Maher Zain tak henti berkarya

NOR ATIEYAH YUSOFF

Malaysia, Berita, Gossip, Selebriti, Artis Malaysia, Maher Zain, tak, henti, berkarya

SIAPA tidak mengenali penyanyi antarabangsa, Maher Zain, yang cukup popular dengan lagu-lagu ketuhanannya? Sehingga kini kelunakan suaranya masih menambat hati pendengar apatah lagi lirik lagu dipenuhi dengan puji-pujian kepada sang pencipta.

Pernah ke negara ini bagi mempromosikan albumnya, Thank You Allah, beberapa tahun lalu, penyanyi kelahiran Lubnan ini  kembali dengan single terbarunya berjudul Ramadan. Turut dihasilkan menerusi empat bahasa seperti Inggeris, Arab, Melayu dan Turkish, Maher Zain berharap lagu tersebut dapat memberi pengisian rohani terhadap peminatnya di bulan suci ini.

"Lagu ini saya cipta khas sempena Ramadan yang sangat dinantikan umat Islam saban tahun.

"Saya juga berharap lagu ini dapat mengubati kerinduan peminat terhadap karya saya, selain menjadi semangat untuk mereka menunaikan ibadah puasa," ujarnya.

Pelantun yang popular dengan lagu Insya-Allah dan Thank You Allah, ini turut memuatkan muzik video lagunya itu di di laman Youtube lagu. Lebih membanggakan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan apabila jumlah tontonan mencapai hampir 1 juta hingga semalam, meskipun baru seminggu dimuat naik.

Bersyukur di atas sambutan itu, Maher menyifatkan ia satu pencapaian yang menakjubkan dan ternyata lagu-lagunya masih mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.

Turut teruja dengan kehadiran Ramadan tahun ini, Maher berkata, saban tahun dia tidak sabar menantikan bulan Ramadan. Malah kesempatannya bertemu dengan bulan suci ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan segala amalan untuk ALLAH SWT.

Maher berkata, dia masih menerima tawaran nyanyian. Namun di masa lapangnya akan digunakan sebaik mungkin untuk menyempurnakan ibadah puasa.

"Saya berazam untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadan. Insya-ALLAH...dan sesiapa pun boleh turut serta dengan saya membaca al-Quran," katanya.

InsyaALLAH... Ada Jalan


Selain sibuk memenuhi tawaran nyanyian, Maher turut meluaskan kariernya sebagai pelakon di Indonesia. Sinetron InsyaALLAH... Ada Jalan bersama vokalis kumpulan Padi, Fadli, menjadi titik permulaannya dalam dunia lakonan.

Menampilkan Maher sebagai pelakon utama dan Fadli sebagai penterjemah, sinetron ini sarat dengan mesej yang berguna. Ditayangkan serentak di Indonesia-Malaysia, sinetron ini akan mula ke udara mulai jam 5.30 petang di Astro Oasis setiap hari sepanjang Ramadan.

Lebih menarik, ia mengetengahkan kesemua lagu-lagu nyanyian, Maher, seperti One Big Family, Muhammad,  Forgive Me dan banyak lagi.

Menurut pengarah sinetron ini, Eddy Prass, sinetron ini digarap khas untuk tatapan penonton sempena Ramadan.

“Terdapat ciri-ciri keislaman menerusi lagu dan karakter Maher digandingkan dengan lakonan Fadly dalam setiap episod.

"Kami sendiri belum pernah melakukan penggambaran seperti ini dengan menggabungkan penyanyi luar dengan vokalis dari Indonesia," katanya yang turut memuji sikap Maher yang amat disenangi seluruh kru produksi.

Tinggal dunia jurutera


Mengimbau penglibatan seninya, jejaka berusia 32 tahun ini, terlebih dahului berkecimpung sebagai penyanyi R&B, penulis lagu dan penerbit.

Jika dilihat dari latar belakang pendidikannya, dia sebenarnya pernah menuntut dalam bidang ijazah kejuruteraan Aeronautikal.

"Demi minat saya terpaksa melupakan hasrat keluarga melihat saya bergelar sebagai jurutera.

"Bagaimanapun, keluarga memahami dan dapat menerima obsesi saya dalam bidang muzik," katanya yang berhijrah ke Sweeden seawal usia 8 tahun.

Setelah tamat pelajaran, Maher nekad menyertai dunia seni dan bernaung di bawah syarikat rakaman RedOne di negara itu. Tuah mula menyebelahinya apabila album pertamanya, Thank You Allah, mendapat sambutan di seluruh dunia.

Berjaya mencipta fenomena tersendiri, album tersebut turut menerima pelbagai anugerah termasuk anugerah platinum dari Warner Music Malaysia dan Sony Music Indonesia ekoran jualan yang sangat memberangsangkan.

Malah dia turut berkolaborasi dengan komposer tempatan, Mohd Fizarahman Zainal menerusi lagu Insha ALLAH dan Ramadan dalam versi bahasa Melayu.

Selain itu, lagu Insha Allah pernah tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 sebagai Top 5 bagi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dinyanyikan artis luar negara.

Ramadan

Lagu: Maher Zain
Lirik: Frizdan

Ku menantimu
Saban waktu
Bangkit jiwaku

Kau suluh hatiku
Dengan sinar
Kudus kasihmu

Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Rahmat melimpah
Damainya ku rasakan

Ramadan bulan al-Quran
Mendidik jiwaku
Menyuburkan iman

Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Sememangnya kau ku nantikan
Hadirmu hidupkan suram di jiwaku
Dan ku berjanji
Akan ku teruskan
Semangatmu itu
Sepanjang hidupku
Oh Ramadan

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers