Berita dan Gosip Hiburan Paling Sensasi 2013
Hari terakhir 2013 membuatkan GUA kembali mengimbas kisah suka-duka yang berlaku di dalam industri hiburan Malaysia. Biarpun ada segelintir pihak yang memandang dunia hiburan tempatan dengan sebelah mata, namun hakikatnya dunia glamor ini tidak pernah hilang tumpuan daripada peminat. Ini kerana ada sahaja kontroversi yang cuba dicipta atau tercipta oleh golongan bergelar selebriti.
Sebagai tanda meraikan kedatangan 2014, jom kita sama-sama semak kembali berita dan gosip panas 2013.
1) Cerita kahwin Aril Zafrel & Wawa Zainal
Cerita kahwin Aril Zafrel dan Wawa Zainal merupakan berita hiburan paling menggemparkan industri. Setelah penafian demi penafian dilakukan oleh pasangan ini, mereka akhirnya tampil membuat pengakuan mereka telah berkahwin serta mempunyai anak.
Pengakuan pasangan ini bukan menamatkan spekulasi, sebaliknya mengundang lebih banyak spekulasi. Malah, taraf anak lelaki mereka turut dipersoalkan biarpun penjelasan telah diberikan. Tidak cukup dengan itu, kisah pertunangan Wawa dengan seorang jejaka dari Sabah turut terbongkar. Tidak dinafikan kisah perkahwinan pasangan ini sedikit-sebanyak mencalarkan imej kedua-dua individu ini.
2) Konflik Sharnaaz , Shila Amzah , N.D Lala
Percintaaan Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad memang mendapat pelbagai respon daripada peminat masing-masing. Ada yang menyokong, ada juga yang kurang bersetuju. Setelah setahun mengakui saling mencintai, hubungan cinta mereka akhirnya terlerai jua setelah melalui pelbagai konflik.
Bukan konflik antara mereka berdua sahaja, sebaliknya turut membabitkan bapa Shila, N.D Lala. Semuanya gara-gara N.D Lala tidak bersetuju dengan niat Johan yang ingin membawa hubungan cintanya ke peringkat lebih serius (berkahwin). N.D Lala mahu Shila Amzah menumpukan perhatian kepada kerjayanya yang semakin berkembang. Satu demi satu pendedahan dibuat kepada pihak media. Namun, Sharnaaz akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Shila kerana kecewa dengan sikap bapa penyanyi itu.
3) Lana Nordin & Johan Asari
Kisah cinta Lana dan Johan menjadi topik hangat peminat kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Mereka bukan hanya mengaku bercinta, tetapi turut mendedahkan mahu melangsungkan perkahwinan secepat mungkin. Paling menarik, Johan mendedahkan dia mengambil keputusan untuk melamar Lana hanya dalam masa tiga hari.
Ketika peminat masih memperkatakan tentang hubungan cinta mereka, tiba-tiba Johan tampil membuat kenyataan yang dia terpaksa melepaskan Lana kerana tidak mendapat restu pihak keluarga. Pendedahan ini dibuat kurang dari sebulan mereka mengaku bercinta! Berbeza dengan kisah-kisah peribadi Johan sebelum ini, kisah cintanya dengan Lana kali ini mengundang tamparan hebat kerana ramai peminat yang marah dengannya dan memihak kepada Lana.
4) Shahrizal Jazle Berkhalwat
Hero filem Azura, Shahrizal Jazle atau lebih dikenali dengan nama Shah Jaszle mengejutkan industri hiburan apabila ditangkap khalwat pada Mei lalu. Memang bukan satu perkara baru golongan selebriti ditangkap khalwat, tetapi yang menjadi bualan hangat ialah Shahrizal merupakan tunangan orang iaitu Redzwani Puteri.
Tambah hangat, pelakon kacak itu mengaku tidak bersalah dan mendedahkan dia diperangkap oleh wanita yang diberkas bersama-samanya. Bagaimanapun, teman wanitanya itu menafikan perkara tersebut dan mengaku dia dan Shahrizal sudah lama menjalin hubungan cinta.
Ekoran penangkapan itu, keluarga Redzwani dilaporkan memutuskan pertunangan mereka. Namun, kini pertunangan pasangan ini bersambung kembali. Kes khalwat Shahrizal masih belum selesai kerana dia mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan baru-baru ini.
5) Skandal Gambar Lucah Adi Putra
Berita membabitkan hero pujaan ramai ini sangat mengejutkan banyak pihak. Maklumlah, Adi Putra dilihat sangat menjaga imej serta bijak membawa diri dalam dunia hiburan. Siapa sangka lelaki berimej bersih ini tiba-tiba mencipta kontroversi memualkan! Skandal dengan isteri orang, Nooraida. Macam tidak percaya pun ada.
Pada mulanya, ramai yang menganggap skandal itu hanya gosip liar semata-mata, bagaimanapun setelah laporan polis dibuat oleh pihak wanita yang dikaitkan dengannya, ramai pula yang mula percaya. Baik Adi mahupun wanita terbabit punya cerita sendiri.
Kini, kes skandal ini menjadi semakin menarik untuk diikuti kerana beberapa hari selepas kes ini ditutup oleh pihak polis, Nooraida diceraikan oleh suaminya. Bukan itu sahaja, bekas suami Nooraida membuat rayuan kepada mahkamah untuk meneruskan siasatan terhadap Adi Putra.
6) Fizz Fairuz Tunang Dengan Isteri Orang
Pelakon utama filem Nur kasih ini menggemparkan industri hiburan apabila dia melangsungkan pertunangan secara senyap dengan wanita dari Kuantan, Pahang, Azlyn Massiela. Ini kerana semua sedia maklum dia menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Almy Nadia. Setelah kisah pertunangannya tersebar meluas, tidak sampai seminggu, timbul pula kontroversi lain; Fizz putus tunang kerana mendapati Azlyn sebenar berstatus isteri orang.
Bagaimanapun, Azlyn menafikan perkara tersebut dan menegaskan dia tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki. Azlyn turut meluahkan rasa kecewa dengan Fizz kerana menjatuhkan air mukanya dan juga pihak keluarga dengan sewenang-wenangnya.
Sementara itu, lelaki yang mendakwa dia suami kepada Azlyn memberitahu Azlyn tidak meningati perkahwinan mereka kerana sakit selepas lapan bulan hilang ingatan.
7) KL Gangster 2 Dicetak Rompak
Filem sekuel arahan Syamsul Yusof, KL Gangster 2 menjadi mangsa lanun cetak rompak cukup menggamatkan penggiat industri perfileman negara. Ramai yang tidak faham bagaimana filem itu boleh tiris di pasaran gelap. Biarpun laporan mengatakan pihak polis akan mencari dalang penyebaran filem itu di laman-laman sosial, namun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan.
Bagaimanapun, bukan kisah cetak rompak sebenarnya yang menjadi tumpuan peminat filem Melayu, tetapi sikap atau tindakan anak Datuk Yusof Haslam itu yang mengundang sensasi. Dek kerana kecewa dengan situasi yang berlaku, Syamsul mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari dunia hiburan. Dek kerana itu, dia langsung tidak melibatkan diri dalam rangka promosi KL Gangster 2. Malah, Syamsul juga tidak menghadirkan diri ketika majlis tayangan bersama pihak media.
8) Neelofa Ditangkap Khalwat
Berita atau gosip Neelofa ditangkap khalwat menjadi penutup tirai 2013. Pelakon dan pengacara pujaan ramai ini didakwa telah diberkas bersama seorang VIP pada malam Khamis lalu. Bagaimanapun, Neelofa menafikan sekeras-kerasnya gosip ini dan mengganggap pihak yang menyebarkan berita terbabit menjatuhkan maruahnya sebagai selebriti.
Melalui akaun Instagramnya, Neelofa mengulas jika benar dia ditangkap khalwat, pasti dia masih berada di Malaysia, bukan di luar negara untuk selesaikan terbabit. Sementara itu, pengurus Neelofa, Mohd. Amer Shafiq Khalip memberitahu pihak media pada malam pelakon tersebut dikatakan ditangkap khalwat, dia menemani Neelofa menghadiri majlis pelancaran Galaxy Mobile App di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur sehingga jam 2.30 pagi.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.