Hanarose Hasil Idea Cat Farish

Hanarose Hasil Idea Cat Farish


Hanarose hasil idea Cat Farish, Dianggotai oleh Nur Atiqah Shariffudin, 25, dan Isyariana Che Azmi, 24.

Jarang sekali industri hiburan negara kita dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi duo. Boleh dibilang dengan jari. Sekadar menyebut beberapa nama, antara penyanyi yang membawa konsep duo di Malaysia adalah kumpulan Sister Sister, kumpulan Moin dan terbaru, Azhael yang bakatnya dicungkil menerusi platform program realiti Akademi Fantasia.

Kini, industri muzik Malaysia sedia menyambut kedatangan kumpulan Hanarose. Dianggotai oleh Nur Atiqah Shariffudin, 25, dan Isyariana Che Azmi, 24, GUA mengatur sesi fotografi bersama Eka dan Isya di Neway Karaoke, Berjaya Times Square untuk mengetahui visi dan misi dua gadis ini dalam dunia hiburan.

Hanarose Hasil Idea Cat Farish


“Kami berada di bawah naungan Godzilla Boombox, milik penyanyi Cat Farish, manakala untuk urusan promosi dan pemasaran di uruskan oleh Luncai Emas Sdn Bhd. Kami membawakan genre lagu yang bervariasi, antaranya ialah pop, R&B dan balada. Saya bermula nyanyi semenjak kecil. Saya pernah menyertai program realiti I-Klon 2 di RTM manakala Eka pula pernah menyertai Akademi Fantasia musim kesembilan. Kami bertemu dengan Cat dan di situ bermulalah pengembaraan kami sebagai Hanarose,” ujar Isya memulakan bicara.

Hanarose Hasil Idea Cat Farish


“Sudah lebih setahun kami berada di bawah naungan Cat. Kami mahu jadi kumpulan yang versatil. Boleh menyanyi dan menari. Boleh menyanyikan pelbagai genre lagu, boleh rap dan sebagainya. Kami mahu dikenali sebagai kumpulan duo yang serba boleh,” kata Eka pula.

Single pertama mereka, ‘Girlfriend’ yang berentak rancak telah mula dikeluarkan semenjak bulan April dan dilancarkan pada Mei lalu. Mendapat sambutan yang memberangsangkan setakat ini, lagu ‘Girlfriend’ menceritakan mengenai perasaan seorang wanita terhadap lelaki.

“Lagu itu berkenaan wanita yang suka dengan seorang lelaki. Menerusi lagu itu, wanita itu meluahkan perasaannya terhadap lelaki. Lagu ini berkonsepkan rancak dan easy-listening. Kami berharap agar peminat-peminat muzik di luar sana dapat menerima kehadiran lagu pertama Hanarose,” tambah Eka lagi.

Hanarose Hasil Idea Cat Farish


Bercakap mengenai kehadiran kumpulan duo di Malaysia, Hanarose optimis terhadap apa yang ingin dibawakan oleh mereka dan mahu menampilkan kelainan dengan tidak hanya memfokuskan diri mereka kepada satu jalur muzik sahaja.

Hanarose Hasil Idea Cat Farish


“Saya akui ada juga kumpulan-kumpulan duo di Malaysia, tetapi tidak banyak. Apa yang dapat membezakan kami adalah Hanarose tidak akan hanya memfokuskan kepada satu jalur muzik sahaja. Seperti contoh, single pertama kami berentak rancak, manakala single kedua kami iaitu ‘Deritaku’ berentak balada dan berbeza dengan lagu ‘Girlfriend’. Lagu tersebut menjadi runut bunyi bagi filem ‘Pengantin Malam’ lakonan Nora Danish dan Farid Kamil,” kata Isya.

Bagi peminat-peminat di luar sana yang mahu mengikuti perkembangan dua gadis ini, lakukan carian di laman Instagram dan Twitter menerusi katakunci ‘we_hanarose’ atau boleh singgah di laman Facebook mereka di www.facebook.com/officialhanarose.


Kredit:

Busana: @paparazziapparel (Instagram)
Aksesori: @accessoriesbyaw (Instagram)
Lokasi: Neway KB, Berjaya Times Square (@newaykaraoke - Instagram) - Terima kasih kepada Encik Haziq Damanhuri.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers