Konsert Hot FM Hot Jam kembali ke Pulau Pinang 18 April

Konsert Hot FM Hot Jam kembali ke Pulau Pinang 18 April


KUALA LUMPUR: Sebagai menghargai pendengar, stesen radio Hot FM yang menyambut ulang tahun ke-9 Februari lalu bakal menganjurkan konsert Hot FM Big Jam pada 18 April depan di Juru Auto City, Pulau Pinang.

Kali terakhir Hot FM muncul dengan konsert yang sama pada 2012 di Kuala Terengganu. Seiring dengan peredaran masa dan penjenamaan baharu stesen radio berkenaan, konsert itu kini ditukar menjadi Hot FM Hot Jam.

Konsert kebanggaan Hot FM ini sudah berlangsung sebanyak lima kali bermula di Dataran Shah Alam (2007), Dataran Petaling Jaya (2008), Danga Bay, Johor Bahru (2009), Pulau Pinang (2010) dan Kuala Terengganu (2012).

Meraikan simbolik angka sembilan itu, sembilan artis bakal terbabit dalam siri konsert ini yang dijangka bermula pada jam 4 petang hingga 7 malam.

Artis yang bakal menggegarkan konsert ini ialah Dayang Nurfaizah bersama juara Mentor musim terbaharu iaitu Azmir, Awi Rafael, Altimet, Forteen serta pemenang

Projek Muzik musim pertama iaitu Hani & Zue. Turut sama menghangatkan Hot Jam ialah band Bunkface dan Akim & The Majistret.

Selain itu, penyanyi berasal dari Indonesia, Shae turut turun padang untuk menghiburkan pengunjung pada petang itu serta Faizal Tahir yang kini semakin meledak dengan lagu Assalamualaikum.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim, berkata perkataan "Jam" itu sendiri sudah sangat sinonim dengan Hot FM.

"Kita menerima banyak pertanyaan mengenai 'kehilangan' siri 'jam' sejak 2 tahun kebelakangan ini. Berdasarkan maklum balas serta pendapat pelbagai pihak, tahun ini kami kembali merealisasikan siri 'Jam' untuk menemui pendengar kami kali ini, khususnya mereka di utara tanah air.

"Selain mengetengahkan karya terbaharu dari artis popular terkini, konsert ini juga bertujuan untuk mengenali pendengar kami

sama ada yang baharu atau yang sudah setia sejak 9 tahun yang lalu," katanya.

Anida berkata, di Hot FM kini terdapat penyampai muka baharu yang perlu diketengahkan kepada masyarakat secara umumnya, sekali gus membuktikan kematangan stesen itu bukan sahaja melalui pengisian malah menerusi hubungan baik dan mesra antara stesen dan pendengar kami.

"Ini adalah penting kerana di Hot FM karektor mereka yang pelbagai seperti selamba, mudah mesra dan humor di konti adalah asli dan kerana itu kami ingin pendengar untuk menemui mereka dan merasai pengalaman beramah mesra bersama mereka.

"Menjadi kelaziman Hot FM, siaran luar secara langsung juga bakal diadakan di tapak konsert bagi mendedahkan cara operasi sebenar kepada pengunjung. Di situ juga, pengunjung berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan barisan penyampai radio Hot FM yang terdiri daripada muka baharu dan lama seperti Fara Fauzana, AG, Ikhwan, Deen, Fizie, Haziq, Liza serta juara Projek Radio, Tun Nadia," kata Anida sambil menjelaskan sesi siaran luar secara langsung itu akan bermula pada jam 2 hingga 4 petang.

Bagi mereka yang berada di luar kawasan utara tanah air ataupun yang tidak berkesempatan untuk turut merasai kemeriahan Hot Jam, mereka boleh mendengarkan siaran langsung konsert ini melalui frekuensi Hot FM seluruh Malaysia.

Informasi lanjut dan terkini mengenai Hot Jam ini boleh didapati melalui laman media sosial rasmi iaitu hotfm976 bagi Facebook, Twitter dan Instagram.

Nantikan kehangatan pecah pentas Hot Jam daripada barisan artis serta penyampai Hot FM pada 18 April 2015 di Juru Auto City, Pulau Pinang dari jam 2 petang hingga 7 malam.

Selain itu, Hot FM turut akan menghadiahkan wang tunai sebanyak RM500 sehingga RM1000 menjelang Hot Jam ini melalui Hot Jam Trivia. Caranya mudah, hanya jadi pendengar yang kesembilan menembusi talian hangat Hot FM dan sekiranya berjaya menjawab soalan trivia mudah yang berkisarkan Hot Jam, wang tunai itu milik anda.

Hot FM Jam Trivia ini akan berlangsung selama dua minggu bermula 6 hingga 17 April ini.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers