Icahn beri tekanan kepada Cook tingkat saham iPhone

Icahn beri tekanan kepada Cook tingkat saham iPhone

Icahn beri tekanan kepada Cook tingkat saham iPhone


San Francisco: Pelabur aktivis, billionair Carl Icahn dijangka memberi lebih tekanan kepada Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook supaya lebih agresif dalam usaha meningkatkan harga saham pengeluar iPhone itu.

Icahn menerusi akaun Twitternya berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Cook tengah hari semalam. Icahn berkata, beliau akan berkongsi surat berkenaan menerusi laman web baru syarikat yang dikenali sebagai ‘Shareholders Square Table’.

Tindakan itu susulan daripada jamuan malam bersama Cook pada 30 September lalu yang dihoskan oleh Icahn di kediamannya di New York.


Beli semula saham Apple Inc 


Dalam pertemuan itu, Icahn berkata beliau melobi Cook untuk membelanjakan AS$150 bilion bagi membeli semula saham dimiliki Apple Inc. Ia adalah lebih dua kali ganda daripada jumlah komitmen perbelanjaan syarikat berpangkalan di Cupertino, California itu.

Icahn, yang mempunyai jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$20 bilion oleh majalah Forbes, pernah berkata beliau melabur kira-kira AS$2 bilion dalam Apple. Dengan jumlah itu, Icahn memiliki kurang satu peratus pegangan saham dalam Apple.
Icahn, 77, mempunyai sejarah panjang bagi pembelian saham syarikat yang sahamnya jatuh dan kemudian mendesak pemimpin korporat untuk melaksanakan rancangan yang difikirkannya boleh menjadikan saham syarikat itu lebih bernilai.

Walaupun nilai pasaran Apple yang dianggarkan AS$477 bilion (RM1.5 trilion) adalah lebih besar daripada syarikat senaraian awam yang lain, harga sahamnya menyusut sebanyak 25 peratus daripada paras tertinggi 13 bulan lalu.

Pelabur bimbang mengenai persaingan sengit yang dihadapi Apple dalam pasaran telefon pintar dan tablet, serta kurangnya produk yang menonjol sejak kematian pengasasnya, Steve Jobs, dua tahun lalu.

Kebimbangan ini bagaimanapun tidak mampu diredakan walaupun dengan pelancaran iPad terbaru Apple, Selasa lalu.

Saham Apple meningkat AS$5.09 kelmarin untuk ditutup kepada AS$524.96 (RM1,659).


Ambil peluang kadar faedah rendah 


Icahn percaya Apple boleh meningkatkan harga sahamnya dengan mengambil peluang daripada kadar faedah rendah untuk mendapatkan pinjaman membiayai cadangan belian balik saham syarikat.

Pembelian balik saham syarikat dijangka mendorong permintaan bagi saham Apple dan meningkatkan pendapatan sesaham syarikat berikutan mengurangkan jumlah stok. Pendapatan sesaham yang lebih tinggi biasanya meningkatkan harga saham syarikat.

Bagaimanapun Apple dan Icahn enggan memberi komen semalam.

Dalam keadaan tertentu, Icahn pernah mengugut untuk cuba menyingkirkan lembaga korporat yang tidak mengikut kehendak beliau. - AP


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers