Liverpool tawar Sterling perjanjian 'mega' - Rodgers

Liverpool tawar Sterling perjanjian 'mega' - Rodgers


PEMAIN antarabangsa Liverpool dan England, Raheem Sterling ketika beraksi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Everton di Goodison Park, Sabtu lepas. - Foto AFP

LONDON: Penyerang muda berbakat Liverpool, Raheem Sterling ditawarkan 'perjanjian luar biasa' untuk terus kekal dalam tempoh jangka masa panjang di Anfield, kata pengurus Brendan Rodgers.

Sterling, 20 yang sudah melakukan 112 penampilan bersama The Reds kini antara tonggak dalam kesebelasan utama Rodgers dan sudah meledak sembilan gol daripada 33 penampilan setakat ini.

Begitupun, timbul spekulasi mengatakan penyerang England itu berada dalam radar beberapa pasukan gergasi Eropah dan antara yang dilaporkan berminat ialah Barcelona dan Real Madrid.

"Dia sudah diberikan ditawarkan perjanjian yang menarik, perjanjian yang menakjubkan untuk pemain muda berusia 20 tahun dan masih meningkat," kata Rodgers kepada wartawan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur, awal pagi esok.

"Dia mengharungi beberapa kemajuan yang hebat sejak beberapa tahun ini dan dia sepatutnya mendapat ganjaran dan saya berharap wakilnya dapat mencari persetujuan dengan kelab.

"Saya tahu dia amat gembira dan mahu terus bekerja seperti yang dia lakukan. Saya sudah bercakap dengannya beberapa kali, dia gembira di sini dan kamu dapat melihatnya dalam permainannya.

"Ini bukannya kes di mana kami memberikan apa saja yang mereka mahukan. Saya berkata kami mahu kekal memberi ganjaran kepada bakat terbaik kami. Mereka adalah peranan penting untuk masa depan kami dan saya yakin semuanya akan selesai tidak lama lagi," katanya.

Selain Sterling, Rodgers juga berharap pemain sayap berusia 19 tahun, Jordon Ibe yang membuat penampilan sulung bersama Liverpool pada aksi tetangga menentang Everton, minggu lepas turut menandatangani kontrak baharu di Anfield.

Menentang Spurs yang masih bersemangat besar selepas menewaskan Arsenal, Sabtu lepas, Liverpool berkemungkinan kehilangan khidmat pemain tengah Brazil, Lucas Leiva akibat kecederaan otot.

Begitupun, kehadiran semula Adam Lallana yang kembali pulih selepas terlepas aksi menentang Everton memberi kelegaan dengan kecederaan Philippe Coutinho dan Sterling diakui tidak serius dan mampu beraksi. - Reuters

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers