Sasi The Don Bangga Maxi Priest Sudi Berkolaborasi


KUALA LUMPUR, 21 MEI 2013: Bukan sahaja sudi menghadiri konsert pertamanya di London iaitu Sasi The Don Live In London, penyanyi tanah air, Sasi The Don berbesar hati apabila penyanyi popular reggae dan R&B daripada British, Maxi Priest bersetuju untuk berkolaborasi dengannya dalam sebuah lagu, Island Queen.

Sasi The Don atau nama sebenarnya, Sasidharan Chandran berkata dia bagai tidak percaya apabila penyanyi yang selama ini menjadi idolanya telah pun sudi merakamkan lagu dan muzik video berkenaan bersamanya.

"Sebenarnya kami mula berkenalan dan berkomunikasi menerusi Facebook iaitu ketika saya ingin menjemputnya ke konsert pertama saya di London pada tahun 2010.

"Tak sangka dia membalas mesej saya di Facebook dan sudi datang serta berjumpa dengan saya di konsert. Lebih membanggakan lagi dia menonton konsert saya sehingga tamat.

sasi the don, sasi, maxi priest, splash_terbaru, artis malaysia, berita, gambar, berita terkini, hiburan, selebriti


"Selesai konsert, dia pun datang dan memberitahu kagum melihat persembahan saya. Apabila saya nyatakan hasrat dan impian saya untuk berkolaborasi dengannya, dia pun memberitahu sudah terfikir untuk berbuat demikian.

"Sudah tentu saya menerima jawapan itu dengan rasa sangat gembira dan teruja," katanya kepada murai.com.my ketika dihubungi.

Tanpa membuang masa, Sasi memberitahu dia dan Maxi Priest yang popular sejak tahun 80-an itu terus merakamkan sebuah lagu di sebuah studio di London pada April 2011.

Sasi turut berkongsi pengalaman manis merakamkan lagu bersama Maxi. Sasi berkata penyanyi yang popular dengan lagu Close To You itu seorang pemuzik yang tekun dalam bidang yang diceburi.

"Sebenarnya idea lagu yang berkonsep Dance Hall dan tajuk lagu Island Queen ini datang dari saya, tetapi kemudian bila kami berbincang, Maxi telah membuat banyak perubahan dan penambahbaikan dari segi lirik dan lagu.

"Saya seronok apabila dapat menimba pengalaman yang baru ketika merakamkan lagu ini bersama Maxi tetapi saya terpaksa akui agak tertekan juga bekerja dengannya.

"Bukan tertekan sebab apa, tertekan kerana dia memang seorang pemuzik yang banyak idea dan ilmu sehingga tidak pernah kenal erti penat. Malah, menggunakan masa yang ada sepenuhnya tanpa ada masa rehat atau masa untuk saya berfikir.

"Bekerja dengannya memang sangat pantas dan idea yang diberikan sangat banyak sehingga di luar batasan saya. Namun saya gembira dan puas hati dengan segala pembikinannya," jelasnya lagi.

Pun begitu, Sasi dan Maxi baru sahaja berpeluang merakamkan muzik video Island Queen itu di Sri Lanka pada Ogos 2012.

Kini muzik video itu telah pun mula ditayangkan di beberapa saluran televisyen di Malaysia seperti Astro Hitz, Ria dan banyak lagi sejak sebulan yang lalu.


Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto Ihsan Sasi The Don



Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers