Tersurat, tersirat sandiwara pakatan pembangkang

Tersurat, tersirat sandiwara pakatan pembangkang Oleh Manja Ismail

Di sebalik pelbagai spekulasi mengenai kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang ekoran 'perbalahan terbuka' antara Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kedua-duanya hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang semalam.

Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut itu, antara lain mengesahkan komitmen kepada perjuangan ketiga-tiga parti seperti yang dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Pembangkang.

Kenyataan media selepas mesyuarat itu menyebut, mereka bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian mengenai isu Enakmen Jenayah Syariah dan Pilihan Raya PBT. Mesyuarat itu menarik perhatian umum kerana sejak mesyuarat pimpinan pada Oktober lalu, dua isu berkenaan mencetuskan perbalahan terbuka serta saling tuduh menuduh antara PAS, yang tidak bersetuju pilihan raya PBT dan DAP, yang menentang hudud.

Tidak bincang pengganti Anwar

Selain itu, mesyuarat juga diadakan menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Anwar, esok. Bagaimanapun, mesyuarat itu tidak membuat keputusan berhubung siapakah pengganti Anwar sekiranya keputusan mahkamah esok tidak memihak kepada Ketua Pembangkang itu. Sebaliknya, kenyataan itu mengulangi jaminan bahawa perjuangan bersama dalam pakatan pembangkang akan terus dipertahankan, manakala Majlis Pimpinan akan bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Sebelum ini, Hadi, yang gagal menghadiri mesyuarat tertinggi pakatan pembangkang itu sejak setahun lalu, membayangkan beliau tidak akan menghadiri mesyuarat semalam. Kenyataannya itu menyebabkan wujud desakan golongan tertentu dalam pakatan itu supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang.

Walaupun kehadiran tiga pemimpin tertinggi pada mesyuarat semalam memberi gambaran pakatan pembangkang masih utuh, timbul tanya kenapa pucuk pimpinan PAS dilihat sekali lagi mengalah kepada DAP. Apakah ia hanyalah siri sandiwara pakatan pembangkang untuk mengaburi penyokong mereka khususnya ahli akar umbi PAS dan DAP atau ada muslihat lain bagi kepentingan peribadi tokoh tertentu dalam pakatan?

Satu perkara yang mungkin tidak disedari umum ialah pakatan pembangkang tidak boleh memecat PAS atau mana-mana parti gabungannya kerana berbeza dengan Barisan Nasional (BN), pakatan tiga parti pembangkang itu tidak terikat dengan undang-undang pertubuhan.

Perbalahan lebar jurang perpecahan

Kerana itu tidak timbul PAS akan dipecat pakatan pembangkang. Sekiranya pucuk pimpinan PAS benar-benar tidak bersetuju lagi dengan dasar pakatan itu, ia boleh keluar atau berhenti daripada meneruskan kerjasama politik dengan mereka pada bila-bila masa. Yang pasti, 'perbalahan' antara pucuk pimpinan PAS dengan dua lagi sekutunya dalam pakatan melebarkan lagi jurang perpecahan dalam parti itu sendiri - antara penyokong kepemimpinan ulama dengan penyokong kalangan profesional yang rapat dengan Anwar.

Kewujudan kumpulan dalam PAS yang dikatakan mahu menjatuhkan Hadi bukan rahsia lagi. Kekecohan yang berlaku di luar Ibu Pejabat PAS sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya pagi semalam mengesahkan wujudnya 'komplot' itu. Sekumpulan ahli PAS menganjurkan perhimpunan mendakwa Pengarah Pilihan Raya, Dr Mohd Hatta Ramli menjadi dalang kepada usaha menggulingkan Hadi.

Kumpulan diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim itu menuntut Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai meletakkan jawatan. Dengan menaikkan kertas pemidang tertulis 'pecat Hatta dan konco-konco' dan 'kami dikhianati Hatta Ramli', mereka berhimpun menyambut ketibaan pimpinan PAS yang masuk untuk mesyuarat jawatankuasa pusat.

Perkara seperti ini jarang berlaku dalam PAS walaupun yang berdemonstrasi itu adalah penyokong presiden parti. Kejadian semalam hanya mengesahkan kewujudan kumpulan yang bakal menentang Hadi dalam pemilihan parti itu pertengahan tahun ini. Satu laporan sebelum ini menyebut, kumpulan yang pro-Anwar dalam PAS sudah mempunyai senarai pencabar barisan kepemimpinan parti sekarang, diketuai oleh bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Ahmad Awang. Sebahagian besar ahli jawatankuasa parti itu termasuk pada peringkat naib presiden, memang diketahui sebagai penyokong Anwar.

Jika laporan itu benar, perpecahan yang berlaku dalam PAS sekarang hampir menyamai krisis dalaman parti itu ketika kumpulan ulama muda dalam PAS menyingkirkan kepimpinan nasionalis dalam PAS yang diketuai oleh Tan Sri Asri Muda pada akhir tahun 1970-an. Kerana itu, ada yang beranggapan kehadiran Hadi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan semalam bukan sekadar untuk 'menyelamatkan' pakatan pembangkang tetapi lebih untuk mengambil hati kumpulan penentangnya dalam PAS.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers