Agama: Penuaan, musibah, fitnah tuntut kesabaran tinggi

Agama: Penuaan, musibah, fitnah tuntut kesabaran tinggi Oleh Mazlina Ismail

Manusia mudah lupa dan disebabkan itu ada kalanya kita tidak menzahirkan rasa syukur atau hanya menunjukkan rasa syukur yang sedikit. Manusia juga sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka.

Justeru, apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperoleh, kita mudah berasa kesal sedangkan setiap detik kita menggunakan nikmat kurniaan Allah SWT. Namun, amat sedikit yang menyedarinya apatah lagi untuk mensyukuri segala kurniaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Muhasabah diri apakah kita tergolong dalam kalangan yang bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan nikmat kepada hamba-Nya adalah untuk disyukuri bukan dikhianati. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Surah Yusuf, ayat 38)

Menyambung perkongsian Pesona D'Zahra di IKIMfm minggu lalu mengenai tajuk 'Mengimani Kemuliaan Allah SWT' oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin, tiga lagi perkara dihuraikan berkenaan kemuliaan Allah SWT dan sifatnya yang Maha Pemurah.

Proses penuaan satu anugerah

Satu anugerah yang dikurniakan yang tidak kita lihat sebagai kurniaan adalah proses penuaan. Apabila usia meningkat, ada antara kita mendapat kesannya seperti badan lemah dan sakit. Sesungguhnya ujian sakit itu adalah sunatullah kerana Nabi juga diuji dengan sakit.

Oleh itu, apabila diuji dengan sakit hendaklah kita berusaha, berikhtiar mendapatkan ubat dan berterusan bermohon kesembuhan daripada Allah SWT yang berkuasa mendatangkan sakit dan berkuasa menyembuhkan segala penyakit.

Sesuatu yang perlu direnungkan ketika sakit, Allah SWT menarik daripada seseorang itu tiga perkara iaitu seri wajah, selera makan dan dosa-dosa kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu sekali kasih Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman kerana apabila penyakit itu sembuh, Allah SWT akan mengembalikan seri wajah, selera makan tetapi Allah SWT tidak pula mengembalikan dosa yang telah diampunkan. Begitulah sifat pemurah dan kasih Allah SWT.

Perkara keenam dalam mengimani kemuliaan Allah SWT merujuk kepada musibah kerana telah disebutkan tanda akhir zaman berlaku banyaknya bencana, kekurangan harta benda, musuh dan lain-lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?- Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya." (Surah al-Infitar, ayat 6-7)

Melalui ujian musibah, Allah SWT juga memberi jalan pahala atas kesabaran. Di sebalik setiap ujian, Allah SWT berikan jalan keluar dan penyelesaian. Apabila Allah SWT menarik balik musibah, pahala diberikan kepada yang sabar akan kekal menjadi bekalan akhirat.

Tempuhi musibah dengan sabar

Walaupun begitu, kita perlu bermuhasabah antara ujian dan bala kerana dua perkara itu dapat dibezakan. Orang yang beriman ketika dilanda ujian akan menempuhinya dengan sabar, manakala orang yang tidak beriman ketika diuji tidak akan bersabar dengan ujian atau bala.

Maka perbanyakkan memohon kesabaran daripada Allah SWT dalam menempuhi musibah dan ujian kerana sifat sabar anugerah daripada Allah SWT. Semoga kita dianugerahkan sifat sabar apabila ditimpa ujian dan ganjaran pahala orang sabar sangat besar kerana Allah SWT bersama dengan orang yang sabar.

Yang terakhir dalam bab ini adalah anugerah daripada fitnah. Nabi Muhammad SAW mengingatkan, fitnah umpama perompak di tengah malam yang sangat gelap yang tidak kita ketahui. Oleh sebab itu, Nabi Muhamad SAW melarang daripada meletakkan diri kita dengan situasi yang boleh mendatangkan fitnah.

Fitnah berlaku kerana salah faham

Adakalanya fitnah itu berlaku hanya kerana salah faham seperti mendengar dan menyampaikan cerita yang putus-putus atau tidak lengkap daripada orang fasik. Wajib kita menyelidik sesuatu perkara yang didengari supaya tidak tertipu atau tersalah sangka pada mereka yang tidak bersalah.

Fitnah adalah satu bentuk ujian yang datang dalam kehidupan. Fitnah juga terjadi kepada Nabi kerana Nabi Muhammad SAW pernah difitnah sebagai harta, pangkat, wanita dan lain-lain.

Jika seseorang itu ditimpa fitnah berdoalah supaya Allah SWT memberi pahala kemuliaan di dunia dan akhirat. Allah SWT yang Maha Pemurah juga akan memberikan pahala bersabar dan menghapuskan dosa kita.

Yakinlah, jika kita berada di pihak yang benar Allah SWT akan memberikan jalan keluar untuk segala fitnah. Itulah tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita. Jangan sekali-kali berputus asa dalam kehidupan dunia kerana ujian boleh memberi ganjaran pahala dan kebaikan di dunia serta akhirat.

Sentiasalah bersangka baik terhadap ujian Tuhan dan bersyukurlah kepada Allah SWT dengan menjalankan perintah-Nya ketika kita diberikan kesenangan hidup. Semoga kita sentiasa diberikan hidayah dalam mengharungi kehidupan ini.

Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers