Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Dalam Kenangan (1953-2014)

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Dalam Kenangan (1953-2014)

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Dalam Kenangan (1953-2014)


Foto Kredit era fm

KUALA LUMPUR, 5 JULAI 2014: Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, kira-kira jam 11 pagi tadi iaitu sebelum solat Zuhur.


Pengebumian penyanyi tersohor negara itu telah disaksikan ratusan orang termasuklah dari kalangan keluarga, sanak-saudara, sahabat handai, pihak media serta peminat.

Rakan-rakan seperjuangan Sharifah Aini atau Kak Pah dalam bidang seni turut mengambil kesempatan untuk memberikan penghormatan terakhir sewaktu pengebumian tersebut berlangsung.

Antara yang hadir adalah Dato' DJ Dave, Dato' Khadijah Ibrahim, Dato' A Samad Said, Ziela Jalil, Zainalabidin, Nassier Wahab, Rohana Jalil, Ellie Suriaty, Hail Amir, Uji Rashid, Aspalela Abdullah, Shiha Mentor dan ramai lagi. Turut kelihatan adalah bekas suami pertama Kak Pah iaitu Ali Bakar yang juga bapa kepada anak tunggal kandungnya Aliff Omar.

Aliff ketika ditemui berkata, bagi pihak arwah ibunya, dia berterima kasih kepada semua tetamu yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan penghormatan terakhir buat arwah ibunya.

"Saya pohon halalkanlah makan dan minumnya serta salah dan silapnya. Dan, sedekahkan doa buat dia," katanya Aliff secara ringkas.

Aliff baru saja pulang ke tanah air selama 2 minggu dan bercadang untuk mengambil cuti panjang selama tiga bulan untuk menghabiskan masa bersama ibunya. Namun pasti, dia juga tidak menyangka bahawa ibunya pergi lebih awal daripada yang dijangka.

Terdahulu jenazah Allahyarhamah Sharifah Aini telah dimandikan serta dikapankan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail selepas jam 8 pagi.

Di masjid At-Taqwa lagi, keluarga, sanak-saudara, sahabat handai, rakan seperjuangan dalam bidang seni, pihak media serta peminat sudah membanjiri.

Antara rakan seni yang kelihatan adalah Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan isterinya, Datin Paduka Umie Aida, Dato' Khalid Mohd Jiwa dan Dato' Siti Nurhaliza, Dato' Khatijah Ibrahim, Dato' Yusni Hamid, Uji Rashid, Hail Amir, Azlina Aziz, Rohana Jalil, Herman Tino dan isterinya, Noraini Ibnu, Habsah Hassan, Rubiah Suparman, Cikgu Siti Hajar, Ellie Suriaty, komposer LY dan isterinya, Baiduri, Fazli Zainal, Hattan, Aspalela Abdullah, Shiha Mentor dan ramai lagi.

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara.

Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.26 pagi akibat jangkitan pada paru-paru. Beliau telah imasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada Selasa.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu dan dimasukkan ke hospital susulan kesukaran bernafas awal pagi Isnin.

Sharifah Aini anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953.

Titik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam. Allahyarham kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.

Pernah merakamkan 93 buah album termasuk 7 album Inggeris, antara lagu popularnya termasuk Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru.

Penyanyi itu juga pernah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi terkenal antaranya Latif Ibrahim, Broery Marantika dan Sudirman Haji Arshad.

Selain menyanyi, beliau juga merupakan pelakon filem Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan kemunculan terakhirnya dalam filem Penanggal pada tahun lalu.

Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album.

Sharifah Aini menerima gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006. Hasil perkahwinan pertamanya dengan Ali Bakar, beliau dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aliff Omar.
Bagi pihak portal Murai,  takziah buat seluruh keluarga Datuk Sharifah Aini atas kehilangan sebutir intan permata yang cukup berharga dalam bidang seni tanah air kita.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman hendaknya. Amin...

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers