Banjir Kilat Shah Alam: ADUN Batu Tiga salahkan KTMB

Banjir Kilat Shah Alam: ADUN Batu Tiga salahkan KTMB
Punca utama banjir kilat yang selalu berlaku di kawasan komuter KTMB Batu Tiga adalah disebabkan kegagalan KTMB menyelenggara dan menaik taraf kawasan sekitar dengan baik

Kegagalan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyelenggara kawasan sekitar stesen komuter Batu Tiga Shah Alam dikatakan menjadi punca berlakunya banjir kilat pada Isnin.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail mendakwa, KTMB gagal menyelenggara kawasan longkang dan parit di sekitar stesen komuter itu sehingga menyebabkan air melimpah sekaligus menyebabkan banjir kilat.

“KTMB hanya pandai menaikkan tambang tetapi keselesaan pengguna dan kesan alam sekitar langsung tidak dihiraukan.

“Punca utama banjir kilat yang selalu berlaku di sekitar kawasan komuter KTMB Batu Tiga ialah kegagalan pihak itu menyelenggara dan menaik taraf kawasan sekitar dengan baik.

“Misalnya, longkang-longkang tidak pernah diperluas sehingga menyebabkan air melimpah keluar,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sehubungan itu, Rodziah menggesa KTMB meningkatkan penyelenggaraan perparitan agar kejadian banjir kilat dapat diselesaikan segera serta tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui kerajaan negeri Selangor sudah meluluskan peruntukkan untuk menaik taraf sungai Damansara dekat Batu Tiga dalam Bajet Selangor yang baharu.

“Saya telah mengarahkan supaya projek menaik taraf sungai dipercepatkan tetapi KTMB juga diminta agar lebih sensitif dalam menambahbaik penyelenggaraan di stesen Batu Tiga yang saban hari bertambah penggunanya,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa kawasan utama di Shah Alam termasuk Seksyen 13, Seksyen 9, Seksyen U8 dan Batu Tiga teruk terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat selama dua jam.

Banjir kilat turut menenggelamkan landasan keretapi sehingga menyebabkan operasi komuter di Stesen Komuter Batu Tiga terjejas.

Dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pula menyifatkan pembangunan pesat di sekitar Seksyen 13 Shah Alam sebagai salah satu punca berlakunya banjir kilat pada Isnin.

“Saya mengaku pembinaan pelbagai bangunan sekitar Seksyen 13 antara puncanya. Sistem perparitan, sampah sarap, pembinaan yang tersumbat temasuk tanah merah di sekitar itu mungkin menjurus kepada masalah ini,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas lanjut tentang tindakan dan langkah yang akan diambil oleh pihaknya bagi mengatasi masalah itu.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers