Awi Rafael Mencari Kehidupan Melalui Muzik
Awi Rafael. Lama sudah saya mengikuti perjalanan karier anak watan Singapura ini. Seingat saya pertama kali mendengar dan melihat aksi Muhammad Namawi Ewan Bin Gunawan Rafael (ya, itu nama sebenarnya, bukan nama yang saya reka) ialah di pentas Anugerah Planet Muzik pada tahun 2005 bersama kugirannya ketika itu, Bhumiband (yang juga menampilkan Dimas Santoso, kini pemain keyboard kugiran Hujan).
Saya jujurnya suka dengan persembahan mereka ketika itu, walaupun baru pertama kali mendengar, dan teruja melihat Bhumiband merangkul beberapa anugerah pada malam tersebut. Tidak saya sangka rupanya Singapura juga mampu melahirkan kugiran berkualiti.
Namun disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Bhumiband kemudiannya berpecah tidak berapa lama selepas itu, meranapkan impian Awi yang mahu melihat kumpulannya itu melangkau lebih jauh di persada muzik nusantara. Dia yang ketika itu sedang menuntut ilmu jurusan undang-undang lantas mengabdikan diri kepada pendidikannya, dan kemudian berjaya mendapatkan segulung ijazah.
Walaubagaimanapun, minatnya terhadap bidang muzik tidak pernah padam. Selepas beberapa ketika bekerja sebagai seorang peguam, Awi tidak mahu lagi menoleh ke belakang. “Saya kemas beg dan mengambil keputusan untuk ke Australia. Disana, saya jadi pemuzik jalanan, menghiburkan masyarakat di perkarangan jalanraya dan tempat-tempat yang dipenuhi orang. Dari situ saya dapat keyakinan untuk membuat persembahan di depan khalayak,” kata Awi.
Kembalinya dia ke Singapura selepas itu membawa azimat dan pengalaman berharga. Demi berkongsi muziknya dengan kelompok peminat yang lebih luas, dia berkelana ke Kuala Lumpur. Pada tahun 2011, Awi keluar dengan EP pertamanya, menampilkan lagu hit, Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta.”Saya suka ‘hook’, saya suka melodi yang ‘catchy’, dan saya rasa peminat dapat menerima apa yang saya cuba berikan kepada mereka,” ujar Awi lagi.
Namanya terus menyerlah selepas itu, memenuhi dada akhbar dan ruang gosip tempatan, apatah lagi kisah peribadinya dengan seorang pelakon wanita terkenal menjadi bualan ramai. Tetapi jika boleh dielakkan, Awi tidak mahu gosip-gosip murahan menjadi penanda aras buat dirinya. “Saya seorang ‘songwriter’, saya mahu diri dikenali dengan hasil kerja saya,” jawab Awi ketika kami membawanya ke persoalan ini.
Tambahnya lagi, “saya kini dalam perancangan untuk menembusi pasaran Indonesia. Saya akan berkolaborasi bersama Irfan, gitaris dan penulis lagu bagi kumpulan Samsons. Ini strategi saya bersama Warner Music dan mudahan ia akan menjadi”.
Strategi yang dizahirkan labelnya dan Awi sendiri ini tidak mustahil menampakkan hasil, apatah lagi ada lagunya sebelum ini mendapat tempat di hati pendengar muzik disana. “Lagu Pulanglah menjadi siulan di sana selepas kugiran Mikhaila ‘cover’ lagu tersebut. Ramai disini yang tidak tahu mengenai perkara ini. Saya bersyukur dan berharap percaturan saya selepas ini membuahkan hasil yang lebih baik,” ujar Awi dengan nada gembira, optimis menanti masa depan.
Awal tahun ini, Awi turut mencatatkan kejayaan peribadi yang sama-sekali tidak dijangkanya. Lagu dendangannya bersama Altimet, Kalau Aku Kaya, dinobatkan sebagai lagu ketiga terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) terbitan sebuah stesen televisyen tempatan.
“Saya amat gembira dengan apa yang dicapai di AJL28 tempohari. Ia hasil usaha Altimet, Omar K dan Audi Mok yang berjaya menghasilkan sebuah karya yang bermutu dan mendapat perhatian umum. Saya dipanggil untuk ‘enhance’ lagu ini melalui ‘hook’ yang mempunyai melodi yang mudah dan menyeronokkan,” terang Awi kepada saya, berkongsi rahsia kejayaan Kalau Aku Kaya.
“Tapi ‘ultimately’ semua kejayaan ini di bahu Altimet. Dia cuba menulis lirik untuk rakyat, untuk pekerja kolar biru dan kolar putih. Lagu ini bukan sebuah lagu materialistik semata-mata. Ia bukan tentang harga sesuatu, ia mengenai nilai sesuatu,” tambah Awi lagi, berkongsi falsafah sebenar lagu ini.
Kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya sehingga ke hari ini, secara peribadi saya lihat tidak langsung ‘naik ke kepala’ jejaka berusia 28 tahun ini. Dia seorang selebriti yang boleh dikategorikan sebagai ‘sempoi’, muzik satu-satunya perkara yang menggembirakan Awi Rafael.
“Kalau saya banyak duit sekalipun, dan popular seantero dunia, jika semua itu ditarik semula daripada saya, saya akan tetap bergembira sebab saya ada muzik saya. Itu ilmu paling berharga yang saya dapat melalui pengalaman saya ‘busking’ di Australia,” mula Awi membuka bicara perihal ini.
“Saya ke sana tanpa apa-apa. Hanya pakaian dan gitar dibawa. Saya bergerak dari satu bandar ke satu bandar, bermain gitar dan menyanyi. It’s a life changing experience. Pada pengakhirannya, ia mendewasakan saya. Ideologi yang saya pegang hasil kembara saya disana ialah at the end of the day, this is just life and there are things that we need to go through to survive. Tidak kira siapa anda, tidak kira apa yang anda lakukan, jika anda berani untuk bermimpi, anda boleh mencapai impian itu,” tambah Awi berkongsi memori berharga buat dirinya.
Sedar tidak sedar, perbualan kami sampai ke penghujung. Namun masa yang berlalu dirasakan terlalu singkat lantaran berborak dengan seorang yang sangat ‘passionate’ tentang muziknya dan tahu apa yang dimahukannya dalam kehidupan ini. Sebelum kami berpisah, saya bertanyakan lagi apa yang mahu Awi lakukan selepas ini. “Saya mahu mewujudkan firma guaman khusus untuk industri hiburan disini. One of its kind here,” jawabnya ringkas, tersenyum di luaran, tetapi tiada siapa tahu apa yang bermain di benak fikirannya.
Berminat mendengar lagu-lagu terbaru Awi Rafael? Layari http://www.kkbox.com/my/en/artist/JwRYPm1NEaBlNK0F010zS08K-index-1.html
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.