Telefilem Istimewa Sempena Nuzul Al-Quran

Telefilem Istimewa Sempena Nuzul Al-Quran


Telefilem istimewa sempena Nuzul Al-Quran Bibir Tanpa Zikir, mengisahkan mengenai seorang wanita bernama Amira.

Sempena kedatagan Nuzul Al-Quran pada Selasa, 15 Julai 2014, TV3 dan TV9 telah menyediakan tiga telefilem istimewa untuk penonton-penonton setia mereka. Telefilem-telefilem ini memaparkan kisah hidup individu yang menyimpang daripada ajaran Islam dan diberi hidayah.

Malam ini, Skrin di 9 akan menayangkan 'Bibir Tanpa Zikir' pada jam 8.30 malam. Cerita yang dibintangi oleh Lisdawati, Adam Corrie, Normah Damanhuri, Hisham Ahmad Tajudin dan Adrea Abdullah ini mengisahkan mengenai seorang wanita bernama Amira. Sejak kecil, Amira dan abangnya Hisyam dididik menunaikan solat dan asas agama yang baik. Bagaimanapun ketika meningkat remaja, Amira mula memberontak. Ini disebabkan sikap ibu bapanya yang terlalu memaksa dalam urusan membabitkan agama. 

Sikap mereka juga keras kerana apabila dia liat bangun menunaikan solat Subuh, ibunya akan memaki hamun. Rumah mereka akan bising dengan suara ibunya yang lantang mengejutkan mereka setiap pagi. Ini sekaligus membuatkan dia benci dan bersolat hanya kerana terpaksa. 

Telefilem Istimewa Sempena Nuzul Al-Quran


Sebaik tamat pengajian, Amira berkahwin dengan kawan abangnya, Bakthiar Lim Abdullah, seorang mualaf yang berasal dari keluarga berada. Bakthiar menganggap perkahwinan ini atas dasar agama dan cinta, manakala Amira pula menganggapnya sebagai jalan untuk melarikan diri daripada kongkongan keluarga. Dia menyangka suami mualaf itu boleh dipandang remeh dan boleh diperkotak-katikkan. Amira sering menipu suaminya dan apabila bekerja pergaulannya semakin meluas.

Telefilem Istimewa Sempena Nuzul Al-Quran Bibir Tanpa Zikir


Dia lebih suka berkawan dengan rakan-rakan yang banyak bersosial dan menghabiskan waktu di kelab malam. Dia hanya akan bertudung di depan suami dan keluarganya, namun, tudung akan dibuka apabila keluar bertemu kawan-kawan. Amira semakin hanyut dalam dosa dan kepura-puraannya. Dia lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersukaria dengan kawan-kawannya. Amira juga bermewah dengan pemberian suaminya dan sudah pandai meninggikan diri, malah hilang hormat pada suaminya. 

Bakthiar sentiasa bersabar dan berbaik sangka dengan menganggap semua itu adalah ujian Allah SWT untuk menduga kesabaran dan keimanannya. Dia tidak jemu berdoa agar isterinya kembali ke pangkal jalan.

Stesen popular TV3 pula menyiarkan telefilem berjudul 'Sejernih Embun' pada jam 10.00 malam. 'Sejernih Embun' mengisahkan tentang Razman yang terlibat dalam gangterism sejak remaja. Dia tidak pernah mengenali keluarganya mengakibatkan kehidupannya terumbang-ambing tanpa arah. Razman jatuh cinta pada Jaclyn, orang kepercayaan bos besar. Namun, Jaclyn meletakkan syarat RM 1 juta jika inginkan cintanya dan wang tersebut harus diperolehinya dalam masa seminggu. 

Disebabkan terdesak, Razman kembali menjejaki Raymond yang pernah melarikan wangnya berjumlah hampir RM 200 ribu. Razman ke Jitra, kampung halaman Raymond. Puas dicari namun Raymond tidak ditemui. Ketika Razman hampir berputus asa, dia terkejut apabila mendapati suami Salmiah, Syukor ialah Raymond yang telah memeluk agama Islam. Malah, Syukor juga mengatakan bahawa duit tersebut telah didermakan. Razman telah menculik Salmiah untuk memaksa Syukor menyerahkan duit tersebut atapun Salmiah akan dibunuh.

Telefilem Istimewa Sempena Nuzul Al-Quran Bibir Tanpa Zikir


Sepanjang dikurung oleh Razman, Salmiah berterusan bersolat dan mengaji. Razman agak terganggu dengan bacaan Al-Quran tersebut, namun akhirnya tertidur dan bermimpi dia berada dalam api panas. Apabila tersedar, Razman meminta Salmiah meneruskan bacaannya. Pada masa yang sama, Syukor mendapatkan bantuan Basri bagi membebaskan Salmiah. 'Sejernih Embun' dibarisi oleh Fizz Fairuz, Jessey Lim, Faradhiya, Beego, Datuk Ahmad Tarmimi Serigar. 

Pada Selasa, 15 Julai, TV3 sekali lagi menayangkan telefilem istimewa berjudul 'Nyamuk Tak Berdosa' pada jam 9.30 pagi. Telefilem ini tentang pasangan Sarimah dan Bahrin yang telah berkahwin selama 16 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata Atiqah dan Afiq. Sarimah bekerja sebagai tukang cuci manakala suaminya, Bahrin, bekerja sebagai pengawal keselamatan. 

Sikap Bahrin mula berubah ketika Sarimah mula bekerja. Dia telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa anak-anak mereka. Dia menjadi seorang yang panas baran, seringkali memukul dan mengugut Sarimah. Sebaliknya, Sarimah terus setia terhadap suaminya dan tidak pernah sedetik pun terfikir untuk bercerai demi masa depan anak-anaknya. Antara pelakon yang membintangi cerita ini ialah Kamal Adli, Zarina Zainoordin, Puteri Balqish, dan Dian P. Ramlee.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers