Dakwah Almawlid Terus Berkembang Mekar

Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Dakwah, Almawlid, Terus, Berkembang, Mekar
Almawlid

Dakwah Almawlid Terus Berkembang Mekar


KUALA LUMPUR, 22 OGOS 2013: Sejak ditubuhkan pada 2010, kumpulan nasyid Almawlid yang dianggotai tiga kumpulan iaitu Innuendo, Ruffedge dan V.E semakin aktif mengembangkan perjalanan dakwah mereka meskipun tidak lagi muncul di dalam kebanyakan arus media perdana.

Tumpuan mereka kini bukan lagi di kaca TV, radio mahupun dada akhbar, sebaliknya lebih menyeluruh di universiti, sekolah, masjid mahupun tempat ibadat, bagi memudahkan kembara dakwah mereka disebarkan dengan saluran yang betul.

Salah seorang anggota kumpulan Almawlid, Saifulamer Abdul Wahab,42 atau Pot yang merupakan bekas kumpulan Innuendo berkata, dia bersama kumpulannya sering menjalani aktiviti dakwah dari majlis ke masjid seluruh ibu negara.

Malah dia juga bersyukur kerana kelahiran album Almawlid yang telah dilancarkan Ramadhan tahun lalu telah menjadi batu loncatan untuk kumpulan ini lebih dikenali sebagai satu lagi kumpulan nasyid yang membawa mesej kerohanian.

"Alhamdulillah, sejak dilancarkan tahun lalu, album pertama kami telahpun terjual lebih 8,000 unit. Tapi bukan nilai jualan yang kami cari sebaliknya mesej dakwah supaya ianya dapat disebarkan atau disampaikan kepada semua secara positif.

"Kami juga bersyukur, di awal penubuhan kumpulan ini, Almawlid telah mendapat sokongan daripada stesen TV Al-Hijrah yang kebetulan lahir pada tarikh yang sama," katanya yang kini bersyukur dengan nikmat diberikan.

Almawlid disertai Amer Munawer Yusoff sebagai ketua kumpulan, Zaf, Saifulamer , Azan Addin, Lah Ahmad, Adib dan Ustaz Khyrel yang ditubuhkan selepas mereka memilih untuk berhijrah ke jalan yang diredhai.

Bercerita mengenai perkembangan terkini kumpulan itu, Saifulamer berkata selain sering menghadiri kelas ceramah agama di beberapa masjid di seluruh ibu kota, mereka juga bercadang untuk mengadakan program Malaysia Berselawat pada tahun depan.

Katanya, Malaysia Berselawat merupakan kesinambungan daripada program KL Berselawat yang pernah diperkenalkannya di stesen TV Al-HIjrah tidak lama dulu, bagaimanapun kali ini mendapat kerjasama padu daripada banyak pihak.

"Insya Allah, program ini adalah dalam usaha kami menggalakan orang ramai untuk memperbanyakan selawat kepada Rasulullah sepanjang setahun.

"Program ini akan mendapat sokongan daripada rakan-rakan kami di Singapura, Indonesia dan juga Brunei. Diharap kita sama-sama akan berselewat terhadap Rasulullah tanpa henti dalam apa cara sekalipun," katanya.

Selain itu kata Saifulamer, kumpulan Almawlid sering mengikuti majlis Ta'lim Darul Murtadza yang diadakan di masjid Setiawangsa pada setiap Jumaat selepas solat Isyak yang sering dihadiri ramai rakan selebriti tanah air.

Mereka juga berharap supaya lebih banyak pihak dapat mendekati kumpulan berkenaan agar mesej dakwah yang ingin ditengahkan dapat disampaikan dengan lebih efektif. Kepada mereka yang berminat untuk mengikuti aktiviti dan perjalanan dakwah Almawlid boleh selusuri mereka di laman Facebook rasmi kumpulan berkenaan www.facebook.com/almawlid.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers