Jackie Chan hasrat buat penggambaran filem di Sarawak

Jackie Chan hasrat buat penggambaran filem di Sarawak
PELAKON terkenal Datuk Jackie Chan,diserbu peminat selepas mengadakan sidang media dibangunan Komplek Tourism Kuching.Jackie Chan,berada di Kuching selama dua hari untuk menghadiri Anugerah Industri Festival Filem Asean (AIFFA). - Foto NSTP

KUCHING: Bagi bintang filem aksi antarabangsa, Datuk Jackie Chan, kunjungannya ke negeri ini disifatkan sebagai `cinta pandang pertama', malah beliau turut berhasrat melakukan penggambaran filem terbarunya di beberapa lokasi menarik di Sarawak.

Beliau yang dibawa meninjau persekitaran bandar raya ini sejurus tiba bagi menghadiri Malam Kemuncak Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA2015) turut menyatakan perasaan kagumnya dengan kepesatan pembangunan di Sarawak tanpa mengenepikan aspek kelestarian alam semula jadinya.

"Ini kali pertama saya berkunjung ke Sarawak... bandar rayanya (Kuching) sungguh pesat pembangunan, namun cukup bersih dan masih banyak kawasan hijau, sekali gus menawarkan pemandangan cukup menarik. Banyak lokasi yang menarik untuk kita melakukan penggambaran (filem).

"Mungkin saya boleh berbincang dengan pasukan produksi saya untuk kita melakukan penggambaran di sini. Setiap kali kunjungan saya ke Malaysia, begitu juga di Sarawak, seperkara yang saya perhatikan rakyatnya cukup peramah dan ini membuatkan saya berasa cukup selesa berada di sini," katanya pada sesi bertemu peminat di Kompleks Pelancongan Sarawak, Tebingan Kuching, di sini petang tadi.

Jackie ketika mengulas lanjut, berkata sesuai dengan persekitaran Bumi Kenyalang, adalah mustahil untuknya melakukan penggambaran bergenre aksi dan lasak, termasuk memaparkan pelbagai adegan stunt serta seni mempertahankan diri yang begitu sinonim dengan karier lakonannya.

"Tidak mungkin filem aksi.... tidak sesuai (penggambarannya) di sini. Mungkin saya akan memilih genre cinta atau romantik," katanya.

Selain Jackie, antara bintang filem antarabangsa lain yang turut menyertai Malam Kemuncak AIFFA2015, termasuk Tan Sri Michelle Yeoh, aktres kelahiran Ipoh, Perak yang pernah menempa nama sebagai `Gadis Bond'.

Jackie turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman peribadinya di Demak Jaya, di sini.

Malah, beliau dikatakan turut menyuarakan hasratnya untuk menjadikan Sarawak sebagai lokasi penggambaran filem terbarunya kepada Abdul Taib selepas terpegun dengan keindahan negeri ini.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers