapat pembiayaan kerajaan untuk memperbaiki gereja mereka.

Tiga tahun lepas, semasa pilihan raya negeri Sarawak, demikian keadaannya yang dijangkakan oleh pemerhati politik, yang kemarahan rakyat Kristian akan mempengaruhi undian mereka.

Tetapi ia tidak terjadi.

Seorang lagi pensyarah Unimas, Joseph Romanair berkata bagi kebanyakan penduduk pedalaman Sarawak, perkara asas seperti jalan kampung, bekalan elektrik dan air paip menjadi isu utama mereka.

Juga, memandangkan kerajaan Sarawak dan Sabah tidak menganggapnya satu isu, ia hampir tiada kesan langsung atas rakyat biasa di kalangan penganut Kristian.

Begitu juga dengan orang Islam di Malaysia Timur, mereka tidak merasakan ketegangan yang dialami saudara mereka di Semenanjung.

Ahli Parlimen dari Parti Bersatu Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata pembangkang cuba menggunakan isu kalimah Allah untuk kepentingan mereka semasa PRU13. Mereka mendakwa sekiranya BN berkuasa, Alkitab, iaitu Bible versi Melayu, akan dibakar.

“Tetapi, saya tanya rakyat, dan juga pembangkang, adakah benar ia berlaku?" kata Bangkuai, wakil rakyat Kiulu.

Dia percaya pembangkang akan terus menggunakan isu itu, tetapi kali ini BN boleh menjawab mengatakan semua itu satu pembohongan.

Jadi, walaupun ia hampir tiada kesan di Malaysia Timur, isu kalimah Allah mungkin akan terus disemarakkan oleh ahli politik demi kepentingan diri mereka sendiri. – 29 Julai, 2014.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers