Enggan Kongsi Kisah Cinta, Syamsul-sarah Rancang Umrah Bersama

Enggan Kongsi Kisah Cinta, Syamsul-sarah Rancang Umrah Bersama

Enggan Kongsi Kisah Cinta, Syamsul-sarah Rancang Umrah Bersama


Meskipun sudah sah menjadi pasangan suami isteri, namun pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, 30, masih enggan berkongsi detik manis perkenalannya dengan isteri iaitu aktres Puteri Sarah Liyana, 29, bagi mengelakkan daripada berlaku fitnah.

Syamsul berkata, dia lebih selesa untuk merahsiakan semua hal peribadi termasuk kisah percintaanya bersama isteri berbanding mendedahkannya kepada umum.

"Sebenarnya, saya rasa biarlah kisah pertemuan dan percintaan kami menjadi hak peribadi dan hanya kami sahaja yang tahu.

"Saya tidak mahu bila ia diceritakan nanti akan timbul cerita-cerita tidak benar yang jatuh kepada fitnah," katanya kepada Murai ketika ditemui selepas selesai majlis nikah mempelai itu di Masjid Al-Mukarramah, Sri Damansara, Sabtu lalu.

Syamsul yang hadir dalam keadaan kurang sihat akibat demam denggi masih lagi mendapat rawatan oleh seorang doktor ketika majlisnya dan dia bergegas kembali mendapat rawatan seterusnya di Pusat Perubatan Gleneagles selepas majlis nikah dan sidang media pernikahannya.

Pasangan ini selamat dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Al Mukarramah, Mat Syaharuddin Ar Rashid kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu dengan sekali lafaz.

Pun begitu, Syamsul menzahirkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang berjalan lancar. Katanya, dia tetap mahu meneruskan majlis tersebut biarpun dalam keadaan kurang sihat kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

"Saya pun tidak sangka dapat meneruskan majlis ini kerana ia bergantung keadaan saya dan Alhamdulillah sejak semalam lagi saya rasa sudah semakin sihat untuk datang dan teruskan majlis ini.

"Saya tidak mahu menangguhkan majlis ini kerana semua sudah diaturkan dan kalau tunda ia akan menimbulkan banyak masalah pada semua pihak," jelasnya.

Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan Puteri Sarah, dia berkata, wanita itu mempunyai ciri-ciri seorang isteri solehah yang boleh dibimbing. Dia juga akui sentiasa belajar lebih banyak ilmu agama bagi menjadi seorang suami dan ketua keluarga yang baik.

Apabila ditanya dimanakah lokasi bulan madu untuk meraikan cinta mereka berdua yang sudah sah menjadi suami isteri, Syamsul belum merancang apa-apa selain mahu mengerjakan Umrah bersama isterinya.

"Sebenarnya kami tak bincang pun lagi nak bulan madu ke mana tapi Sarah ada beritahu dia mahu mengerjakan Umrah bersama.

"Jadi saya rasa ada baiknya kerana Ramadhan pun dah dekat dan mungkin kami akan berangkat pada penghujung bulan puasa,"luahnya.

Majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian berikutan keadaan kesihatan Syamsul.

Manakala majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan diadakan pada 18 April depan, serentak dengan majlis resepsi adiknya, Syafiq Yusof.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers